Monday, November 23, 2020

Selamat Tinggal Sahabatku.......






      

         Aku ternanti-nanti berita darimu. Hampir sebulan kau tidak menghubungiku. Keluh kesah dibuatnya. Tertanya-tanya pada diriku sendiri, mungkinkah ada yang melukakan hatimu? Tiba-tiba telefonku berdering. Terdengar suaramu tetapi tidak seceria biasa. ada yang tak kena niii....

          Aku jadi gusar. Aku bertanyakan khabar dan akhirnya kau meluahkan segalanya. Ya Allah ....kasihannya sahabatku. Terasa lemah longlai kaki dan tanganku. Air mata tidak tertahan lagi namun aku tahan dari engkau mendengar tangisanku. Aku cuba menenangkanmu. Aku kata yang kau akan sihat. Tetapi tiada kepastian sebenarnya......hanya kata-kata pemanis mulut.

          Pusing keliling aku bertanya teman-teman perubatanku. Jawapan yang diberi menambahkan susah dihatiku. Ya Allah..... aku hanya mengadu kepadaMU sahaja. Tidak sanggup aku berkongsi cerita dengan teman-teman lain. Ia juga permintaannya  dan aku menghormatiya kecuali seorang sahaja.  Kami membuat rancangan untuk mengajak teman-teman ke Kota Bahru melawatnya. Sedikit demi sedikit, aku hanya dapat berkias-kias akan keadaan kesihatannya dan akhirnya dia sendiri yg bercerita. Semua sahabat amat bersedih tetapi kerana dia tidak menunjukkan kesakitan malah mempamirkan wajah yang riang dan bersemangat. Tetapi Allah saja yang tahu perasaannya.

 

          Beberapa kali selepas pertemuan itu aku berulang-alik dari Shah Alam ke Kota Bahru. Berbagai alasan kuciptakan hanya untuk menemuinya. Hampir tiga kali aku ke sana. Kali terakhir ialah pada akhir September 2020. 

          Kau masih lagi bersemangat menjamu selera minum pagi bersamaku. Mengikut suamimu, itulah yg paling banyak kau makan buat sekian lama. Lega aku melihat keadaanmu. Saat aku hendak pulang , kau tiba-tiba kelihatan pucat dan demam. Kau tidak menoleh langsung untuk melihat aku pergi. Namun aku redho kerana kau ingin berehat dikamarmu. Sebelum kau masuk, aku sempat membisikkan kepadamua yang aku akan berusaha untuk datang lagi pada awal bulan Oktober. Kau hanya mengangguk dan kami berpelukan seolah-olah tidak mahu melepaskannya. Allah saja tahu bertapa aku merasa amat sayu meninggalkanmu dalam keadaan begitu. Tiada lagi lambaian darimu. Kau langsung tidak menoleh ke belakang. Aku tahu kau menangis.

  

          Awal bulan Oktober pun tiba, aku sudah menyiapkan pakaian untuk pergi tetapi kekangan demi kekangan mendatangi. Jumlah pesakit COVID 19 di Selangir kian meningkat dan akhirnya terkuburlah hasrat untuk menemuimu. Bersabar aku menanti selama dua minggu dan malangnya disambung lagi PKPD. Aku hanya mampu berdoa dan menyerahkan segalanya pd Illahi.

          Bertambah sayu lagi bila kau dimasukkan ke hospital kerana Gastrik dan di saat itu semangatku mulai luntur. Tak tahu apa nak ku lakukan. Aku  berdoa semoga  Allah memberi yang  terbaik untukmu dunia dan akhirat. Aku hanya mendapat perkhabaran dari anakmu dan sahabat2  yg sempat mengunjungimu dan menceritakan keadaanmu. Ya Allah, bagai disiat-siat jiwa ini mendengarnya. Bertapa kau didalam kesakitan sahabatku. 

          20.11.20 tampak amat cantik susunan nombornya. Di awal pagi itu, Allah menghadiahkanku cucu ketujuh. Bertapa gembiranya aku ketika itu. Ramai sahabat jauh dan dekat memberi ucapan tahniah, ucapan selamat dan mendoakan cucuku. Tetapi kegembiranku terhenti pada lewat malam tu bila mendapat berita tentang pemergianmu menyahut panggilan Illahi. Kau meninggalkanku buat selamanya. Saat itu aku tidak lagi menangis. Aku masih mampu bertenang. Aku jalankan tugas dan tanggungjawab   menyampaikan berita sedih ini kepada semua sahabat kita di seluruh negara. Kau adalah kesayangan kami semua. Namun saat kerandamu diusung ke perkuburan, saat itulah air mataku berderai tanpa hentinya. Sah.... kau sudah pergi selamanya. Sehingga hari ini, aku masih sedih dan merinduimu.

          Sahabatku, kenangan kita bersama selama kita bersahabat akan kukenang selamanya. Terima kasih kerana menjadi sebahagian dari kehidupanku. Semoga Allah memberimu yang terbaik dan menempatkanmu bersama para solihin. Semoga kita bisa bertemu di Jannah nanti. Carilah aku dan aku akan mencarimu dengan izin Allah. 

           Selamat tinggal sahabatku. Allah menghalangku melihat keadaanmu dalam kesakitan tetapi mengingatimu saat sihatmu. Aku redho....