Sunday, October 22, 2017

Usah ditunggu ....

Semasa mereka ada dihadapan mata, rasa kasih tidak sepenuh hati. Malah ada ketikanya, kita lupa langsung. Tapi, usahalah ditunggu sehingga tiadanya mereka, baru kita merasa kehilangannya. Di saat itu, kita akan rugi.

Ibu dan bapa adalah dua insan yang terpenting di dalam hidup kita. Malah ibu bapa diberi darjat yang sangat tinggi oleh Allah sehinggakan apa saja yang diredho oleh Allah akan diredhoi Allah.

Ibu bapa adalah wali-wali Allah. 

Sebagai anak yang dilahirkan dalam keluarga yang beragama Islam, yang menitikberatkan pendidikan agama dan menerapkan nilai-nilai murni mengikut syariat Islam, seharusnyalah kita sentiasa peka dengan kehendak dan kemahuan kedua ibu bapa kita.


Tiada ibu bapa yang mahu menyusahkan anak mereka. Apa yang dikehendaki dan yang doakannya selalu ialah kesejahteraan dan kebahagiaan buat anak-anak mereka. Ibu bapa sanggup bergolok dan bergadai untuk anak tetapi adakah anak-anak tahu akan pengorbanan mereka? Ibu bapa sanggup menebalkan muka mereka menghadapi measyarakat atas perbuatan anak-anak, tetapi adakah anak-anak tahu? Sanggup berhutang untuk memenuhi kehendak anak-anak tetapi tahukan kamu? Jawapannya TIDAK kerana ibu bapa tidak pernah menyuarakan dan menunjukkan kesusahan dan masalah mereka. Majoriti anak-anak tidak tahu sebab di pandangan mata mereka, apa saja yang dilakukan oleh ibu bapa untuk anak-anak adalah  itu adalah tanggungjawab mereka dah tidak perlu dikasihani atau difikirkan sangat. Sedihnya.....anak-anak tidak mahu menyelami jiwa dan hati nurani ibu bapa sebenarnya malah segala usaha kedua orang tua dianggap biasa-biasa sahaja.


Benar anak itu adalah amanah Allah untuk ibu bapa. Tugas kita sebagai ibu bapa ialah melahirkan mereka, membesarkan mereka dan mendidik mereka  supaya mereka membesar menjadi anak yang solleh, berguna, baik dan berjaya di dunia dan diakhirat. Ibu bapa adalah orang yang pertama sekali datang bila kita memohon bantuan. Ibu bapalah yang pertama sampai untuk menyelesaikan masah peribadi kita. Lupakah kamu?


Aku masih ingat, ketika anakku belajar di negara orang, tiba-tiba aku mmendapat berita yang dia demam campak. Bayangkanlah anak berumur 21 tahun sakit demam campak yang melitupi seluruh tubuhnya. Hilang rasa gusar dan risau.... langsung aku membeli tiket penerbangan yang terpaksa melalui beberapa buah lapangan terbang lain  sebelum sampai ke destinasi. Hilang rasa takut menghadapi pegawai kastam yang terkenal dengan cenggeh dan cerewetnya. Aku bilang segala ubat yang kubawa adalah ubat tradisional untuk penyakit anakku.....lepas!! Kerana apa? kerana hendak merawat anak yang sakit. Itulah, demi menjaga amanah, apa saja akan ibu bapa lakukan. Allah Maha Mengetahui, Mengasihi lagi Mengasihani.... Tak putus-putus doaku sepanjang masa. Sebulan aku merawatnya. Alhamdulillah sihat anakku.


Ibu bapa tidak pernah berkira dengan anak-anak. Berapa jumlah yang diperlukan, walaupun tidak mencukupi ketika itu, tetap diusahakannya juga. Untuk apa? Supaya anak tidak terganggu pengajiannya. Supaya anak tidak susah di tempat orang. Ibu bapa sanggup mengikat perut asalkan anak mereka dapat makan sehingga kenyang. Ibu bapa sanggup menelan ego mereka asalkan anak mereka selamat di mata masyarakat.


