Friday, August 9, 2013

Selamat tinggal Ramadhan dan Selamat Datang Syawal 1434H.......



                                  

Sepasang Kurung Biru
Khairil Johari
Tiada salam atau ucapan
Tiada pesan tanda ingatan
Suasana penuh keriangan
Ku teringat pada seseorang

oh…
Di hari yang berbahgia ini
Hatiku kosong dan sepi sekali
Betapa manis kenangi lalu
Menyambut raya bersama denganku

oh…

Tiada bisikan lembut yang ku dengar
Hanya suara azan sayup bergema
Masih kurasakan hangat tanganmu
Di pagi raya bersalam dengan ku

Tetamu datang tetamu pergi
Namun tak tiba orang ku nanti
Hanya sepasang kurung nan biru
Menjadi teman mengubat rindu ku

oh…

Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua teman setiaku.  Lagu raya 'Sepasang Kurung Biru' nyanyian Khairil Johari Johar adalah salah sebuah daripada lagu Hari Raya kegemaranku.  Liriknya menyentuh jiwa dan perasaan.  Aku terbayangkan wajah kedua arwah orang tuaku.  Alhamdulillah sempat juga aku menziarahi pusara mereka semasa  pertengahan Ramadhan.  Al Fatihah buat mereka. 



Takbir Raya

Takbir Aidil Fitri bermula dari Maghrib 1 Syawal sehingga selesai Solat Sunat Id.

Allah berfirman, yang ertinya: 
"....hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa 29 atau 30 hari) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (bertakbir) atas petunjukNya yang diberikan kepadamu."
(Surah Al Baqarah ayat 185 )


Seperti tahun-tahun yang lalu, sejak anak bujangku mampu membantu menggantikan tugas ayahnya sebagai tuan rumah di rumah neneknya di kampung untuk majlis takbir Raya Aidil Fitri, maka kami mengambil kesempatan untuk mengimarahkan lagi suasana Aidil Fitri di rumah kami pula di Shah Alam.  Alhamdulillah, sejak beberapa tahun ini, ramai teman-teman kejiranan lama kami datang berkunjung bertakbir ke rumah kami (selalunya rumah kami yang terakhir). 

Selepas solat Isya', jemaah Surau Al Islah di Worldwide@7, akan berpecah kepada dua kumpulan.  Setiap kumpulan punya ketua sendiri.  Satu kumpulan akan berkunjung ke selatan dan satu ke utara.  Sekiranya ada 10 orang setiap kumpulan maka sepuluh rumahlah yang akan dikunjungi. Bayangkan jika ada 20 orang! 
Namun kerana semangat kejiranan untuk mengeratkan silaturrahim dan menghidupkan malam Raya, penat dan lelah diketepikan. Oleh kerana rumah kami rumah yang terakhir disinggahi,  kedua-dua kumpulan bertaut kembali di rumah kami. Alhamdulillah! Tahun ini lebih dari 40 orang terdiri orang dewasa, anak-anak muda dan kanak-kanak diketuai oleh Ustaz Haji Shamsuddin Sidek telah datang bertakbir, memuji kebesaran Allah.  Meriahlah rumah kami. Syukur Alhamdulillah!
Menu 

Hidangan Juadah
Tetamu yang hadir pasti akan dijamu. Setiap rumah menghidangkan juadah yang enak dan lazat tetapi memadai.  Tahun ini, hidangan buffet di rumah kami adalah Ketupat Nasi, Ketupat Daun Palas Segitiga dan Panjang, Rendang Ayam,  Rendang Daging, Serunding Udang kering, Kek Lapis Sarawak, Buah-buahan dan air Teh Bunga.  Alhamdulillah, laku makanan makcik .... hahahahhahha.. Terima kasih aku ucapkan kepada kedua kekandaku Kak Chah dan Kak Nor yang membantuku menyediakan makanan.  Allah sahaja yang membalas jasa baik kalian.

