Monday, July 19, 2021

Ibu kita……

            Pernahkah terlintas di benak fikiran kita akan… pengorbanannya dari segi masa, tenaga jiwa dan raga terhadap kita? Kalau belum biarku ingatkan….


Ibu kita. 

           Inilah insan teristimewa buat kita semua. Biarlah siapapun dia, biarlah apa juga pekerjaannya mahupun rupa parasnya tapi itulah ibu kita. Tiada dua atau tiga tapi hanya satu sahaja. Perginya tiada yg boleh mengganti.


Ibu kita. 

           Sejak mengetahui dia mula mengandung, dengan muntah jeluak, sakit peningnya, sakit pinggang n tidak lena tidurnya kerana membawa kita kehulu dan kehilir sepanjang 9bulan 10 hari. Tidak pernah dia mengeluh penat tetapi sentiasa tersenyum bangga dengan perut besarnya dan kakinya yg bengkak.


Ibu kita.

          Dia menanggung kesakitan yang amat sangat bila kita dilahirkan. Ada ibu yang terpaksa dibedah dan kesakitan yang ditanggung akibat hirisan pisau amat mangilukan. Tapi sebaik melihat wajah kita, ibu kita mengucapkan syukur dan air mata gembira berlinangan dipipinya. Hilang rasa sakitnya….lupa langsung. Dihati tersisip doa buat kita… doa terbaik untuk bayinya itu….kita!


Ibu kita.

           Gigih dia menjaga kita dari sebesar dua jari tapak kaki kita hingga kita dewasa. Tidak pernah dia bosan. Sentiasa mendoakan kita dan menceriakan kita dengan penceritaannya,  kelucuannya, masakannya dan kasih sayangnya yang tidak ada hadnya. 

          Walaupun kita dewasa, ibu sentiasa memandang kita sebagai anak kecilnya. Ibu tak biarkan kita sendiri. Bila susah hati ibu tahu. Bila sesak ibu tahu. Bila tak berduit ibu tahu dan dia akan berusaha sedayanya untuk membantu kita dari segi moral dan wang ringgit dan apa juga mengikut kemampuannya . Ibu tidak pernah  minta bayaran walau sesen pun. Yang dia mahu hanyalah kasih sayang kita dan lemah lembut kita kepadanya.

          Bila ibu kita meninggal, putuskah hubungan kita kepadanya? Tidak! Segala kebaikan yang kita buat, dia mendapat ganjarannya juga. Satu yang kita lupa, hutang puasa ibu kita. Manalah tahu semasa mudanya dia tidak mengdahakan puasabya kerana penat atau tak larat kerana melahirkan, menyusukan dan menjaga kita semasa bayi.  Jika ibumu sudah tiada lagi di dunia ini,  qadhakan puasanya. Jika ada ramai adik-beradik, kita pakat berpuasa setiap Khamis  dan niatkan utk qadhakan puasa ibu kita. Memanglah boleh bayar fidyah tapi seeloknya kita berpuasa untuk membantu ibu kita menghadap Allah di akhirat nanti. Kesian ibu kita.

          Buat ibuku yang sudah kembali ke Rahmatullah, aku memohon kepada Allah agar berlemah lembut dengannya dan menempatkannya bersama para solihin. Lapangkanlah  dan terangkanlah kuburnya. Sampaikanlah segala pahala kebaikan yang kami adik- beradik  lakukan di dunia ini buatnya. Semoga bertemu kita di Syurga nanti. InSyaAllah.