Friday, June 26, 2009

Selangkah kaki, sejuta kenangan...4

Kemuncak perjalanan rombongan kami adalah melawat ke Ma Daerah Turtle Sanctuary untuk menyaksikan penyu bertelur. Tempat ini tidak dibuka untuk orang ramai kerana kita perlua berurusan terus dengan pihak Jabatan Perikanan Terengganu yang beribu pejabat di Rantau Abang.

Untuk ke kawasan perkhemahan, bas mesti di tinggalkan dikawasan jalan yang berturap dan ahli rombongan terpaksalah memunggah barang keperluan mereka untuk di bawa bersama. Jarak ke kawasan perkhemahan adalah antara 800m hingga ke 1km jauhnya. Laluannya merupakan jalan berbatu dan bengkang-bengkok menuruni bukit. Di kiri merupakan sebuah ladang buah-buah kepunyaan orang kampung dan di sebelah kanan merupakan sebuah lereng bukit yang ditumbuhi dengan pokok hutan yang berjenis hutan dara..bererti hutan yang tidak pernah diterokai manusia. Dan oleh kerana itu, maka terdapat banyak lagi binatang liar seperti Pak Belang, Beruang, Ular sawa dan sebagainya di kawasan tersebut. Semasa kami mula-mula sampai, semua ahli berpakat untuk berjalan kaki sahaja sambil menikmati suasana hutan dengan udara segar dan angin sepoi-sepoi bahasa...tetapi setelah tahu akan kewujudan haiwan-haiwan liar tersebut, semua jadi pucat! hahahahaha. Itu merupaksn satu pengalaman yang tak dapat dibeli.


Kawasan perkhemahan ini agak teratur juga. Terdapat sebuah rumah panjang yang terdiri dari beberapa buah bilik kecil. Setiap bilik boleh memuatkan seramai 2 hingga 8 orang. Bilik-bilik lelaki dan perempuan diasingkan oleh sebuah dewan makan. Kemudahan asas seprti surau, tandas, bilik mandi dan bilik pameran serta bilik taklimat juga terdapat di sini. Pokok pangkalnya ia sangat sesuai untuk dijadikan kawasan berkursus.

Tandas dan bilik mandi terletak 200m jauh dari Long House. Jadi keperluan kain batik dan tuala mandi sangatlah penting. Sebagai seorang yang moden, kita dibiasakan dengan kemudahan bilik mandi tertutup dengan tuala dan sabun serta syampu disediakan. Malangnya disini, semua perlu disediakan sendiri yang mana aku tidak punya. Pilu memikirkannya. Mulut mesti ringan, hati mahu baik, jujur dan ikhlas...nasib aku baik di pandu ke Mesra Mall di Kertih untuk mendapatkan segala keperluanku dan sahabat handai.

Mesra Mall tidaklah besar sangat. Di kiri dan kanan ada pasaraya Giant tetapi masih belum dibuka lagi. Terdapat banyak kedai-kedai keci tetapi moden di dalamnya. ada Food Court, Pizza Hut, Big Apple Doughnut,kedai pakaian Emvee, Body Shop,Carlo Rino dan sebagainya. Pokok pangkalnya, satu dimensi baru bagi penduduk sekitar. Bagiku, sekiranya Giant dibuka, pasti lebih ramai pengunjung yaang datang ke situ.

Malam itu, sesudah makan malam yang merupakan Nasi Ayam goreng, kami beramai-ramai ke bilik taklimat. Penyelia Sanctuary Penyu , Encik Abdul Halim bin Mat Noor baru tiba dari Putrajaya telah memberi taklimat yang terperinci bermula dengan The Dos and Don'ts semasa berada di kawasan tersebut. Kemudian beliau memberi taklimat tentang penyu. Antara yang diterangkan ialah jenis-jenis penyu, kawasan bertelur dan sebagainya. Sedang kami bersoal jawab, Ranger menyampaikan berita paling menyeronokkan kami iaitu ada seekor penyu mendarat dan dalam proses bertelur. Semua teruja dan kami dibawa ke tempat tersebut. Malangnya penyu sudah selesai bertelur dan dalam proses menimbus semula.


