Sunday, October 6, 2013

Setahun sudah berlalu.........






Setiap kali lagu ini dimainkan, jiwaku terusik mengenangkan pekerjaan hajiku bersama suami dan anak lelakiku tahun lepas (2012).  Pelbagai ujian kami lalui bersama dan Alhamdulillah dapat kami merasa kemanisannya setelah segalanya selamat.

Setahun bukanlah satu masa yang lama tetapi jelas sekali kerinduan kepada tanah suci, persekitarannya, kehidupannya serta rindu teramat sangat kepada teman-teman jemaah yang bersama kami ketika itu.  Ada yang jelas kami mengingati nama mereka tetapi yang pasti kami mengenali rupa paras mereka.


Terkenang akan kali pertama pertemuan kami bermula di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.  Pegawai-pegawai Tabung Haji dan Zahafiz sibuk mengendalikan  jemaah masing-masing bagi memastikan segalanya berjalan dengan teratur dan sistematik.  Semua urusan penerbangan selesai dijalankan di Kompleks Tabung Haji.  Kita hanya perlu membawa beg kecil yang berisi barang keperluan seperti kitab, wang dan ubat-ubatan. Namun sebak terasa di dada kerana bakal meninggalkan tanahair, keluarga dan tetangga. Masih jelas pandangan mata anak cucu, menantu serta jiran yang menghantar kami.  Semua mendoakan yang terbaik buat kami.  Ketika itu, belum sempat lagi kami berkenalan sesama jemaah. Perasaan takut, sayu dan hiba terus melanda diri kami.  Yalah, masing-masing berbekalkan titik hitam yang Allah sahaja yang mengetahuinya.  Ya Allah ..... ampunilah segala dosa-dosa kami dan permudahkanlah segala pekerjaan kami ...... itulah antara doa yang kita pohon dari Allah SWT.  Sepanjang perjalanan kita menyendiri, mencari diri dan ada kala menangisi.  Tiada masa untuk berbicara kosong.  Jantung terus berdebar-debar mengenangkan nasib diri.



Tepat masa yang ditentukan, kami semua dibawa menaiki bas dengan diiringi oleh suara azan yang amat sayu.  Teringat pulak cerita Semerah Padi dimana arwah Tan Sri P.Ramlee melaungkan azan cara dia sendiri ..... hehehhehe.  Tarikhnya ialah 21 September 2012, jemaah haji KT18 Zahafiz menaiki bas ke KLIA dengan diiringi polis peronda dan ambulan! Wah ..... meriahnya!  Terasa betapa hebatnya menjadi orang penting sehinggakan semua kenderaan lain memberi laluan kepada kami. KT18 Zahafiz memenuhi 3 buah bas.  Setibanya di ruang menunggu, pegawai-pegawai Tabung Haji beserta sukarelawan-sukarelawan Tabung Haji sedia menunggu kami untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh jemaah. Masuk sahaja ke dalam perut kapal terbang, mata terpandang pramugari yang bertudung dan berseluar panjang berwarna serba merah.  Alhamdulillah! Rupanya kita semua menaiki pesawat AirAsiaX! Sama seperti pesawat-pesawatnya yang lain cuma bezanya kali ini kita tidak perlu membayar lebih untuk perkhidmatan dan kerusinya tidak boleh dibaringkan!  Hahahhahahha .... Pesawat ini terus membawa kita masuk ke Madinah. Alhamdulillah. 








Sampai di  Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah, setelah selesai proses imigresen, kita disambut oleh petugas-petugas Zahafiz yang terdiri dari anak-anak muda Melayu Patani yang fasih berbahasa Arab. Dari kejauhan sudah kelihatan baju biru kuning mereka!  Kita  dikumpulkan di sebuah dewan besar untuk menunggu bas yang akan membawa kami ke penginapan kami di kota Madinah. Semua jemaah KT18 ditempatkan di satu sudut dan diasingkan dari jemaah syarikat-syarikat lain. Di sinilah bermulanya  titik pengenalan kami.  Barulah bertanya khabar dan memperkenalkan diri masing-masing.  Bas berhawa dingin disediakan dan setibanya di kota Madinah, perkara pertama yang kita cari ialah penginapan. Al maklum sajalah, sudah lebih 24 jam dalam pakaian yang sama! Bau pun dan naik asyem!  Hahahahahhaa ..... ini kes piluuuuu.





