Thursday, January 21, 2010

Takziah buatmu Titina....

Titina adalah sahabatku sedari sekolah menengah di Sekolah Menengah Tengku Bariah Kuala Terengganu. Kemudian aku bekerja sementara selama setahun di Tractors Malaysia dan sejak itu kami tidak ketemu. Lagipun semasa di sekolah kami bukanlah teman rapat tetapi sekadar teman sepasukan dalam aktiviti sukan . Aku sangat suka melihat dia kerana kecantikannya. Kulitnya yang putih bersih dengan rambutnya yang hitam ikal mayang menyerlahkan lagi keayuan sahabatku ini.

Namun, pada awal Mei tahun 1981, aku ditawarkan mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Batu Rakit, Terengganu. Di hari pertama melapor diri, aku menarik nafas lega apabila beberapa orang teman bekas pelajar sekolah menengah turut berada di situ termasuklah Kasmawati (kini guru Bahasa Inggeris di Dungun, Terengganu) dan juga Titina . Nak jadikan cerita, ketiga kami dimasukkan ke aliran Bahasa Inggeris tetapi berbeza kelas atau unit. Namun, kami selalu bertemu dalam aktiviti aktiviti luar darjah seperti sukan, pasukan beruniform, acara-acara kebudayaan dan sebagainya. Dalam sukan kami sama-sama aktif dalam Olahraga, dalam badan beruniform pula kami sama-sama dalam Pandu Puteri . Titina suka menyanyi, jadi dia masuk pasukan koir sedangkan aku dalam tarian. Tiga tahun menjadi guru pelatih di maktab tertsebut dan kami berkongsi cerita yang sama walaupun berlatar belakang berlainan. Kami punya ramai teman-teman seperti Taksiah, Ali, Amin, Akhtar, Zin, Suhaimi, Asmad, Noraini, NorAdna,Zaid, Ong, Azmi, Zainal. Zulhisham,Manja, Ohira dan ramai lagi. Kerana tinggal di kawasan terpencil yang jauh dari kota besar, kehidupan kami berkisarkan teman-teman di maktab sahaja. Kami lakukan banyak perkara bersama, berjalan bersama, ponteng bersama dan sebagainya. Pokok pangkalnya, kami begitu akrab sekali seperti adik beradik sendiri. Sehingga kini, perasaan kasih pada teman seperjuanganku masih begitu menebal lagi. Sekali sekala bertemu mengimbaskan kembali nostalgia bersama satu ketika dahulu 26 tahun yang lalu.......

Malam semalam, aku dikejutkan berita oleh seorang teman kami iaitu Rahimah atau Kak Teh(nama glamournya) tenatang musibah yang menimpa sahabatku Titina. Semalam Titina telah kehilangan suaminya. Arwah berlepas di HUKL lebih kurang jam 9 malam. Tahun lepas, semasa arwah dirawat di hospital yang sama, sempat juga aku bersama Nik dan Taksiah menziarahnya. Bila kita dalam kesedihan, elok juga berjumpa kawan-kawan untuk meringankan bebanan perasaan sedih di hati. Kini tinggalah Titina mengendalikan keluargany sendirian. Tapi aku percaya dia seorang wanita yang sangat tabah hati. Bersabarlah wahai sahabatku. Yang pergi tidak akan kembali lagi tetapi yang tinggal mesti meneruskan kehidupan. Kau tidak akan keseorangan. Kami sedang merancang untuk menziarahimu sekeluarga tak lama lagi. Insyaallah.Sementara itu, bertenanglah dan redholah akan pemergiannya. Peliharalah anak-anakmu dengan baik kerana itulah harta yang sebenarnya.

Salam takziah dariku buatmu wahai sahabatku Titina.