Thursday, August 9, 2012


               Mereka kuanggap seperti keluargaku sendiri. Azmi Mustaffa dan Azemina Ceman. Dua insan mulia yang ketika kali pertama kami kenali di  lapangan terbang Stuttgart, German adalah merupakan strangers. Aku tidak tahu akan rupanya dan begitulah sebaliknya! Lucu tapi benar.

              Ketika itu aku bersama seorang teman karibku DS Norkiah dan turut bersama kami ialah arwah ibu kepada Nazri yang ketika itu berkhidmat di Bosnia. Melalui Nazrilah aku berkenalan dengan keluarga hebat ini.

             Azmi dilahirkan di Singapura dan Azi pula berasal dari Bosnia. Dua orang yang berbeza budaya dan latar belakang, bersatu sebagai satu pasangan dan kini mempunyai tiga orang cahayamata yang kesemuanya lelaki! Oleh kerana berisiterikan Azi yang mana kedua ibubapanya hanya tahu dan hanya mahu berbahasa Bosnia, maka Allah telah memberi kepandaian kepada Azmi  fasih bukan hanya dalam bahasa Bosnia tetapi German juga!  

              Azi pula adalah seorang wanita yang periang, tegas, cekap, lucu dan sangat penyayang lagi perihatin. Sebenar-benarnya Allah Maha Kaya mempertemukan kedua insan ini menjadi satu. Ketika itu, mereka baru beranak satu dan Azi sedang menanti hari untuk melahirkan anak keduanya.

              Dalam keadaan sarat mengandung, kami dapat melihat kelincahan Azi mengendalikan rumahtangganya. Kegemarannya ialah makan masakan Melayu yang pedas-pedas dan lagu -lagu Melayu kegemarannya ialah nyanyian  arwah Sudirman! Bayangkanlah, sepanjang perjalanan kami ke merata tempat , mereka akan mainkan lagu lagu tersebut....dan kami nyanyi bersama. Sungguh lucu dan menyeronokkan!

               Tiba masa kami hendak ke Bosnia untuk menghantar ibu Nazri bersama Azmi. Ketika itu, jantungku berdebar-debar....bukan kerana takut tapi out of excitement! Maklumlah, banyak cerita yang kita dengar dan banyak berita yang kita baca dan lihat melalui corong-corong televisyen tentang kemusnahan dan kekejaman yang berlaku di sana. Bagaimanalah keadaannya! Tak dapat kubayangkan.....

                Kami memulakan perjalanan seawal pagi. Hanya kami berempat sahaja . Azi dan Hakim anaknya tidak turut serta kerana keadaan Azemina.  Sepanjang perjalanan, pemandangannya sangat cantik. Tidak mampu hendak kukarangkan akan keindahan ciptaan Illahi. Setibanya di Latvia, setelah 5 jam perjalanan dan ada 5 jam lagi untuk sampai ke destinasi, tiba-tiba, Azmi mendapat panggilan telefon. Azi sudah hampir untuk bersalin dan sudah menelefon hospital. Yang ku dengar ialah ...waterbag dah pecah! Segala langkah yang patut diambil sudah dilakukan sendiri oleh Azi.  Cekap sungguh perempuan itu. Azmi dalam dilema...teruskan atau pusing ke belakang? 

               Kami sebenarnya kasihankan arwah Mak Nazri kerana terlalu merindui anak cucunya tetapi kami ambil keputusan untuk pusing ke belakang dan balik ke Stuttgart untuk bersama Azi! Maka terkuburlah hajatku untuk ke Bosnia tetapi aku yakin, Insyaallah akan ke sana jua satu hari nanti. Azemina selamat melahirkan Hadi sebelum kami sampai ke hospital.

               Kini, pasangan hebat ini berhajat untuk tinggal di Malaysia kerana Azmi membuka pejabatnya di Kuala Lumpur dan kini memiliki sebuah rumah di tengah-tengah bandaraya ! Sebelum mereka pindah sepenuhnya, kami berharap untuk berkunjung ke Bosnia bersama-sama demi memenuhi impianku!

             To both Azmi and Azi, thank you for everything. It's been a joy having you in our life. I thank Allah for this wonderful gift.