Ya Allah, bertapa banyaknya pengorbanan ibu bapa. Tidak akan dapat kita membalas jasa mereka walaupun dengan segala kemewahan yang kita ada di dunia ini. dan alangkah sedihnya apabila anak itu tidak tahu mengenang budi ibu bapa. Walaupun tinggal dinegara yang sama, hanya beberapa jam jaraknya, namun apabila ibu bapa sakit, anak akan mendahulukan anak isteri dan kerjayanya. Malang sekali, makan minum dan pakaian serta keperluan asasi ibu bapa tidak di ambil kisah langsung sedangkan kemewahan dilimpahkan pada keluarganya sendiri. Jauh sekali mengingati nasihat ibu bapa yang dianggap kolot dan sudah lapuk. Mengapa harus mereka yang sekolah tinggi dan berjawatan tinggi perlu mengikut nasihat dua orang tua yang tidak berpelajaran dan kolot! Jika itu tanggapanmu, sebenarnya kau dipihak yang sangat rugi.


Wahai anak-anak, kekayaan kamu, kehebatan kamu, pencapaian cemerlang kamu ......kamu adalah hasil dari kedua orang tuamu. Tanpa kasih sayang mereka, didikan mereka, pengorbanan mereka, kesabaran mereka dan usaha mereka, kamu bukan kamu sekarang. Usahlah kamu sombong dengan ibu bapamu kerana itu adalah kunci Syurgamu.  Usahlah kamu menyakiti hati mereka kerana seguris kesedihan dihati mereka bakal menyusahkanmu. Kamu akan dilaknati Allah. Setitik air mata ibu akan menjadikan kamu anak yang durhaka.  Jangankan air mata maupun hati yang terguris, malah satu bunyi mengeluh darimu akan menjatuhkan dosa buatmu. Lihatlah bertapa tinggi mertabat ibu bapa Allah tempatkan. Tanganmu tak bisa mencapainya. Sedarilah wahai anak-anakku.......kau tidak akan dapat membalas jasa mereka. Mak oleh itu, jadilah kamu anak yang baik, berbudi dan kasih kepada kedua orang tuamu. 


Hebatnya ibu bapa ini,  walaupun mereka sedih atau berkecil hati, kasih mereka kepada anak tidak pernah luntur. Mereka tetap mendoakan kesejahteraan anak-anak, kebahagiaan anak-anak dan semoga Allah melindungi anak-anak mereka serta menyelamatkan mereka dari apa-apa mala petaka. Siang malam mereka mendoakan walaupun mereka tidak diendahkan langsung. 


Aku dan adik beradikku sudah kehilangan kedua kunci Syurga kami. Yang tinggal hanyalah kenanagan dan yang menyambunkan adalah doa dan amal jariah yang kami niatkan untuk mereka. Semoga Allah menempatkan roh kedua ibu bapa kami Allahyarham Hj Mohd Yunos bin Mohd Doyah dan Allahyarhammah Hjh Mahnom binti Omar bersama para solihin dan diampunkan segala dosa dan kesalahan mereka dan di terangkan kubur mereka. Jasa mereka tidak dapat kami balas tetapi setiap kebaikan yang kami lakukan , semoga Allah menyalurkan pahala buat mereka juga .


Adik bongsuku, Intan.... baru-baru ini menangis ketika menelefonku. Bila ku tanya, rupanya dia amat merindui arwah Mak dan Arwah Abah.  Aku turut merasa sedih dah akan selamanya kami semua akan merindui kedua orang tua kami. Tetapi, anak-anakku DAKAB sekelian,  kamu masih ada ibu bapa. Kami masih berdiri dan bernafas lagi.  Peganglah kunci Syurgamu sebaik mungkin supaya semasa mereka tida nanti, tiada rasa sesalan mahupun terkilan dihati. Sekiranya ada kesilapan yang kamu lakukan yang mengguris hati ibu bapamu, cepat minta maaf. Malah tidak perlu buat salah baru nak minta maaf. Telefon mereka dan dihujung perbualan, mohon maaf dari mereka dan minta mereka mendoakanmu. Doa ibu bapa makbul.......mintalah....


Janganlah tunggu sehingga mereka menjadi jenazah baru kamu hendak menyesali segala perbuatanmu. ketika itu....air mata tidak bermakna lagi.