Melihatkan bertapa banyaknya hotel yang baru dan canggih naik seperti cendawan mengimbau kembali kenangan kali pertama  dalam hidupku mengerjakan Umrah bersama suami pada tahun 1988. Ketika itu hotel yang terhebat di kota suci ini adalah Oberoi Hotel.  Di sebelah kiri seberang jalanraya hotel tersebut adalah sekelompok rumah-rumah kedai lama dan gerai-gerai yang beratapkan zink dan kanvas yang menjual pelbagai barangan keperluan harian, pakaian, makanan dan sebagainya. Hotel penginapan kami sangat selesa dan jaraknya ke Masjid Nabawi  lebih kurang sekitar 200m sahaja.  Maju ke hadapan sedikit berhampiran dengan  Masjid Nabawi adalah sebuah pejabat pos, sederet kedai emas, pengurup wang, sebuah hotel dan di hujung sekali ialah sebuah hospital awam yang kedudukannya betul-betul berhadapan Perkuburan Baqi.  Alhamdulillah dapat kulihat perkembangan pembangunan kota ini setiap tahun sehinggalah 2012.  Aku bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada aku sekeluarga. 

Kelas bimbingan memenuhi masa lapang kami setiap malam selepas Isyak....... terima kasih Ustaz. Banyak ilmu yang dapat kami timba. Masih teringat lawak jenakanya.... dududut....dududut.....dududut....... hahahhahahhahahaaaa.





Semasa di Madinah kita dibawa dalam dua kumpulan lelaki dan kumpulan wanita menziarahi Rasulallah saw dan  sahabat-sahabatnya. Untuk ke Raudah, kaum wanita perlu mengikut masa yang telah ditetapkan dan mengikut giliran negara sedunia.  Selalunya jemaah dari Asia digiliran yang lewat sekali tetapi kita tetap sabar dan redho.  Itulah kelebihan jemaah Malaysia.  Namun kaum lelaki boleh berbuat demikian pada bila-bila masa sahaja malah boleh solat di mimbar tempat Rasulallah saw berkhutbah ...... kaum wanita tidak diberi kelebihan sebegitu tapi  ruang Raudah ditandakan dengan permaidani yang berlainan warna.  Janji dapat solat di situ pun cukuplah!
 `
Hari-hari yang berikutnya, kami dibawa ziarah ke luar kota Madinah melawat Jabal Nur, Jabal Tsur, Masjid Qiblatain (Masjid dua Kiblat), Masjid Jumaa , Masjid Quba dan Jabal Uhud.  Kesemua tempat-tempat ini mempunyai sejarah bersama Rasulallah SAW dan para sahabat.  Cerita yang penuh dengan pengorbanan harta, jiwa dan raga.  Kisah tentang kekuatan iman  yang tidak tergugat walau dalam apa jua kedaan sekalipun dan cerita tentang kuatnya iman para sahabat menegakkan agama memerangi kaum Quarish Jahiliah Makkah yang masih belum menerima Islam.  Kisah pengorbanan jiwa raga dan harta benda para sahabat samada ansar maupun mahajrin untuk agama kerana Allah.  Semua cerita yang disampaikan menyebabkan kami berfikir dan bertanya kepada diri, apakah sumbangan kita kepada agama dapat disamakan dengan para sahabat?  Lu fikirlah sendiri!
















Kemudian kami dibawa melawat Muzium Dua Masjid iaitu Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.  Di dalam  muzium tersebut dipamerkan pelbagai artifek yang diambil dari  pembangunan awal kedua masjid termasuklah mimbar, pintu Kaabah, pancur emas serta gambar-gambar lama wajah kedua masjid di peringkat awal. 


