Keliru aku dibuatnya. Bila sebenarnya sambutan Hari Bapa? Akhirnya anak perempuanku kata comfirm 21 Julai . Maka terjawablah rasa kemusykilanku itu. Bukannya apa. Semasa Hari Ibu sibuklah sang suami mengucapkan selamat kepada isteri. Jadi sempena Hari Bapa eloklah kita berbuat yang sama kepada kaum bapa pula....
Sebenarnya, tak perlu diadakan hari khas buat kedua ibu dan bapa kerana setiap hari merupakan hari yang istimewa dan penting untuk mereka. Tetapi tak salah untuk menyambutnya .....tapi janganlah kita cuma mengingati kedua orang tua pada hari ini sahaja. Sebagai orang Islam, doakanlah untuk kedua orang tua kita samada yang masih hidup atau yang sudah tiada setiap kali selepas solat.
Aku masih ingat semasa kecilku, arwah Abah telah mengajarku banyak perkara yang sepatutnya di ajar pada seorang anak lelaki. Abah mengajar aku memancing, membuat rakit, berenang, menggunakan kapak untuk membelah kayu, menebas, membaiki motosikal, menukul dan sebagainya! Bayangkanlah, aku membesar seperti seorang anak lelaki. Tomboy! Pakaianku ketika itu hanya celana dan t shirt. Tetapi, yang paling aku seronok bila bersamna Abah ialah mencabut janggut, cabut uban dan bulu hidungnya! Itulah masa yang aku rasa paling hampir dengannya. Hingga kini, itulah yang kulakukan pada suamiku.....
Abah seorang yang sangat penyabar terhadap kerenah anak-anaknya. Yang selalu mengamuk, memukul, merotan dan mendenda adalah arwah Mak. No mercy! Bila malam, sebelum tidur, dalam keadaan menangis tersedu-sedu lagi, Abah akan datang membawa minyak urut dan disapunya ke tempat yang dirotan. Ketika itu, rasa sakit terus hilang dan dengan kelucuan Abah. Bila ada hujung-hujung tersedu masih kedengaran, Abah akan berpura-pura mencari tikus yang sedang berbunyi! Yang menangis tadi , bertukar jadi ketawa. Itulah keistimewaan Abah.
Ketika itu, rumah tidak ada paip air. Semua pekerjaan yang berurusan dengan air, mesti menggunakan sungai dibelakang rumah. Sungai Tebak namanya. abah membina jeti untuk kegunaan kami. Bila petang, selesai kami berkebun sayur, Abah dan Mak akan membawa kami ke jeti. Di situlah kami adik beradik belajar berenang. Abah tunjukcara membuat rakit dan mengendalikannya. Sungguh seronok pada masa itu...
Bila ada masa terluangnya, Abah ajar kami mambuat layang-layang. Main layang-layanglah pulak! Pantang ada angin sikit, berebut kami keluarkan layang-layang untuk diterbangkan. Sampai naik hitam kulit kami adik beradik dibuatnya kerana berjemur tengah panas! Hahahahaha. Abah memang suka melayan kanak-kanak. Dari anak hingga ke cucu, semua dilayannya sama. Satu ketika, Abah buatkan anakku senapang menggunakan kayu. Sehingga kini Azman masih ingat lagi akan Atoknya.
Kalau nak diingatkan kenangan manis bersama Abah, memang terlalu banyak. Bagiku, Abah seorang yang sangat istimewa. Sepanjang hidup menghambakan diri demi keselesaan hidup anak-anaknya terjamin. Ada saja yang dilakukan oleh Abah. . Apa lagi yang tak dibuat olehnya! Awal pagi sebelum subuh dah bangun bersama Mak menyediakan kuih, nasi lemak, mee goreng dan sebagainya untuk dihantar ke kedai kopi Teck Lee. Abah bekerja sebagai Surveyor Officer. Gajinya cuma Rm500.00 sahaja dan anaknya ramai. Jadi berjual kuih adalah pendapatan tambahan keluarga kami. Semasa mengerjakan Fardhu Haji, Abah bukan ada duit sangat. Jadi Abah mengambil upah mengurut orang . Dengan duit upah itulah Abah belanja sakan untuk isteri dan anak serta cucunya. Abah memang dikenali sebagai seorang yang sangat peramah dan baik hati.
Kini Abah sudah tiada. Aku bersyukur kerana arwah sempat merasa duit gaji aku sebagai guru dulu. Walaupun tak seberapa tapi cukuplah ikut kemampuanku ketika itu. Alhamdulillah. Sempatlah aku menyumbang untuk keduanya semasa hayat mereka. Tapi, takkan terbalas jasanya ...tak mungkin. Sedikit sangat yang kuberi berbanding dengan apa yang aku dapat dari mereka. Aku terkilan kerana Abah tak sempat membacakan doa selamat semasa aku berpindah ke rumah ini lima tahun yang lalu. Selalunya Abahlah yang akan membacakan doa selamat dan mendindingkan rumah. Satu lagi, kedua orang tuaku tak sempat bersama semasa majlis perkahwinan anakku, apa lagi menimang cicit pertama mereka, A'mmar!
Sekarang, aku hanya mampu berdoa agar roh kedua ibu bapaku dicucuri rahmat. Semoga Allah menghimpunkan roh keduanya dalam kumpulan yang diredhai. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosa mereka dan mengasihani mereka sebagaimana mereka mengasihi anak-anak mereka semasa kecil dahulu.
Kenangan bersama Abah akan ku ingat selamanya. Setiap kali aku bertukang atau berkebun, jauh disudut hatiku, dapat kubayangkan senyuman bangga Abah terhadap diriku. Terima kasih Allah kerana berbapakan aku Haji Mohd Yunos bin Mohd Doyah.
Bagi kalian yang masih ada orang tua,dalam konteks ini bapa, usah persiakan dia. Berilah dia sepenuh kasih sayang dan berlembutlah dengannya kerana apabila dia dijemput Allah, tiada siapa pun yang dapat mengambil tempatnya. Berilah bapa kamu yang terbaik mengikut kemampuanmu.
Kepada suamiku IMY, Selamat Menyambut Hari Bapa. Tiada hadiah nak kuberikan kepadamu, hanya sekuntum doa semoga Allah memurahlkan rezekimu, memanjangkan umurmu dan semoga kau menjadi seorang bapa yang dikenang selalu oleh anak, cucu dan cicit kita sebagai seorang yang hebat, tegas dan penyayang.....InsyaAllah....