Entah apalah sebabnya , keluarga aku tidak kehabisan ditimpa musibah. Walaupun tak sebesar mana tetapi kekerapan berlakunya berturutan. Belum sempat menghela nafas lega, tersusul lagi satu musibah yang baru...Aku harap hari ini adalah yang terakhir. Cukuplah!!
Mula-mula Ammar diserang Rotavirus. Sejenis virus menyerang ususnya dan menyebabkan anak kecil itu muntah-muntah dan cirit birit yang tidak henti-henti. Dalam masa 2 hari sahaja, berat badan Ammar turn sebanyak 3 kilogram. Sebak hatiku melihatnya semasa berada di hospital. Lihat saja kelibat doktor pakar kanak-kanak yang biasa merawatnya, Ammar terus berubah wajah dan menangis hingga ke peringkat histeria. Tangan kecil anak itu terpaksa dicucuk dengan jarum bagi memudahkan ubat dan air dimasukkan ke tubuhnya. Dua hari Ammar terlantar di hospital. Berulang-aliklah kami sekeluarga ke hospital. Rasa gusar kami kembali ceria apabila Ammar dibenarkan pulang. Lega.
Sehari selepas Ammar keluar dari hospital, ibunya pulak diserang selsema. Heavy flu sehinggakan tidak mampu dia memandu kereta ke kelasnya. Jadi A'sim menghantarnya dengan motorsikal. Tak berapa lama selepas itu, A'sim menelefonku mengatakan bahawa Along demam dan meminta agar aku dapat menjemput Along pulang. Itu yang kulakukan. Kesian anakku.
Keesokan harinya Along diberi cuti sakit. Pagi itu juga entah mengapa A'sim ingin berjumpa denganku sebelum bertolak dengan motorsikalnya ke pejabatnya di Putrajaya. Selalunya tidak begitu. Hatiku berkata-kata tetapi seperti ibu-ibu lain, aku mendoakan untuk keselamatannya. Sepanjang pagi itu aku tak sedap hati. Ada yang tak kena. Along terpaksa ke balai polis untuk membuat laporan kehilangan Sijil Nikah mereka. Destinasi seterusnya ialah ke Jabatan Agama Islam Selangor. Belum sempat urusan itu dibereskan, Along terima panggilan dari kakitangan Asim mengatakan bahawa Asim terlibat dalam kemalangan jalanraya. Apa yang aku takutkan kini berlaku. Tak tentu arah aku dibuatnya.
Asim kami pindahkan dari Hospital Putrajaya ke Shah Alam bagi memnyenangkan kami bersamanya. Kaki kanan Asim luka parah dan ada tulang yang hancur, ada tulang yang patah, ada luka yang dalam dan hilang sebahagian tumit kakinya. Runtun hatiku melihatkan keadaannya. Tetapi aku masih lagi bersyukur kepada Allah kerana menantuku terselamat. Alhamdulillah.
Lapan hari Asim ditahan di hospital. Ramai teman dan saudara datang melawatnya. Terima kasih kami ucapkan atas segalanya. Allah sahaja yang dapat membalasnya. Kaki Asim terpaksa dibedah bagi menggantikan tulangnya yang hancur. Stelah dibenarkan keluar dari hospital, Asim ditemptkan dirumah kami di Kuarza Lane. Makanannya ala makanan orang dalam pantang bersalin. Cuma yang bakar, kukus dan rebus sahaja yang kuberi untuknya. Alhamdulillah beransur cergas nampaknya.
Keesokan harinya, suhu badan Ammar tiba-tiba naik mendadak. Disahkan oktor Demam Panas. Ubat yang diberi nampaknya kurang berkesan. Kami membawanya ke hospital pakar dan doktor menukarkan ubat yang lebih mujarab. Kebah demam Amar dan kami rasa tenang sikit. Namun hidungnya yang tersumbat menyebabkan dia susah tidur. sepanjang malam dia akan tergolek ke kiri dan kanan sahaja. Tak nyenyak . Kesian cucuku. Kalau boleh biarlah aku yang menanggung kesakitannya tetapi itu adalah sebahgian dari peringkat pembesaran. Semua orang pasti melaluinya.
Baru saja aku rasa nak lega sikit, tiba-tiba dapat panggilan kecemasan dari Tanjung Malim. Ibu mertuaku jatuh pengsan sebanyak dua kali dirumahnya. Langsung kupecut kereta pulang ke kampung. Ada masa-masanya fikiranku melayang tentang apa yang sedang aku hadapi ini. Tanpa banyak cerita, aku angkut kedua ibu mertuaku serta kakak iparku ke Shah Alam. Terus DIMY membawa ibunya berjumpa doktor. Sementara itu, Ade, Majid dan Samy mengemaskan bilik untuk kegunaan pesakit. Timbul pula masalah katil orang sakit. Mus membawa aku ke Seksyen 18 untuk membeli katil lipat beserta tilam. Mujurlah dapat. Alhamdulillah, pemeriksaan doktor mendapati yang tiada tulang yang patah dan tiada luka di mana-mana. Cuma lebam di peha kiri dan bengkak di lutut kanan serta sikunya. Bayangkanlah kalau ada tulang yang patah....tak mahu aku membayangkannya. Syukur Alhamdulillah.
Kini rumahku ibarat rumah sakit. Nasibku baik kerana ramai yang datang membantu. Terima kasih kepada semua ahli keluargaku serta sahabat yang sama-sama menolongku dan bersabar mengahdapi ujian ini. Pasti ada hikmahnya. Yang pasti, kita kelihatan bersatu. aku berdoa agar Allah memberi kami sekeluarga kekuatan. Ya Allah, bukan aku tak sanggup menerima ujianMu tetapi aku ini manusia kerdil yang banyak kurangnya. Kau tinggikanlah kesabaran kami untuk menjalankan tanggungjawabku ini.....