Syarat menyaksikan penyu bertelur ialah tidak boleh bising, tiada cahaya semasa di pantai, tidak menggunakan flash untuk foto dan tidak menhghalang proses bertelur penyu. Semua syarat dapat kami ikut kecuali semasa mengambil gambar...tak tertahan rasa hati selagi tak bergambar dengan sipenyu. Melihatkan riaksi kami, kami dibenarkan bergambar semasa proses menimbus dijalankan. Apa lagi, posing habis laaaa.

Malam itu, seekor saja penyu yang naik untuk bertelur. Sipenyu menghasilkan 120 biji telur. Setiap musim, penyu akan bertelur sebanyak 8 hingga 11 kali setiap 2 minggu dan setiap kali bertelur ia boleh menghasilkan 100 hingga 150 biji telur. Penyu memilih untuk menghasilkan anak jantan atau anak betina dengan memilih tempat membuat sarang yang berlainan suhunya. Jika suhu 29.5 darjah Celcius ke bawah ia akan menghasilkan anak jantan dan jika lebih suhunya akan menghasilkan anak betina.Begitulah hebatnya Pekerjaan Yang Maha Esa memberi ilham kepada si penyu untuk membuat pilihan. MasyaAllah!

Telur penyu akan rosak kesluruhannya jika sarangnya ditenggelami air laut ataupun air hujan. Sebab itulah sipenyu akan bersusah payah mendaki kawasan yang tinggi sedikit untuk bertelur. Sekiranya satu daripada telurnya yang digigit semut dan cecair dari telur yang digigit itu terkeluar dan melitupi keseluruhan jumlah telur dalam sarang tersebut, maka semua telur itu akan rosak.


Seperti biasa bila penyu bertelur, untuk mengelakkan dari dicuri orang, telur-telur itu dipindahkan ke hatceri yang di sediakan oleh pihak Sanctuary. Cara memindahkan telur memerlukan kepakaran kerana jika tersilap , telur akan rosak. Perlu berhati-hati melakukan pekerjaan ini dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

Dalam sesebuah sarang yang dikorek sipenyu ialah sedalam 1m. Ini akan memastikan suhu yang sesuai untuk telur tiu menetas. Telur mengambil masa 3 builan untuk menetas dananak penyu yang baru menetas mengambil masa 3 hingga 4 hari untuk keluar dari sarang dan terus ke laut. Selama 4 hingga 5 hari seterusnya ia tidak makan. Semasa ia dilahirkan, perutnya sudah mempunyai bekalan yang mencukupi untuk selama itu. Makanan utamanya ialah plankton. Dari beribu yang berenang ke laut, nisbahnya hanya 1 sahaja yang akan berjaya membesar menjadi penyu dewasa. Yang lain akan menjadi santapan ikan besar, burung dan sebagainya.

Perbezaan ketara antara ibu penyu dan anak penyu ialah cahaya. Ibu suka gelap sedangkan anak mengejar cahaya. Ancaman yang dihadapi oleh penyu ialah pukat nelayan,mati akibat termakan sampah sarap seperti plastik yang disangka obor-obor, air laut yang tercemar, menjadi sumber makanan manusia yang percaya akan kelebihan zat isi penyu , manusia membunuhnya untuk menjadikan cengkerang sebagai bahan hiasan dan penjualan telur penyu untuk dimakan.
Oleh itu, sampailah objektif rombongan ini iaitu memberi ilmu pengetahuan kepada semua khasnya anak-anak tentang kepentingan menjaga kebersihan laut, elakkan pencemaran, elakkan dari membeli dan memakan telur penyu. Anak-anak perlu tahu tentang semua perkara ini untuk memastikan agar penyu yang hidup dari zaman dinosaur tidak akan pupus akibat dari kecuaian dan kerakusan manusia sendiri........

