Jauh perjalanan, Banyak pemandangan , Luas pandangan.
Itulah yang selalu diperkatakan oleh suamiku kepada kami sekeluarga.
Perjalanan yang jauh bermula dari kediaman kami di Shah Alam menuju kendestinasi pertama iaitu Kota Bahru. Perjalanan sejauh 400km mengambil masa selama 6jam selamat ditempuhi.
Kami bermalam di rumah sahabat karibku Cikgu Akhtar Zaiti dan suaminya Cikgu Wan Ikram. Seperti lazimnya, kedua siami isteri ini memang suka menjamu tetamu dengan hasil air tangan sendiri. Pelbagai juadah dihidangkan untuk kami. Semoga Allah memurahkan rezeki mereka sekeluarga.
Pada awal keesokan paginya, selepas bersarapan di sebuah gerai yang dipanggil Nasi Berlauk Katil (kerana si penjual duduk bersimpuh di atas sebuah katil besi yang usang dan di sekelilingnya adalah bahan jualannya....sangat unik!)
Perjalanan dari Kota Bahru ke Rantau Panjang mengambil masa selama 48 minit sahaja. Sebelum kami melepasi sempadan Malaysia -Thai di Rantau Panjang, ada sedikit gangguan bunyi pada kenderaan kami. ini menggusarkan. percayalah wahai sahabat semua bahawa doa Musaffir itu dimakbulkan. Kami didorongkan ke sebuah bengkel dan dalam masa kurang dari sejam, segala ya telah dibaiki. Rupanya ada skru yang perlu diketatkan ikatannya. Alhamdulillah.
Haji Adam membawa kami ke merata tempat dan ceruk. Kami memasuki pekan-pekan kecil seperti Sungai Kolok dan Tatbai. Kedua nama pekan ini memang aku tahu tapi inilah kali pertama ke sana. Bukanlah besar sangat pekannya. sama saja seperti deretan kedai di Rantau Panjang sahaja.
Sepanjang perjalanan menuju ke Narathiwat, setiap beberapa kilometer pasti ada 'road block'. Beberapa orang askar lengkap dengan selaras senapang memberhentikan dan memeriksa setiap kenderaan . Berkumat-kamitlah kami berempat membaca doa masing masing. Di sepanjang perjalanan itu tidak kurang dari sepuluh 'road block' yang kami tempuhi. Yang pasti, semua road block adalah berhampiran dengan masjid-masjid yang kelihatan jelas dari tepi jalanraya. Sungguhpun begitu keadaannya, sedetik pun kami tidak ada rasa cemas atau terancam malah kami rasa selamat.
Di bahagian selatan Siam memang diketahui ramai penduduknya terdiri dari orang Islam. Memang jelas kelihatan banyak masjid kecil dan besar serta madrasah dibina di situ. Di sana sini kelihatan wanita wanita yang bertudung dan kaum lelakinya berserban atau berkupiah. Terasa seronok dihati melihat keadaan seperti itu kerana jarang sekali dapat melihat ramai anak anak muda kita berkupiah dalam jumlah yang ramai. Terasa pulak diri ini masih di negara sendiri sehinggalah mereka mula berkata-kata. hahahhaha
Kami singgah untuk solat Zohor dan Asar di sebuah masjid. Sungguh unik masjid ini. Masjid Wadi al Hussein yang sudah berusia 390tahun dan ia masih utuh. Keseluruhan bahagian masjid ini diperbuat daripada kayu dan rumah yang diduduki oleh Imam masjid tersebut juga seusia masjid ini. Sungguh cantik binaan ini.
Terhenti sejenak mengamati pemandangan disekeliling. Agaknya, bagaimanakah rupanya keadaan kehidupan mereka di zaman itu. Bagaimanakah Islam disebarkan dan dipertahankan hingga ke hari ini. MasyaAllah.....
Sebelum kami berangkat keluar dari masjid, terdapat satu kumpulan besar pengunjung datang melewati masjid tersebut. Rupanya orang Malaysia dari Gombak, Selangor. Maka sessi bersembang Melayu pun bermula..... seronok rasa di hati dapat bertemu dengan orang kita.
Selepas menikmati hidangan makan tengahari, kami menyusuri jalan pantai dan berhenti sebentar di Pantai Narathiwat. Terdapat banyak aktiviti sihat yang dijalankan di sana. Peniaga tidak melepas peluang menjual pelbagai barangan tetapi mereka tidak mengejar dan memaksa kita membeli . Bila kita singgah dikedainya, barulah mereka bertanya hajat kita. sangat relaks di sini.
Perjalanan diteruskan ke Songkhla. Jarak pemanduan kami keseluruhannya dari Sungai Kolok atau Golok ke Songkhla adalah sejauh 275km mengambil masa selama 4 jam 23 minit. itu tidak termasuk masa kami makan dan solat. Perkhidmatan Google Map dan Waze amat membantu. Setibanya kami di Songkhla, tugas pertama kami ialah mencari bilik hotel. Badan terasa letih kerana perjalanan yang jauh. Malam itu kami bermalam di Samila Resort. Agak mahal tetapi badan perlu direhatkan. Oleh kerana perut masih kenyang, Kami makan makanan ringan sahaja. Malam itu kami tidur nyenyak.
Selamat malam....