Tidak sah kalau tidak melihat sendiri kebun kurma.  Rupa bentuk pohon kurma adalah lebih kurang pokok kelapa sawit.  Kami juga dibawa ke Pasar Kurma.  Masing-masing membeli kurma untuk diposkan pulang ke tanah air dengan dibantu oleh petugas-petugas Zahafiz.  Siap diikat, dituliskan dan ditampal dengan nama penuh serta nombor bilik agar tidak tertukar.  Pelbagai jenis kurma dijual di situ. Yang ditimbang lain, yang masuk mulut lain.  Namun tuan kedai  menghalalkan apa yang  kami makan.
  












Tidak ketinggalan, kami dibawa melawat kilang mencetak Al Quran.  Kaum lelaki sahaja yang dibenarkan memasuki kilang tersebut dan diberi hadiah senaskah Quran seorang. Kaum wanita duduk di kawasan kedai menjual Al Quran.  Penjualan Al Quran sangat terhad dan mengikut masa. Walau apa pun yang kita minta, permintaan itu hanya akan dilayan apabila masa jualan mula dibuka.  Para jemaah berebut-rebut membeli Al Quran yang pelbagai saiz sebagai buah tangan dari tanah suci.  Kebanyakan dari kami memutuskan untuk menghantar pulang melalui pos laju yang perkhidmatannya bertempat di penginapan kami.


Bagi menambah rasa kecintaan kita kepada Allah, Rasul dan agama Islam, satu aktiviti khas disediakan dan dilaksanakan bersama kesemua jemaah Zahafiz.  Aktiviti tersebut ialah "Jalan-jalan Tambah Iman".  Aktiviti sebegini memberi kita kefahaman mendalam tentang sejarah kota Madinah.  Semua jemaah dibawa berjalan dalam satu kumpulan yang besar dengan diawasi pandu oleh petugas-petugas Zahafiz dengan mengibarkan bendera dan kami semua diminta memakai vest berwarna hijau kekuningan (kalau dari jarak jauh sudah kelihatan jemaah kita).  Kami terasa seperti kanak-kanak sekolah yang dibawa bersiar-siar oleh guru.  Terserlah kecomelan kami ..... hahahhahhaha.  Di setiap perhentian tapak sejarah, Ustaz akan memberikan penerangan sejarah tempat-tempat berkenaan dengan menggunakan hailer supaya semua orang dapat mendengar dan selalu berakhir dengan bacaan doa.  Diketika ini, kami saling memerhatikan antara satu sama lain sekiranya ada yang tercicir, kehausan, kepenatan dan kepanasan.  Jelas kami saling membantu mengikut kudrat masing-masing.  Yang haus dikongsikan minuman. Yang panas dipayungkan.  Yang penat  diberikan masa untuk berehat.  Yang muda membantu yang tua.  Begitulah mesranya kami.
 




Setiap waktu solat kita berebut-rebut bersama bangsa-bangsa sedunia memasuki Masjidil Nabawi untuk sujud kepada Allah memohon diperkenankan semua doa dan membaca SMS, surat, nota dan whatsapp pesanan doa dari keluarga dan teman di tanah air!  Sambil berdoa, kita menangis.  Tangisan bukan penyesalan, namun tangisan kesyukuran.  Buat jemaah yang kali pertama sampai, menitik air mata melihat betapa hebat dan cantiknya masjid tersebut disulami dengan pengetahuan sejarahnya.  Subhanallah.


Hebatnya kumpulan jemaah kita antaranya adalah kerana kehadiran sepasang suami isteri yang menjadi pembimbing kita iaitu Ustaz Shamsuddin dan isterinya Ustazah Maisaroh yang sentiasa sedia membimbing kita.  Keperibadian mereka yang mudah didekati menyebabkan kita tanpa segan silu bertanya pelbagai soalan ibadah sehinggalah ke soalan peribadi ...... sebaik mungkin, seboleh mungkin mereka akan selesaikan.  Setiap hari kita diberi kuliah dan peringatan sehinggakan tiada masa untuk dibuang dan tiada kedai sempat untuk disinggah! hahhahahhahahha ..... kes piluuuuuu ......








