Thursday, June 11, 2009

Selamat Jalan Sayang.....

Hari ini hatiku menangis. Sedih rasanya tak dapat nak ku gambarkan. "H" sudah hampir 10 tahun berkhidmat untukku. Merata alam dia menemaniku. Kerana "H" aku dapat membawa ibu mertuaku, kakak iparku, sahabat-handaiku dan saudara-maraku menjejaki setiap pelusuk negeri. Kemana yang "H" tak bawak? Dia tak pernah meragam malah sangat setia denganku. Kami sekeluarga menjaga "H" dengan penuh kasih sayang. Banyaknya jasanya kepada kami.

Hari ini, selepas waktu Zohor, "H" telah dilamar orang. Sebenarnya, sudah lama dia jadi intaian orang tetapi kerana terlalu sayang, kami tak sanggup berpisah dengannya. Tetapi hari ini, kami tidak dapat menidakkan pemergiannya. Bagi kami sekeluarga sudah tibalah masanya kami melepaskannya pergi.

Sebelum "H" dibawa keluar dari perkarangan rumah, puaslah aku mengambil gambar fotonya sebagai kenangan abadi. Manakan tidak sayang, dah banyak baktinya kepada keluargaku. Semasa dia di bawa keluar , cuaca yang panas (hasil dari Fenomena El Nino) tadi tiba-tiba bertukar wajah. Hujan yang pada mulanya turun rintik-rintik kasar terus menjadi lebat. Hujan rahmat kata suamiku, seolah-olah memujukku yang sedang bersedih hati. Hujan terus turun dengan lebat sekali dan aku terus mencapai payung mengambil gambarnya. Cuaca seolah-olah menangis bersama hatiku. Teringat pulak lagu Crying In The Rain(Originally sang by Everly Brothers in 1962).

Setelah hilang dari pandangan, aku terus masuk ke rumah dengan hati yang penuh kerinduan dan mulalah terkenangkan "H". Semasa bulan Ramadhan dan hari lebaran, dialah yang membawa kami ke masjid. Bila lauk habis, dia bawa ke pasar dan bila bosan, dia bawa kami bersiar. Isyh, isyh isyh......sayunya rasa hatiku.

Anak menantu memujukku. Katanya,"Mak janganlah bersedih sangat. Kereta itu kan dah lama kita guna pakai....kan Ayah dah belikan kereta baru untuk keluarga kita. Janganlah sedih lagi OK. Nanti kita pergi jalan sama-sama.....".

Ya, sebenarnya "H" ialah sebuah kereta. Nama penuhnya Harrier anak lelaki Toyota. Hari ini dia bertuankan orang baru. Semoga dia di jaga dengan baik sebagaimana kami menghantarnya untuk servis mengikut jadual. Walaupun tua, dia banyak berjasa kepada kami semua. Kalaulah kereta itu benda yang bernyawa, pasti dia akan mengenaliku bila berselisih dengannya walaupun nombornya akan ditukar!

Kini aku sudah punya teman baru yang lebih besar, teguh dan peramah. Sesuailah dengan keadaanku yang sudah bercucu. Namanya Starex anak lelaki Hyundai!! Terima kasih suamiku. Semoga Starex sesetia "H"...InsyaAllah! Walaupun gembira dengan yang baru, yang lama pasti tetap akan dikenang....