Tuesday, August 4, 2009

Apakah Ismailmu?

Mecca in 1850Image via Wikipedia

Nabi Ibrahim diuji dengan pelbagai ujian....berhadapan dengan bapanya si pembuat berhala, dibakar hidup-hidup, lambat memperolehi anak, menempatkan keluarga dan meninggalkan mereka di tanah gersang kering kontang dan yang paling hebat ialah ujian penyembelihan anaknya Nabi Ismail.

Ketika itu Nabi Ibrahim berusia 98 tahun. Perintah datang dalam mimpi. Terus berbincang dengan anaknya tentang mimpinya itu dan sebagai anak yang taat, Nabi Ismail bersetuju untuk disembelih kerana itu adalah perintah Allah! Bayangkanlah pengorbanan kedua beranak ini. Mampukah kita mendidik anak kita mengikut perintah Allah sebulat hati Nabi Ismail? MasyaAllah!!

Islam ertinya menyerah diri ke hadapan Allah dengan tidak ada soal jawab. Islam mesti dibuktikan dengan pasrah dan pengorbanan. Obedience and surrender!

Bila matahari dicipta, Allah menjatuhkan hukum kepadanya iaitu memerintah matahari keluar pada waktu Pagi dan masuk pada waktu senja. Begitu juga dengan Bulan yang diperintah keluar apada waktu malam dan masuk pada waktu subuh. Kedua mahluk Allah itu berpegang teguh kepada perintah Allah dan menjalankan tugas mereka selamanya.


Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail tunduk dan berserah pada Allah…Fa Lamma As Lamma

Atas kesetiaan, pengorbanan dan penyerahan kedua beranak itu, Allah menaikkan darjat Nabi Ibrahim kerana mengiyakan mimpinya utk menyembelih anaknya Nabi Ismail. dengan tidak bersoal, was-was atau hati yang berbelah bahagi. Baginda menjalankan perintah Allah dengan penuh ketaqwaan dan berserah kepada Allah sepenuhnya.Baginda sanggup mengorbankan anak kesayangannya yang kalau mengikut usianya itu, susahlah untuk mendapat zuriat lagi. Namun perintah Allah wajib dijalankan.


Oleh kerana peristiwa ini, Allah telah menaikkan darjat Nabi Ibrahim begitu tinggi sekali sehinggalah namanya di sebut dalam solat (Salaammmu Ala Ibrahim (Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim).. malah bekas tapak kakinya semasa membina kaabah, diletakkan di kawasan Tawaf. Nabi Ismail juga tidak ketinggalan. Oleh kerana kesetiaannya, Allah menaikkan darjatnya dengan adanya Hijir Ismail. Kedua tempat ini dikunjungi umat Islam ketika mengerjakan Umrah dan fardhu Haji.


Dari peristiwa penyembelihan ini, cuba cari dalam diri kita, apakah 'Ismail' kita. Ertinya carilah sesuatu, baik harta benda atau sesiapa dalam hidup kita yang kita sanggup berkorban dan lindungi dengan nyawa kita. Tetapi ingatlah, jangan jadikan 'Ismai'l kita itu sebagai penghalang kepada ibadah kita kepada Allah!

Reblog this post [with Zemanta]