Peringkat demi peringkat sahabat jemaah kita tiba.  Dari sedikit menjadi ramai.  Maka semakin ramailah kenalan baru kita, saudara kita dan maka semakin sesaklah dewan makan.  Di hotel itu jemaah-jemaah dari syarikat-syarikat lain dan negara-negara lain juga menginap di situ. Waktu makan malamnya serentak.  Kerana itu, jumlah kerusi mejanya tidak boleh menampung jemaah yang ramai.  Malah ada ketikanya, jemaah syarikat lain terambil makanan kita dan begitu  juga dengan kita.  Tapi itu adalah biasa.  Di sinilah wujudnya setiakawan.  Ada sahabat-sahabat yang peka menghabiskan makanannya dengan segera untuk memberi laluan kepada yang baru datang. Kadang-kadang, tempat duduk kita disimpankan oleh teman kita. Alhamdulillah.  













Selepas makan, setiap malam (kecuali malam semua petugas Zahafiz bermesyuarat), seperti biasa Ustaz akan berceramah, bercerita dan diselang selikan dengan lawak jenakanya yang bersahaja.  Ada yang mengambil nota bertulis, menggunakan komputer riba, iPad, Galaxy Tab dan smartphone.  Contohnya ialah sekiranya esok kita akan berziarah, malam sebelumnya, Ustaz akan memberikan segala imformasi yang berkenaan supaya kita tidak kekok dan ada sedikit penambahan ilmu.  Ini akan membuat ziarah kita lebih bermakna dan boleh membayangkan zaman silam,  zaman Rasulallah saw dan bukan pergi ziarah kosong tanpa dapat merasakan nikmat dan menghayati berada di tempat tersebut ketika itu. 





Kini tiba masanya untuk ke kota Mekah.  Bas membawa kami dalam berpakaian ihram singgah di Masjid Bir Ali untuk bermiqat.  Setelah berniat, kami saling memastikan setiap langkah dijaga rapi, aurat sama-sama menjaga dan saling ingat-mengingati.  Keakraban diantara kami  semakin jelas.

Perjalanan selama 6 jam dalam bas penuh dengan kenangan. Ada diantara kami mengambil inisiatif membantu mengira jumlah naik turun bas para jemaah dan bersilih berganti mengetuai bacaan talbiah dan disambut beramai-ramai.  Ada pula yang menjadi juruheboh dengan memberitahu jarak dan masa untuk sampai ke Mekah dan Talbiah terus menerus dilaungkan.  Bersemangat sungguh kami. 













Mekah sudah mula sesak dengan umat manusia.  Buat satu pusingan badan dan manusia berada di mana-mana.  Bila sampai di hotel, masing-masing masih mahu dikekalkan bersama teman sebilik di Madinah.  Alhamdulillah semuanya selesai dengan mudah.  Kemudian secara berkumpulan, kami menuju ke Masjidil Haram untuk  menyelesaikan Umrah pertama kami diketuai oleh seorang mutawif yang berpengalaman.







Banyak sekali kenangan pahit,  manis, lucu dan sedih  yang kami lalui bersama.  Kami mengambil keputusan untuk bertemu kembali setelah berpisah selama setahun.  Kenangan abadi semasa di bumi Madinah,  Mekah,  Arafah,  Mudzalifah dan Mina akan terpahat di hati kami buat selamanya. 


Selama lebih kurang sebulan setengah kita berkampung di tanah suci dengan tujuan yang satu, KT18, KT44, KT9/10 dan Kumpulan 203, kita adalah satu. Kita semua dibawah payung Zahafiz Travel kepunyaan Dato Zainal sekeluarga.  Hotel tempat kita semua berkampung  selama sebulan lebih kini sudah tiada lagi kerana diroboh untuk memberi laluan  pembesaran Masjidil Haram dan pembangunan kota Mekah. 

Semoga apa yang dirancangkan segera disiapkan supaya dapat kita ke sana lagi.  InsyaAllah.  Masih jelas dalam ingatan kedai kedai yang berdekatan termasuklah kedai menjual ais krim dan makanan  ringan.  Keluar dari pintu hotel, kalau ke kiri kita akan menuju ke Masjidil Haram dan jika ke kanan akan menuju ke Klinik Malaysia serta pejabat Tabung Haji untuk membuat pengeluaran wang simpanan untuk pelbagai guna ..... hehhehehhehehe ... faham-faham sajalah. 


