Tuesday, June 26, 2012

Pemandanganku........Pandanganku......

Mengembara di bumi Allah ini sememangnya amat digalakkan. Di sepanjang perjalanan dalam pengembaraan ini, segala apa yang kita lihat menunjukkan akan kebesaran, kekayaan dan kekuasaan Allah SWT. Aku benar-benar teruja dan bersyukur dengan kurniaan Illahi ....Alhamdulillah.


Setiap negara yang pernah kulawati, mempunyai keindahan budaya, bahasa, bangsa dan agama yang amat berbeza antara satu sama lain. Walaupun ada sedikit kesamaan namun tetap ada perbezaannya. Namun aku percaya, apa yang diberi kepada mereka dan apa yang dijalankan oleh mereka adalah berseuaian dengan negara mereka. Jangan sekali kali kita bandingkan negara mereka dengan negara kita. Itu salah besar! Kita sesuai dengan cara kita walaupun di mata orang lain tidak. Bak kata seorang Ulamak Besar, Luqman Al Hakim yang telah menunjukajar anaknya tentang persepi orang terhadap segala tindak tanduk mereka yang mengendalikan seekor kaldai. Rupanya, apa saja yang kita kerjakan, walaupun yang itu menggembirakan kita, memudahkan urusan kita masih tidak sesuai dengan jiwa orang lain. Dalam erti kata lain, buatlah apa yang kita rasa betul dan sesuai dengan kita!


Percutianku bersama suami selama sepuluh hari ke dua buah benua yang jaraknya 23 jam penerbangan! Pertama, kami ke kota Buenos Aires, Argentina....suatu tempat yang pertama kali aku menjejakkan kakiku. Buminya yang rata tanpa sedikitpun tanah beralun, dengan kesuburan tanah hitam sedalam 1 1/2 meter , sehinggakan apa saja yang ditanam pasti menjadi asalkan yang bersesuaian dengan jenis cuacanya. Itulah sumber utama ekonominya yang menyediakan pekerjaan untuk rakyatnya. Hasilnya, negara mereka sangat kaya sehinggakan pengemis atau peminta sedekah hampir tidak kelihatan.


Untuk menggalakkan rakyatnya bekerja, setiap satu profesyen seperti perguruan, pelancongan dan sebagainya, berada di bawah UNION atau kesatuan pekerja masing-masing. Oleh kerana kesatuan mereka dalam satu UNION, mereka mempunyai dan dapat menggunakan kemudahan seperti perubatan, sekolah, kelab golf atau kriket dan sebagainya. Kekuatan dan kelantangan suara Kesatuan Sekerja mereka dalam mepertahankan hak ahli ahli mereka, menjamin kehidupan dan masa depan mereka. Ini menyebabkan merasa selamat. Bagi yang miskin pula, kerajaan mereka memberikan sedikit peruntukan wang bulanan bagi memulakan hidup dan mencari pekerjaan untuk mempertingkatkan cara hidup mereka! Sebab itulah Islam menggalakkan kita menjadi kaya kerana dengan kekayaan sahaja dapat kita membayar zakat, wakaf dan bersedekah!


Setelah emapat hari di Buenos Aires, kami teruskan percutian ke Benua Afrika di bahagian selatannya di kota Cape Town. Ini merupakan kali kedua kami ke sini. Salah seorang dari pelancong di dalam kumpulan kami mengatakan bahawa, sekiranya dia memikirkan untuk tinggal ke luar negara, satu daripada tempatnya ialah Cape Town! Sememangnya bumi bertuah ini mempunyai segalanya. Mukabumi yang cantik dengan laut dan guunungnya berjiran. Juga bertemunya Lautan Hindi yang panas dan Lautan Atlantik yang sejuk yang menyebabkan pelbagai jenis spesis hidupan laut yang hanya sesuai dengan pertembungan kedua lautan tersebut.


Antara bulan Mei hingga Ogos beribu ekor ikan paus Southern Right Whales hadir di Harmanus untuk mengawan. Di samping itu, Cape Town mempunyai sejarah yang sangat penting iaitu Tanjung Pengharapan atau Cape of Good Hope yang sinonim dengan pelayar barat dari Portugis yang merupakan orang pertama menjumpai Afrika Selatan iaitu Bartolomeu Dias . Kemudian, binatan liarnya seperti Springbox,Baboon, Ostrich dan sebagainya dapat dilihat dengan mudah di sini. Tetapi sekiranya haiwan liar lain seperti Gajah Afrika, Zebra, Singa, Gnu dan sebagainya terdapat di beberapa Safari berhampiran kota ini.


Zaman penjajahan Belanda di India, Indonesia dan Tanah Melayu, memyebabkan terdapatnya golongan Cape Malay di Cape Town. Asalnya mereka ialah apabila pejuang negara yang melawan penjajah, mereka ditangkap dan di bawa belayar ke Afrika sebagai hamba. Apabila Inggeris datang, mereka diberikan sedikit kebebasan dan hasil dari perkahwinan campur, mereka menjadi Cape Malay. Sehingga kini, perkampungan mereka dengan perumahan yang berwarna warni terletak ditengah bandaraya Cape Town dan Islam utuh di sana. Ada beberapa patah perkataan seperti kubur, piring dan sebagainya masih digunakan oleh mereka. Sebahgian dari mereka mempounyai kulit, wajah dan berpakaian seperti kita. Kehadiran kami amat dinantikan mereka apabila kita diberi peluang beramah mesra dan menyediakan juadah tengahari bersama mereka.


Namun, walau kemana pun kita pergi, sehebat mana pun negara mereka, seronok lagi negara kita. Aku bersyukur diberi Allah rezeki untuk melawat tempat orang namun Malaysia tetap dihati.....


Hujan emas di negeri orang,
Hujan Batu di negeri sendiri.
Ambil emas di negeri orang,
Buat rumah batu di negeri sendiri!


Renung-renungkanlah!