Thursday, October 3, 2013

Hikmah disebalik musibah

Sedang aku baru hendak merebahkan badan untuk lelap sejenak, tiba-tiba telefon berdering...... malasnya tapi kujawab juga.  Suara itu aku kenal tetapi mengapa nadanya  berlainan?  Itu suara anak angkatku Asrul....



Cemas! Rupanya sipemanggil di dalam kesakitan yang amat sangat. Dia hanya ingin memberitahu yang kini sepupunya akan menghantarnya ke Hospital Serdang. Mulai saat itu hatiku mula cemas. Telefon ke sana ke mari dan akhirnya dapat nombor sepupunya itu. Setelah dihubungi, maka dapatlah aku cerita sepenuhnya. Dalam masa yang sama kuhubungi  seorang lagi anak angkatku, Mustakim di Bangi untuk melawat Asrul.


 

Asrul sudah empat hari demam. Sesiapa yang mengenalinya, Asrul memang tidak suka menyusahkan orang tetapi sebenarnya sikap ini sudah memakan dirinya sediri. Dek menahan sakit, akhirnya tidak tertangung lagi. Kulit sudah tidak sesihat biasa dan mengerang kesakitan, Keputusan dibuat dan terus ke Kecemasan Hospital Serdang. Jam sudah  1 petang. Asrul ditahan malam itu di Wad Pemerhati sementara menunggu keputusan ujian darah, x-ray dan air kencingnya. Hingga tengah malam barulah selesai segala proses. Terima kasih kuucapkan kepada pihak hospital atas daya usaha mereka merawat Asrul.



Keesokan paginya, Asrul dimasukkan ke wad 7D katil 15. Syukur Alhamdulillah. Dapatlah kami melawat. Tepat jam 12 tengahari, kami sekeluarga menaiki dua buah kenderaan menuju ke hospital. MasyaAllah..... tiada ruang langsung untuk meletakkan kereta. Sepanjang bahu jalan pun penuh dengan kenderaan. Sebenarnya di mana-mana hospital besar ruang untuk meletak kenderaan perlulah banyak. Lega rasa hati bila melihat Asrul. Sebenarnya selagi tidak dapat lihat sendiri keadaannya, selagi itulah jiwa tidak senang. Ibubapa Asrul pun ada di situ. Syukur Alhamdulillah. Allah saja yang Maha Mengetahui bertapa leganya aku bila melihat mereka berkumpul bersama. Itulah hikmahnya!



Tepat jam 2.00 petang, kami meninggalkan Asrul dan kedua ibubapanya sendirian. Kami mengambil keputusan untuk membawa kedua orang cucu kami pulang bersama kerana anak menantuku ada urusan di Putrajaya. Aku menawarkan diri untuk memandu. Tiba-tiba semasa kereta meluncur laju, terasa ia tersenggut-senggut tetapi selepas itu kembali biasa. Aku pasang lampu kecemasan (Hazzard light) dan menyusuri lorong kecemasan. Bila kulihat tiada apa yang berlaku, aku teruskan lagi perjalanan. Ketika itu kami di Lebuhraya SKVE dan tepat di kilometer 17.1, keretaku buat hal semula. Kali ini, tersenggut dan terus hilang daya bergerak.  Terus terhenti. Alamak!


                                           






Pertama sekali tenang.  Bila hati tenang baru boleh berfikir dengan waras.  Suamiku menghubungi Along Hana dan suaminya A'sim yang ketika itu baru saja menyelesaikan urusannya di Putrajaya dan kemudian menelefon Azman yang sedang di berada di sekitar Lapangan Terbang Subang! Nasib baik kedua cucu kami penyabar dan tidak menangis kerana cuaca ketika itu sangat panas.  Nasib baik ada kipas tangan pemberian sahabatku ada di dalam beg.  Berkipas hingga tercabut punatnya. Terlerai dedaun kipasku dibuatnya......  Hahahahhaha.  Nasib baik kami membawa bersama iPad. Mungkin kerana itu mereka leka bermain dan lupa kepanasan yang melanda  walaupun peluh meleleh membasahi badan ..... Syukur Alhamdulillah.



Melihat kenderaan yang melepasi kami di lebuhraya itu amatlah menakutkan.  Sesekali terbayang kalaulah ada kenderaan yang terlepas pandang kami.....eeee Nauzubillah! Tetapi nasib menyebelahi kami. Seorang peronda lebuhraya bermotosikal berhenti menanyakan hal dan terus menghubungi trak bantuan. Kemudian Hana dan A'sim sampai lalu kami pindahkan kedua cucu ke kereta ibunya.  Kemudian Azman sampai dengan membawa bersama dua tin petrol.  Berusahalah tiga lelaki mengisi minyak ke dalam tangki.  Sebagaimana yang kami sangkakan, kereta itu sebenarnya bukan rosak tetapi tangkinya tidak berminyak! Hahahahhaha.



Puas kami mengetawakan diri sendiri. Sebenarnya Allah memberikan sedikit sebab untuk mengeratkan  kasih sayang kami . Ia adalah ujian kesabaran untuk kami dalam mengendalikan  hati dan perasaan kami dalam keadaan getir dan ujian bertanggungjawab untuk anak-anak kami terhadap kedua ibubapa mereka. MasyaAllah.... kami diuji dan Alhamdulillah kami mampu melaluinya bersama-sama.

Sebenarnya, sudah lama kami tidak dapat bersama seluruh keluarga selengkap ini.  Salah seorang pasti tiada. Tetapi, hikmahnya apabila  kereta buat hal  di tepi lebuhraya, tidak semena-mena dapatlah keluarga kami berkumpul selengkapnya dari Atok hinggalah ke cucu.  Hikmahnya buat Azman,  dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, kami singgah di stesen minyak Petronas dan tangkinya diisi penuh serta kad pra bayar tol juga dibelanja oleh ayahnya. Meriahlah dia.  Begitulah rezeki kalau berkhidmat untuk kedua orang tua. Alhamdulillah. 

Buat anak-anak dan menantuku,  doaku semoga dimurahkan rezeki kalian ,  dipertingkatkan kesihatan, dipelihara keselamatan dan  ditinggikan keimanan selamanya. Untuk Asrul, kami berdoa semoga kamu segera sembuh dan kembali bertugas di Kelip-Kelip kerana ramai pelanggan tetap sudah mula merinduimu...... tidak lupa untuk Mustakim, terima kasih banyak-banyak kerana berada di tempat yang sepatutnya pada masa yang sepatutnya.....semoga kamu memperolehi kehidupan yang berbahagia dan dipermudahkan segala urusan.

No comments:

Post a Comment