Saturday, September 19, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1430H


Malam semalam adalah malam terakhir kita mengerjakan Solat Tarawwikh. Imam Masjid Negeri Selangor membaca Surah Yaasin untuk kesemua dua puluah Rakaat. Oleh kerana Surah ini adalah yang paling hampir dengan telinga kita, maka dapatlah aku mengikut bacaan Pak Imam . Syukur Alhamdulillah, walaupun masih ada tersangkut dek tak ingat tetapi 90% betul....

Dalam kegembiraan itu, sebenarnya hatiku merasa sangat sayu dengan pemergian bulan mulia Al Mubarak ini. Dari kelas-kelas pengajian agamaku, Ustaz-ustaz berpesan supaya kita menghidupkan bulan ini dengan melakukan amal ibadah sebanyak mungkin kerana ganjarannya hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahuinya. Sepanjang bulan Ramadhan langit terbuka luas untuk kita mengangkat tangan memanjatkan doa dan sekiranya puasa kita itu ikhlas untuk Allah semata-mata, Insyaallah tidak akan di tolak. Allah bersedia memberi pengampunan kepada kita atas segala dosa yang kita lakukan. MasyaAllah, benarlah Allah itu Maha Pengasih lagi Mengasihani.

Sayu dihati mengenangkan masa yang begitu pantas berlalu sehinggakan terasa tak puas lagi kita berpuasa. Alhamdulillah, kita diberi lagi kesempatan umur yang panjang untuk mengerjakannya dan Allah akan beri ganjaran seolah-olah kita berpuasa sepanjang tahun sekiranya kita berpuasa selama 6 hari di dalam bulan Syawal seawal Hari Raya Kedua!! Marilah sama-sama kita kerjakan. Jangan terlepas dek duniawi kita. Maklumlah, ketupat dan rendang sentiasa terhidang....kena tahan nafsu sikitlah.

Kita merupakan hamba Allah yang paling beruntung dan umat yang paling bertuah berbanding dengan umat-umat terdahulu kerana semua ganjaran terhebat ini hanya diberikan kepada kita sahaja. Mengapa harus kita lepaskan. Sekiranya dapat berjumpa dengan Malam Lailatul Qadar, iaitu satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan dan pahala mengerjakan ibadah seolah-olah 80 tahun kita beribadah, aku ucapkan Tahniah! Di kesempatan ini, aku berdoa kepada Illahi agar semua amalan kita sepanjang Ramadhan diterima dan semoga kita semua mendapat pahala yang dijanjikan dan semoga Allah memakbulkan segala doa-doa kita....InsyaAllah!!

Dengan ini aku ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri kepada semua. Ampunkan segala kesilapanku samada dalam perkataan atau perbuatanku dan telah aku maafkanmu . Bagi yang pulang ke kampung, pandulah baik-baik. Jadilah pemandu yang berhemah...Jangan lupa Puasa Enam!!