Friday, December 18, 2020

Persahabatan Jarak Jauh


            Kami tidak pernah bersua muka. Hendak membayangkan wajahnya pun aku tak mampu. Kali pertama mendengar suaranya aku dapat rasakan keikhlasannya. Alhamdulillah.


           Suatu hari, anak sulongku Hana, membawa pulang seorang teman perempuannya. Tanpa meminta izin atau bertanya pendapat,  dia megambil keputusan sendiri untuk  menumpangkan kawannya di rumahku. Aku tidak berkata apa sehinggalah berpeluang bersemuka dengan anakku untuk mendapatkan penjelasan.


         Setelah diterangkan sehabis padatnya dan sehabis logiknya, aku bersetuju dengan tindakan anakku itu. Niatnya memang baik. Dia risau tentang kawannya itu untuk tinggal bersendirian tanpa pengawasan orang tua......akulah tu! ini adalah kerana Aqilah adalah anak bongsu kepada sebuah keluarga dari Kuantan, Pahang.


        "Orang merantau Mak, tak sanggup Along tengok dia tinggal seorang diri. Kita tumpangkan dulu buat seketika. Bila kita rasa dia dah bersedia untuk berdikari, barulah kita lepaskan. Bolehke Mak?" aku hanya mengangguk bersetuju. Tiada kata yang mampu aku keluarkan ketika itu kerana jika akulah ibu Aqilah, aku adalah manusia yang paling runsing memikirkan anakku sendirian di perantauan.


            Alhamdulillah, Aqilah anak yang baik. Sopan dan amat menghurmati orang dan ruang orang lain. Pandai menjaga aurat dan pembersih orangnya. Beruntung ibu yang melahirkannya. Sekali imbas, wataknya nampak macam keras tetapi sebenarnya dia pelembut dan manja.  Ini adalah kerana dia seorang ahli sukan. Pernah mewakili Malaysia dalam pasukan hoki negara kita. Aku anggap Aqilah sebagai anakku sendiri. Yang mana salah kutegur and yang mana patut aku zahirkan. Tetapi, dia bukan anak yang menyusahkan. Alhamdulillah.


          Semalam, anakku mengiringi Aqilah pulang ke Kuantan setelah 3 bulan tidak bertemu ibunya. Aku boleh bayangkan bertapa rindunya mereka. Anakku Hana di perkenalkan dengan Sofia, ibu Aqilah. Hana kagum dengan layanan keluarga Aqilah dan bila balik, dibekalkan pelbagai jenis makanan seperti Puding DiRaja, Tempoyak, Pekasam Ikan Kelah, pelbagai jenis ubi, Sayur-sayuran, Buah-buahan dan sebagainya. Tetapi yang paling hebat ialah Sofia kirimkan buah tangan buatku....bunga ORKID!!! Ya Allah, gembira tak terkira tetapi dalam masa yang sama takutnyaaaaa. Sebabnya, aku tidak tahu menanam orkid , apa tah lagi menjaganya! Sofia siap bekalkan bajanya sekali. Ini satu cabaran buatku. Jika menjadilah Orkid pemberian Sofia ini, maka selepas ini banyaklah pokok bunga orkid di sekeliling rumahku! Tolong doakan ya!! InSyaAllah!


          Bersahabat tidak perlu berdekatan atau perlu pertemuan. Hanya berkenalan dan bersembang melalui telefon sudah mencukupi untuk mengenali isi hatinya. Persahabatan yang berpaksikan keikhlasan InSyaAllah berkekalan. 


          Terima kasih Kepada Sofia yang percaya kepada aku dan keluarga menjaga anak daranya. InSyaAllah, Aqilah dah cukup dewasa dan pandai serta bijak menjaga dirinya sendiri. Percayalah. Jangan risau kerana dia ada keluarga yang menyayanginya di sini. Semoga Allah kekalkan Persahabatan Jarak Jauh ini hingga ke Jannah. Alhamdulillah.....