Sunday, December 27, 2020

Mencemburuimu...beruntunglah kamu!

 

          Saban hari dia terlantar di atas katil. Namun, sedikit keluhan pun tidak keluar dari mulutnya. Dirinya berserah penuh kepada Allah. 


          Pelbagai usaha untuk memberi keselesaan kepadanya. Berusaha si anak menghantar ke hospital swasta semampunya. Dia dirawat pakar dan dilawat oleh keluarga, sanak saudara dan kenalan. Sepanjang kau di sana, anakmu itu tidak pernah membiarkan kau sendirian. Dia sentiasa menemanimu, mendoakanmu dan mengharapkan yang terbaik untukmu.


          Melihat kau terbujur disitu mengingatkanku kepada Allahyarham Abah.  Tak sanggup aku berlama menatapmu. Di saat itu aku mendoakan agar Allah memberimu yang terbaik dan semoga Dia berlemah- lembut denganmu. 


          Di saat aku bermusafir untuk bertemu anak cucuku, kau pula dijemput pulang selamanya. Apakan dayaku tidak dapat menziarahimu buat kali terakhir. Namun aku sentiasa diberi maklumat terkini. Aku amat mencemburuimu kerana peninggalanmu. Kau punya anak yang solleh. Hingga dibacakan sendiri Talkin di pusaramu.  Sepanjang aku melihat rakaman itu, aku menangis dan menangis. Sedih bercampur bangga dan cemburu! Kau amat beruntung. Semoga kau tetap beroleh keberuntungan hingga di akhirat.....Itulah hadiah terbaik buatmu. 


          Beristirehatlah wahai abangku. Sepanjang hidupmu kau telah berusaha sehabis baik buat semua dan kini rasakanlah hasil perkebunananmu yang hidup subur menghijau.  


            Takziah buat seluruh keluargamu dan tahniah buatmu......kerana peninggalanmu yang hebat! Beruntunglah kamu.