Selepas bertakbir, sambil menjamu selera, selalunya mereka akan bersembang kosong.  Kali ini sessi sembang2 ini dimeriahkan oleh cerita-cerita oleh Abang Din Kangkung.

Tetamu terakhir yang meninggalkan rumah kami ialah pada pukul 1.30pagi selepas hampir dua jam di rumah kami. Bayanggggkannnn........

Selepas berkemas, masa untuk merehatkan dan meluruskan tulang- belulang kami.... Penat, letih tetapi puas hati dan penuh rasa kesyukuran.

Sekitar pagi Raya



Solat Sunat Id

Awal pagi selepas Solat Subuh, aku terlelap kerana kepenatan. Bangun dan berkemas untuk ke Masjid Negeri untuk Solat Sunat Aidil Fitri.  Ramainya umat manusia.  Sesak jalanraya kerana Shah Alam kini dipenuhi dengan orang-orang tua, pesara dan anak-anak yang tinggal jauh 'balik kampung ke bandaraya' menyambut aidilfitri bersama orang tua masing-masing.  Kenderaan diletakkan ditepi jalanraya, bas demi bas menurunkan penumpang yang hendak ke masjid.  Bukan hanya orang Melayu kita yang solat di Masjid Negeri tetapi pekerja-pekerja asing yang beragama Islam dari Afrika, Arab, Bangladesh, Filipina, Indonesia ini dapat dilihat dari cara mereka berpakaian.  Semua mengambil kesempatan untuk sama-sama menunaikan ibadah di masjid yang terkenal ini.  Masjid Negeri mampu menampung jemah bersolar seramai 25,000 jemaah.

Tepat jam 8.30 pagi, Dato Mufti Selangor, Dato Setia Muhammad Tamyiz memulakan Solat Sunat Id sebagai imam.  Di dalam khutbah Hari Raya beliau selepas solat sunat Id, banyak perkara yang disebut sebagai ingatan kepada umat Islam tentang nikmat berpuasa Ramadhan dan ganjaran yang dijanjikan Allah dengan ganjaran yang berlipat kali ganda dari bulan-bulan yang lain.  Segala amal jariah seperti sedekah, bertadarus, menjauhi sifat-sifat buruk seperti berbohong, mencuri, cuai solat dan sebagainya hendaklah diteruskan.  Beliau juga mengingatkan agar berusaha untuk berpuasa selama 6 hari dalam bulan Syawal. 

Aku kagum kerana, semasa beliau berkhutbah, semua orang termasuk anak-anak kecil khusyuk mendengarnya dan tiada yang bangkit meninggalkan dewan solat!  Bangga aku dengan warga Shah Alam atas disiplin mereka. Syabas! 


Maaf bermaafan

Selesai solat, orang ramai mengambil peluang bersalaman sesama jemaah.  dikesempatan ini juga berderetan panjang jemaah bersalam dengan baginda Sultan Selangor serta Raja Muda Selangor. Walaupun aku anak kelahiran Johor tapi aku bangga dengan baginda Sultan Selangor yang sangat menitikberatkan soal agama.  Di sepanjang bulan Ramdhan, sejak menjadi Sultan Selangor, setiap malam baginda sentiasa berbuka di masjid-masjid di seluruh Negeri Selangor yang diikuti menunaikan solat sunat Terawih.  Baginda menyempurnakan solat Terawih sebanyak 20 rakaat dan 3 rakaat solat Witir.  Baginda sememangnya Sultan yang berjiwa rakyat.  alat Tuanku. Allahuakbar.