Selangkah kaki, sejuta kenangan...3




Restoren Nasi Kerabu menjadi serbuan kami pagi ini untuk bersarapan pagi. Cadangan pertama nak makan Nasi Dagang tetapi atas permintaan ramai, maka kami bertukar menu. Pagi ini restoren tersebut kelam kabut melayan ramai pengunjung yang datang serentak dalam jumlah yang ramai. Hingga habis makanan di kedai tersebut dibuatnya! Tersenyum lebarlah taukeh kedai tersebut yang merupakan sahabat kepada seorang sahabat karibku di Shah Alam.

Selesai makan kami menuju terus ke Pasar Payang melalui Bulatan Ladang. Dulu, sebelum replika Batu Bersurat ditempatkan ditengah-tengah bulatan, seekor penyu spesis Belimbing yang diperbuat daripada batu di tempatkan di situ bertahun-tahun lamanya. Tapi bagiku pertukaran ini adalah baik kerana agama kita melarang menghias dengan patung berbentuk haiwan. Batu Bersurat mengingatkan kita kepada sejarah negeri ini...lebih berfaedah.

Bas diletakkan di Dataran Syah Bandar berhadapan dengan Pejabat Pos Besar Kuala Terengganu. Ingatanku langsung melayang masa remajaku. Disinilah aku mengeluarkan wang simpanan hasil dari penghantaran dari keluargaku melalui Money Order. Hampir setiap bulan aku ke sini selama bertahun lamanya. Sendu terasa di dalam hati mengenang kisah lalu. Benarlah sebagaimana kata-kata Nelson Mandela di bahagian profileku tentang tempat yang kita tinggalkan. Jauh sudah perjalananku, banyak pengalaman telah aku timba tetapi Pejabat pos itu tetap sama...tiada apa yang berubah kecuali kini mereka sudah berhawa dingin....

Kami berjalan kaki ke Pasar Payang sejauh 350m hingga 400m. Sepanjang jalan itu, fikiranku terus melayang ke zaman silamku. Aku dapat melihat diriku turun dari bot penambang yang membawa aku dari jeti Seberang Takir ke Pasar Payang dengan bayaran 30 sen sehala. Jelas kedengaran suara sahabat seperguruanku bersahut-sahutan bersembang dan memanggil satu sama lain. Sebelum itu, inilah juga pasar tempat aku setiap pagi untuk membeli ikan untuk masakan setiap hari. Ketika itu aku berumur belasan tahun. Ikan ketika itu sangat murah dan sangat segar!

Rombongan sampai di bangunan Pasar Payang. Tiada perubahan langsung kecuali sebuah bangunan tempat letak kereta di bina disebelah kiri pasar. Di pasar ini, pengunjung dapat membeli pelbagai jenis makanan, bahan masakan, sayur-sayuran, ikan dan hasil laut yang lain dan di tingkat atasnya menjual kain batik , cenderahati dan sebagainya. Semua ahli rombongan berpecah mencari barang yang mereka hajati. Pelbagai barang yang dibeli termasuklah keropok lekor, keropok keping, kain batik, baju batik, dan lain-lain lagi. Ada juga yang membeli toto yang sangat murah harganya dan banyak gubanya! Namun, aku mengakui bahawa masa untuk membeli belah kurang mencukupi tetapi sebagai ketua aku harus ingat bahawa objektif utama ke Kuala Terengganu ialah untuk menimba ilmu khasnya untuk anak-anak. Ilmu yang mereka dapat dari pengalaman yang lalui ini akan sentiasa lekat dikepala mereka.


Maka penuhlah perut bas kami dengan pelbagai barang belian semua ahli rombongan. Akhirnya laku juga wang yang dibawa! Bagiku , asal semua gembira dan berpuas hati, itu adalah pencapaian yang hebat untuk rombongan ini.