Sunday, May 24, 2020

Sunyi

              

               Selalunya, disaat hadirnya Aidil Fitri, aku rasa macam tak cukup tangan untuk membuat persiapan. Dari mengemas, memasak, menyiapkan meja makan, masukkan biskut dalam botol, mengghias rumah, masak lagi , kemas lagi.....memang pada masa itu nak banyak tangan macam sotong! tapi tidak kali ini.....sunyi....



               Bila si Virus yang diberi nama COVID19 singgah dan tersebar di seluruh dunia, Malaysia tidak terkecuali. Kita sangkakan ia tidak mungkin sampai ke negara kita sebab bermulanya di Wuhan, China. Dikatakan pula berpunca dari pemakanan mereka! Tapi meleset sungguh sangkaan kita. Dalam masa beberapa minggu sahaja, setelah kita lihat keadaan di Wuhan yang terpapar di televisyen, tiba-tiba terdapat kes yang sama di negara kita!

               Pening seketika! Akan terjadikah situasi yang sama sebagaimana yang kita lihat dalam peti televisyen! Ya Allah! Takutnya! Tetapi masih kita menidakkan. Degil sungguh orang kitakan! Ada segelintir tidak ambil hal langsung. Untuk memastikan keadaan tidak bertambah buruk, pemimpin kita kenakan perintah berkurung! Ambik kau!!!! Ramai yang tidak bersedia untuk menghadapi keadaan ini. Panik! apa tidaknya, sekolah tutup, kedai tutup, pejabat tutup.....pening!!! Boleh keluar tetapi dalam lingkungan 10 km  sahaja. Boleh ke kedai membeli barang dapur tetapi seorang sahaja....pilu dibuatnya! Sana-sini polis jaga. Siap tutup jalan untuk kawal pergerakan.



               Untuk seketika, terkedu orang kita. Mati kutu. Biasanya anak-anak ke sekolah, tapi kini 24 jam dalam kawalan sendiri. Barulah ibubapa tahu bertapa hebatnya para pendidik menjaga dan mendidik anak mereka di sekolah. Barulah ibu bapa yang tidak pandang jawatan guru itu, belajar menghargai pengorbanan guru. Baru tahuuuu. Bila ada kerja atau projek yang diberi untuk anak, ada yang macam nak gantung diri  melihatkan gelagat anak yang bergantung penuh pada mereka. Ada yang menjerit sampai nak terkeluar anak tekak dan tersembul biji mata! Baru tahuuuuu.

                Bagi yang bekerja, tiba-tiba 24 jam kena duduk rumah. Kalau dipejabat, dapatlah juga menyembang dan membawang...kali ni dengan keluarga sendiri. Siang malam, itulah lubang hidung yang kita hadap.  Dua tiga hari pertama, boleh terima lagi. Dah masuk hampir sebulan, pandang pun menyakitkan. ditambah pulak dengan hingar-bingar gelagat anak-anak di rumah. Semua benda menyakitkan hati.......cubalah belajar mengenali dan bersabar....



               Tetapi, lama-lama, kita mula pandai kendalikan diri dan keluarga kita. Kena pulak bulan Ramadhan hadir. Yang tak pernah jadi imam seumur hidup, tiba-tiba jadi imam besar di rumah masing-masing. Yang dah lama tak menyelak AlQuran, dah mula mengaji. Pelbagai aplikasi digunakan untuk mengaji online. Ada guna Zoom, Watsapp Video Call dan sebagainya. Yang jarang sekali ke dapur, tiba-tiba kena buka semula buku resepi hikayat bonda yang dah berumur 30 tahun. Ibu-ibu mencuba resipi. Disangkanya dah hilang skill, rupanya bila setiap hari , 40 kali sehari di dapur, kecekapan datang kembali. Tiada pilihan sebab kedai makan kesukaan atau tidak, kena tutup.
               Tiba pulak Aidil Fitri....pemimpin beri peringatan bahawa kita tidak boleh balik kampung. Kalau dah kebetulan berada di kampung, kira bernasib baiklah tetapi yang terkurung di tengah bandaraya, maka beraya sendirilah jawabnya. Pening lagi....biasanya mak atau kakak yang masak juadah Raya. Rendang! Lodeh! Kari!......!#!$%^^....kini, kena buat sendiri. Bukalah buku resepi hikayat bonda yang dah nak relai tuuuuuu..... Setelah dicuba beberapa kali, akhirnya menjadi.....Alhamdulillah. Kan bagus tuuuu...




               Bagus juga perintah berkurung niiii.....banyak hikmah yang tersirat yang Allah sampaikan kepada umat manusia. Alam pun boleh menghela nafas kerana manusia semua direhatkan. Masa untuk alam membaiki diri, menyuburkan dan mengepak.....



               Namun apa pun, Aidil Fitri yang jatuh hari ini, 24 Mei 2020, adalah sambutan Hari Raya yang paling sunyi. Tiada peluang Solat Sunat Aidil Fitri di Masjid, tiada kunjung mengunjung, tiada sanak saudara datang bersalaman dan berpelukan.....hanya kita sendiri sahaja. Semoga, segeralah selesai pendemik ini supaya kita dapat bermasyarakat semula. Tetapi, percayalah, selepas ini, cara hidup kita, sosial kita akan berubah. Kita tidak akan seperti dulu lagi. Lupakan nak berpelukan dengan rakan, bersalaman pun jangan. DG Kesihatan dah bagitahu, paling awal kita begini ialah 2 hingga 5tahun. Virus seolah-olah semakin hilang tetapi sebenarnya tidak. Oleh kerana kita terkurung dan tidak berjumpa dan bersosial, rantaiannya terhenti tetapi ia masih ada! Harap-harap, selepas Aidil Fitri, graf kita tidak naik kerana difahamkan, ada juga manusia yang degil balik kampung.... Polis pun naik pening!Sesungguhnya tak berfikiran panjang....mungkin ada 7 nyawa.


               Duduklah di rumah. Jagalah orang tua kita dan jagalah anak-anak kita. Kenangilah frontliners yang berkorban untuk menjaga kita. Tidakkah kita mengasihani mereka? Kalau tak kasihan pun tak apa tetapi jangan nak menyusahkan mereka pula! Cukuplah pengorbanan mereka selama ini walaupun itu adakah tugas mereka tetapi sebenarnya tanggungjawab kita untuk tidak membebankan mereka.



Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin.


STAY HOME,,,
STAY SAFE......