Friday, July 30, 2010

Lagi belajar lagi banyak yang tak tahu?

Syukur Alhamdulillah, kalau dipanjangkan umur, InsyaAllah kita akan menyambut bulan yang paling mulia dan penuh dengan keberkatan, bulan yang menjanjikan pelbagai ganjaran, di mana pada bulan ini, sekiranya manusia itu tahu akan kebesarannya, pasti akan meminta Allah Ramadhan sepanjang tahun seumur hidup!

Itulah kehebatan bulan Ramadhan. Semasa kecil dulu, semasa muda dahulu, semasa kehidupan untuk duniawi sahaja dahulu, yang kita tunggu-tunggukan adalah bulan Syawal. Sibuklah ibubapa kita membeli belah untuk persiapan Raya. Ada yang sanggup bergolok bergadai untuk tujuan memeriahkan lagi suasana hari lebaran. Masing-masing bersungguh-sungguh membuat persiapan dari pakaian, hiasan ryumah sehinggalah ke kuih muih. Kerana kesibukan itulah, kita lupa dan lali untuk membuat amal ibadah yang lebih di bulan puasa. Kadang-kadang, atas tipisnya iman, semasa sibuk membakar kuih dan membeli belah, puasa pun sanggup dibatalkan. Usahkan itu, solat Tarawwih juga dipandang ringan. Ceteknya iman kita. Ternyata itu kesilapan yang jelas kita lakukan kerana kurang ilmu. Bukan disengajakan, cuma tidak diberatkan.

Tetapi sekarang kefahaman tentang agama kian mendalam. Kalau di Shah Alam, tempat tinggalku ini, celik saja mata di waktu pagi, jenguklah di mana-mana surau, madrasah, pusat belia dan masjid, pasti ada kelas agama yang diberi secara percuma kepada masyarakat di sini.
Banyak pelajaran yang diajar dan disampaikan oleh Ustaz-ustaz yang hebat-hebat belaka. Pokok pangkalnya, mahu atau tidak mahu. Banyaklah persoalan tentang hidup, mati, sejarah agama berlandaskan Al Quran dan Hadis disampaikan kepada para jemaah. Lagi banyak kita pelajari, sebenarnya lagi banyak yang kita tidak ketahui. Sebab itulah Islam mengalakkan kita mencari ilmu. Biar miskin harta, jangan miskin ilmu!!

Malangnya, yang datang belajar hanyalah dikalangan suri-suri rumahtangga, ibu-ibu dan juga nenek-nenek dan para lelaki yang hadir adalah terdiri dari mereka yang yang sudah pencen! Sepatutnya anak-anak mudalah patut menghadirinya kerana perjalanan hidup mereka masih panjang lagi. Bila ilmu sudah penuh di dada, maka penyakit masyarakat yang menular sekarang pasti akan dapat dibendung. InsyaAllah.

Kesilapan dan tindakan yang mengikut hawa nafsu dikalangan generasi muda sekarang adalah kerana muflis ilmu agama. Bagi mereka, apa yang dilakukan adalah urusan mereka. Sebab itulah tanpa segan silu melakukan pelbagai perkara mungkar. Jangan sekali-kali menyalahkan ibu bapa, guru, media dan sebagainya setelah terjebak dan jatuh tersungkur. Lihatlah diri sendiri, nilailah diri sendiri dan buatlah pilihan yang bijak untuk diri sendiri. Kembalilah kepada agama dan rujuklah pada AlQuran dan Hadis tetapi mestilah berguru. Mencari ilmu mesti ada guru yang mengajar kerana guru akan mengupas dan memberi penerangan tentang isi pelajaran serta menjelaskan maksud disebalik ayat-ayat yang dibaca. Kembalilah ke pangkal jalan.