Tuesday, June 23, 2009

Selangkah kaki, sejuta kenangan...1


Selepas Subuh 19/06/09 semua orang bersiap sedia. Sarapan telahpun disediakan oleh ahli yang tak pergi bersama. Anak-anak seprti biasalah, excited tak tentu arah. Sang suami datang menghatar isteri dan anak-anak. Ada yang pakai kain pelekat dan baju pagoda saja datang untuk melambai anak isterinya. itu satu pemandangan yang sangat comel dan menyentuh perasaan.

Tepat jam 8.50pagi, bas pun tiba. Terima kasih kepada suami salah sahabat yang menjemput bas itu dari terus tersesat mencari penumpang! Setelah semua barang dimasukkan, masing-masing bersalaman ahli keluarga yang ditinggalkan dan bas kami pun memecut laju menuju ke destinasi pertama.

Sistem penghawa dingin sangat nyaman dan tempat duduknya sangatlah selesa tetapi malangnya alat main cakera padat tidak berfungsi dan oleh kerana itu semua DVD kami tidak dapat digunakan. Bagiku ada kebaikannya kerana kami dapat berbual dan mendalami hati masing-masing. Nasib baik anak angkatku Ashrul bijak menghidupkan suasana dalam bas. Dia memang terkenal dengan lawak jenakanya yang bersahaja. Pelbagai soalan merapu yang diberi dan mendapat sambut semua orang khasnya anak-anak. Terbahak-bahak kami dibuatnya.


Sudah menjadi lumrah bila membawa anak-anak berjalan jauh, pasti mulut sentiasa mengunyah dan minum. Bila dah masuk, kenalah keluarkan. Sepuluh kali sekejap berhenti. Setibanya kami di Kemaman, bas berhenti untuk solat Jumaat. Kaum ibu tinggal di dalam bas sahaja sambil menyembang.

Tiba masa untuk makan , ada masalah sikit sebab semua kedai makan di Terengganu keseluruhannya tutup pada hari tersebut kerana itu adalah hari hujung minggu mereka. Nasib baik breakfast kami dibekalkan Nasi Lemak dan Teh Tarik. Perjalanan diteruskan sehingga ke Kuala Ibai di mana terletaknya Masjid Terapung . Kami berhenti makan dan kemudian menunaikan solat jamaq takhir Zohor Asar di masjid tersebut. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang.

Kami teruskan perjalanan ke Kenyir Lake Resort. Terdapat dua jalan untuk ke sana. Satu ikut Kuala Berang (jauh sikit jaraknya) dan satu lagi ikut Sungai Tong. Kami memilih Kuala Berang kerana seingatku, jalan yang satu lagi tu ada bahagiannya sedang dinaiktarafkan dan diperkuatkan lagi dengan hari pun sudah semakin gelap. Mula-mula ada lampu jalan tapi selepas itu gelap gelita dan di kiri kanan jalan adalah hutan. Bagi yang kurang biasa dengan keadaan gelap begitu, agak menyeramkan. Ditambah pula dengan usikan Ashrul yang membuat hilaian ketawa yang menyeramkan!!Hahahahha.

Tepat jam 9.00 malam kami sampai di destinasi. Syukur Alhamdulillah. Semuanya selamat. Masuk ke bilik masing-masing dan berehat. 8 bilik kesemuanya dan berdekatan antara satu dengan yang lain. Setiap keluarga diberi satu bilik. Syukur kerana biliknya sangat selesa. Malam itu semua orang tidur dengan nyenyak sekali tanpa apa-apa gangguan kecuali dengkuran orang sebelah. Hahahaha.



Esok kena bangun awal untuk aktiviti pertama kami.