Sunday, November 4, 2018

Tak kenal maka tak cinta....

Dari kecil , aku dipaparkan dengan kisah-kisah dari Book of Fairytales. Watak watak seperti Cinderella, Prince Charming, Wicked Witch, Repunzel, Snow White and the Seven Dwarfs, Pinnochio dan sebagainya sudah terpahat di otak. Fikiranku ketika itu selalu membayangkan dan mengharapkan agar cerita begitu benar-benar wujud. Semuanya berakhir dengan kemenangan dan kegembiraan bagi orang yang baik dan kebinasaan atau kekalahan bagi orang jahat.  Kita digalakkan menjadikan ia sebagai bedtime stories. Pementasan sekolah pun berkisarkan Fairytales! 





Malangnya, jiwa kita, hati kita dan pemikiran kita terpesong jauh malah tidak mengenali langsung kisah-kisah Nabi dan Rasul. Kisah bermula dari Nabi Adam hingga ke Rasulallah saw. Kisah tentang hubungan baginda Rasulallah dengan isteri-isteri dan ahli-ahli keluarganya, sahabat-sahabat seperti Saiyiddina Abu Bakar, Umar, Uthman  dan sebagainya. Kita terpaksa membaca kisah mereka untuk menghafal kerana ia sebahgian dari pelajaran yang masuk dalam peperiksaan. Kita hafal tanpa memahami. Kita langsung tidak mengenali mereka. Kita tidak tahu  secara terperinci akan diri mereka dan jasa-jasa mereka. Ya Allah,  bertapa ruginya kita. Walhalnya, merekalah yang patut kita kenali dan cerita-cerita mereka kita baca dan sampaikan kepada anak cucu kita sebagai bedtime stories.



Semasa ke bumi ambiya' Palestine baru-baru ini, tersentak aku dibuatnya! Rupanya cetek sungguh pengetahuan tentang mereka walhalnya ini cerita berkenaan agama kita. Semua penceritaan dan kisah-kisah mereka tertulis di dalam AlQuran dan Hadis.  Banyak kali di sebut tentang Nabi-nabi dan Rasul, berulangkali kita membaca tetapi setakat itu sahaja. Kita tidak membaca lanjut tentang diri mereka, susah senang mereka, hidup mereka dan wafatnya mereka....langsung tidak mencari! Ketika itu, di saat itu terasa bertapa aku sudah merugikan diriku sendiri tetapi lebih baik lewat dari tidak sedar langsungkan.





Sejak itu aku bertekad untuk belajar dan mencari ilmu Sirah Nabawiyyah. Alhamdulillah sudah mengikuti kelas untuk tujuan ini. Aku akan kumpul sebanyak mungkin bedtime stories berkisarkan kisah-kisah Nabi dan Rasul dan InSyaAllah aku akan pastikan cucu-cucuku tahu kisah-kisah ambiya ' dan mereka akan membesar dengan semangat pemimpin-pemimpin dan pejuang-pejuang Islam di dalam diri mereka. InSyaAllah mereka akan membesar menjadi umat Islam yang berjaya.



Bagiku, tiada yang terlewat. Jika kita sudah mengetahui kelemahan dan kekurangan kita, cepat-cepatlah kita perbaiki dan perelokkannya. Jangan kita bertangguh untuk kebaikan. Peringatanku kepada diriku sendiri dan kepada sahabat handaiku, jangan lalai membaca AlQuran. Jika ada emas dan permata  bergunung sekali pun, tapi jika Al Quran ditinggalkan,  kita adalah manusia termiskin sekali.


Biar kita Miskin Dunia tapi Kaya Akhirat. 
Yang terbaik ialah 
Kaya dunia dan Kaya Akhirat. 
Tetapi,
Yang paling rugi ialah, 
Miskin Dunia dan Miskin Akhirat.


Oleh itu, ayuh kawan-kawan, kita balik pada agama kita. Kita perbaiki diri kita dan menjadi nenek,  ibu, kakak, adik, jiran dan sahabat yang lebih berjaya dunia dan akhirat. Mari kita membaca dan ikuti kelas-kelas sirah. Semoga Allah memudahkan segala urusan kita ntuk tujuan ini. InSyaAllah.