Pada 28hb September 2013 yang lalu, akhirnya kami dapat berkumpul semula di kediaman kami di Shah Alam.  Jamuan ala kadar sahaja, tetapi yang mengenyangkan ialah pertemuan itu.  Sempat juga kami berjemaah solat Maghrib dan Isya.



Ada jemaah yang datang dari Sungai Petani, Pulau Pinang, Taiping, Ipoh dan Kuala Selangor hanya untuk bertemu teman yang sudah dianggap saudara.  Kami saling berpelukan malah ada yang menitis airmata kerinduan dan kesyukuran. Yang paling hebat ialah salah seorang dari jemaah kami, Captain Haji Khairul yang bertugas sebagai juruterbang dengan Emirates dan tinggal di Dubai juga turut hadir di majlis tersebut.  Ustaz Shamsuddin dan Ustazah Maisaroh juga hadir begitu juga jiran kami Dato Zainal dan Datin Maznah.  Semua jemaah berbicara dan mengenangkan kehidupan sementara kita semasa bergelar Tetamu Allah.


Sambil riang bersama, sempat juga kami mengenangi kembalinya ke Rahmatullah Tuan Haji Mohd Jamil yang selamat dikebumikan pada 2hb Disember 2012.  Semasa dirawat di unit ICU Hospital Sungai Buloh, sempat juga kami yang menziarahinya almarhum.  Kemudian arwah sihat seketika dan dibawa pulang. Beberapa hari kemudian arwah dijemput Allah. Inalillah ....... kembali sudah sahabat kita di sisi Allah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al Fatihah.

Beberapa orang teman jemaah yang tidak dapat hadir bersama antaranya ialah Tuan Haji Mohd Azman yang tinggal di Bk Mertajam. Namun, besarnya hatinya ingin menjamu sahabat jemaah yang hadir dengan mengirim melalui pos buah-buahan jeruk Pak Ali. Terima kasih banyak-banyak. Semoga dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. 

 

Seorang lagi teman jemaah yang tidak dapat hadir bersama ialah Tuan Haji Sahidi yang tinggal di Pulau Langkawi kerana masalah kesihatan. Sempat beliau menghantar gambar-gambar semasa diberi rawatan di rumah sakit. Sama-samalah kita berdoa agar beliau sihat dengan segera. Insya Allah.

Perasaan kasih dan sayang kepada sahabat-sahabat jemaah Zahafiz tidak dapat disangkal lagi. Walaupun Hotel Mawadah telah dirobohkan namun kenangan dan silaturahaim kita akan berterusan in sya Allah. InsyaAllah, kami akan cuba mencari masa untuk bertemu lagi sekurang-kurangnya setahun sekali. In sya Allah. Semoga usaha mengadakan majlis silaturrahim ini mendapat keberkatan dan keredhoaan Allah SWT.





Selama lebih kurang sebulan setengah kita berkampung di tanah suci dengan tujuan yang satu (KT18, KT44, KT9/10 dan Kumpulan 203) kita adalah satu.  Kita semua dibawah payung Zahafiz Travel kepunyaan Dato Zainal sekeluarga. Hotel Mawadah tempat kita semua berkampung  selama sebulan lebih  kini sudah tiada lagi kerana diroboh untuk memberi laluan  pembesaran Masjidil Haram dan pembangunan kota Mekah. Semoga apa yang dirancangkan segera disiapkan supaya dapat kita ke sana lagi.  In sya Allah.  Masih jelas dalam ingatan kedai kedai yang berdekatan termasuklah kedai menjual ais krim dan makanan  ringan.  Keluar dari pintu hotel, kalau ke kiri kita akan menuju ke Masjidil Haram dan jika ke kanan akan menuju ke Klinik Malaysia serta pejabat Tabung Haji untuk membuat pengeluaran wang simpanan untuk pelbagai guna ..... hehhehehhehehe ... faham-faham sajalah. 















Perasaan kasih dan sayang kepada sahabat jemaah Zahafiz tidak dapat disangkal lagi. In sya Allah, kami akan cuba mencari masa untuk bertemu lagi sekurang-kurangnya setahun sekali.  Semoga usaha mengadakan majlis silaturrahim ini mendapat keberkatan dan keredhoaan Allah SWT.