Sementara menunggu reda kesesakan, kami mengambil peluang Solat Sunat Dhuha dan kemudian bertemu sahabat dan kenalan untuk bermaaf-maafan atas segala kesalahan dan kesilapan dari segi tuturkata dan lagak gaya yang mungkin tidak disenangi mereka.  Tidak lupa bergambar kenangan  



Abang Adam dan Kak Norliah


Kunjung Mengunjung Aidil Fitri

Kemudian, kami terus memulakan kunjungan ke rumah teman-teman rapat kami. Bermula dengan rumah Abang Adam dan Kak Norliah.  Mereka kami anggap seperti saudara sendiri.  Rumah mereka tak pernah lekang dari makanan kerana mereka menjalankan perniagaan katering untuk majlis-majlis kecil mahu pun besar.  One Adnor Catering adalah nama syarikat mereka..... terkenal di Shah Alam.  Harga sangat berpatutan dan yang penting rasanya sentiasa sedap dan kualiti hidangannya nya terjamin......... 

Selesai satu rumah, kami ke rumah jiran-jiran kami yang kami anggap orang tua kami.  Kunjungan pertama adalah ke rumah Tan Sri Raja Alias (bekas Pengerusi FELDA) dan Puan Sri Habsah.  Dalam keadaan kesihatan yang kurang, Puan Sri tetap mesra melayan tetamu.  Itulah kelebihan keluarga ini.  Anak-anak dan cucu-cucu mereka juga begitu.  Kami berdoa semoga Puan Sri sembuh segera.

Hentian seterusnya adalah ke rumah Captain Mohd Ibrahim dan Bonda Hajjah Salmah.  Mereka adala ibubapa kepada teman karib kami iaitu Hajjah Shamshihar.  Kebetulan semasa kami sampai, kesemua anak-anak mereka masih di rumah dan bersiap sedia untuk ke rumah mertua masih-masing. Malangnya kami tidak sempat berjumpa dengan Captain Mohd Ibrahim kerana beliau ke hospital dengan anak bongsunya untuk rawatan biasa.  Doa kami semoga beliau bertambah sihat dan kuat.  In sya Allah.


Yang ini wajib ada atas meja!

Akhir sekali, kami ke rumah OBD (Orang Besar Daerah) Petaling iaitu Dato Haji Emran Kadir dan To' Puan Hajjah Normah yang kami anggap seperti abang dan kakak kami.  Ramai tetamu yang hadir termasuklah tiga orang OBD dari daerah lain iaitu Tengku Dato Dr Jamaluddin bin Tengku Mahmud Shah Al-Haj (OBD Sepang), Tan Sri Haji Wan Mahmood bin Pa'wan Teh (OBD Gombak), Dato Haji Aman Shah bin Mohd Shahar (OBD Hulu Selangor) keluarga Kak Zaleha Muhammad (rakan masjid kami). Meriah sungguh dengan masakan To' Puan Hajjah Normah.



Balik Kampung

Perut kekenyangan maka jadilah kami seperti ular sawa.  Terlelap sehingga lewat petang barulah kami pulang ke kampung halaman di Hulu Bernam, Hulu Selangor untuk beraya bersama anak bujang kami Haji Ahmad Azman serta seluruh keluarga suamiku. Terima kasih kepada Azman dan sepupunya Abdul Qayumm yang sudi menjadi tuan rumah semalam.  Katanya, ramai orang-orang kampung yang sudi datang bertakbir di rumah walaupun nenek sudah tiada.  Perlunya anak-anak lelaki di rumah adalah kerana kakak iparku sendirian dan jika tiada kaum Adam di dalam rumah, kemungkinan tiada yang akan bertakbir.  Terima kasih kepada yang hadir dan syabas untuk dua anak muda kebanggaan keluarga.


Sempena hari lebaran ini, aku menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan dan kesalahanku dari segi penulisanku yang lepas-lepas yang mungkin ada yang mengguriskan hati dan perasaan kalian. Maafkan daku. Yang baik itu semuanya dari Allah dan yang buruk itu adalah dari perbuatanku sendiri. Percayalah, niatku tidak begitu.....



Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
MAAF ZAHIR BATIN

Selamat Berpuasa 6 hari di bulan Syawal