Tanggal 4hb Mei setiap tahun, keluarga, saudara, sahabat-handai dan jiran tetangga tidak putus-putus menghantar ucapan Selamat Menyambut Hari Lahir buat aku beserta dengan doa-doa yang baik..... Aku mengamiinkan setiap doa yang kuterima dan berdoa kepada Allah supaya mengurniakan yang sama buat mereka.
Semenjak kebelakangan ini, setiap kali tarikh keramat ini muncul, aku kerap merasa sedih. Menangis bukan kerana diri semakin berusia tetapi mengenangkan apakah pencapaianku dalam membaiki diriku selama ini. Cukupkah bekalan untuk diriku untuk kupersembahkan kepadaNya? Sekuat mana aku berusaha untuk mendidik diriku ini, tetap aku merasa banyak lagi kekurangannya. Ini menyebabkan aku menjadi risau dan takut. Apakah pekerjaanku selama ini boleh menjamin untuk membela diriku di sana nanti? Kupujuk hatiku sendiri dengan menyakini Allah Maha Mengetahui....Maha Mengasihi lagi Mengasihani.
Sejujurnya, setiap tahun di waktu ini, aku akan menziarahi pusara kedua orang tuaku yang telah lama meninggal dunia. Allayarhamah Mak pergi pada tahun 2003 dan Allayarham Abah pula lima tahun lebih awal. Semoga kedua roh mereka tenang di alam barzakh dan semoga kami dapat bersama sebagai satu keluarga di Jannah nanti. Aku sentiasa memikirkan bertapa besarnya pengorbanan mereka melahirkan, membesarkan dan mendidik kami dengan cara yang mereka tahu dan mampu. Benarlah bahawa sebanyak mana sekalipun yang diberikan untuk mereka, tidak akan termampu membayar jasa mereka...tidak akan terbayar. Cara terbaik sebagai anak ialah membuat sebanyak-banyak kebaikan, bersedekah dan mengaji Al Quran dan berdoa semoga pahala itu disalurkan untuk mereka di sana dan menerangkan kubur mereka. Itulah yang kita semua harapkan.
Ramai yang bertanya, apakah hadiah istimewa yang aku dapat dari suamiku...soalan sama setiap tahun dan jawapanku juga sama setiap tahun. Suamiku tidak membeli hadiah buatku. tetapi, setiap hari khasnya pada hari kelahiranku, dia akan memelukku dan berdoa kepada Allah dan bermula dengan bersyukurnya dia mempunyai isteri sepertiku. Kemudian dia akan berdoa, doa yang terbaik buatku.....
memberiku kesihatan yang baik,
memberi aku kekuatan mental dan fizikal,
memberi aku ketenangan hidup,
memberi aku kesabaran dan
mengurniakan kebahagiaan disampingnya dan seluruh keluarga kami.
Apa lagi yang aku mahu.....
Ya Allah makbulkanlah doa suamiku.
Tahun ini genap 59 tahun umurku. Tahap ini ialah umur bonus. Aku bermohon kepada kalian, bila mendoakanku, mohonkan kepada Allah agar melembutkan lidahku untuk membaca Al Quran, menerangkan penglihatan untuk membaca Al Quran dan menerangkan hatiku untuk memahami Al Quran. Umur yang sebegini, dunia bukan lagi keutamaan. jika kau seusiaku, ayuh kita berubah ke arah kebaikan untuk diri kita, keluarga kita, sahabat-handai kita dan ibubapa kita kerana Allah.