Monday, August 26, 2013

Ade.... dulu kini dan selamanya......

Ade....dulu, kini dan selamanya.
Ade seperti adik sendiri.
Dia kuanggap seperti adik kandungku sendiri. Bertahun sudah kami berkenalan .... seingat aku dari tahun 1995 lagi. Ketika itu dia masih bujang.... baru putus cinta! Hahaahhaha... masih kuingat lagi wajah murungnya.  Suka menyendiri dan termenung! Tetapi selepas lukanya terubat, Ade adalah orang yang berbeza, lebih relaks, ramah dan penyayang..... dan yang pasti periang.  Orangnya sangat rajin, bersikap positif dan sangat bertanggungjawab.

Tugasnya sangat mudah tapi sangat memerlukan disiplin, berjiwa tenang, ikhlas dan tidak boleh nipis telinga. Dia dah masak sangat dengan sifat pemarah dan cerewet ketuanya. Ditelannya saja. Yang mana perlu diselesaikan, pasti dilakukan dengan sebaik mungkin. Ade akan pastikan ketuanya sampai ke destinasi tepat pada masanya. Sepanjang yang aku ingat, kami tidak pernah lewat kecuali jika berlaku kesesakan lalulintas atau aral yang lain.

Setiap pagi tugasnya yang pertama ialah mencuci dan membersihkan kereta. Anehnya bukan kereta rasmi malah kereta persendirian kami pun dibersihkannya juga. Bayangkan bertapa manjanya kami dengan Ade. Tidak cukup lagi, dia akan pastikan cukai kenderaan, insuran, bayaran bulanan malah saman, semuanya akan diselesaikannya untuk kami. Bila kami menghadapi kerosakan kenderaan dijalanan, Adelah orang pertama yang terlintas di fikiran kami sehinggalah sekarang.  Malah untuk membeli kenderaan baru pun, kami akan minta pandangannya. bertapalah pentingnya Ade dalam kehidupan kami. Kami pasti urusan kami akan selesai.

Walau sesibuk mana sekalipun, Ade pasti adakan masa untuk kami. Semasa Hana dan Azman masih dibangku sekolah, Ade menjaga mereka seperti adik-adiknya sendiri sehinggakan di satu peringkat bila anak-anak meningkat dewasa, segala gerak-geri mereka diperhatikan demi menjaga keselamatan mereka dan menjaga marwah keluarga. Bertapa besarnya pengorbanan Ade kepada keluarga kami.

Satu ketika, sekitar 14tahun yang lalu, selepas Ade dikurniakan anak sulongnya NurIlham dan ketika itu isterinya Shila masih dalam pantang, Ade dilanggar kereta. Ade dalam perjalanan ke rumah kami untuk memulakan tugas hariannya. Akulah orang pertama yang mendapat berita itu dari orang yang melanggarnya. Nasib baik aku tidak panik. Aku mendengar dengan tenang dan mengambil tindakan segera. Terus ke hospital untuk memastikan keadaannya. Ade dalam kesakitan yang amat sangat. Dia hanya boleh mengerang dan mengalir airmatanya menahan kesakitan. Sedihnya aku ketika itu. Runtun hati melihatkan keadaannya. Kemudian Ade mula muntah. Tak sempat kucapaikan bekas, kuhulurkan sahaja telapak tanganku agar adikku muntah saja disitu. Kutolak rasa geli atau jijik  kerana perasaan mengasihaninya mengatasi segalanya. Berkali-kali Ade muntah. Kemudian, bibir dan kulit Ade bertukar warna biru dan doktor pakar syak kecederaan dalaman. Inilah tangan dan jari-jemari yang menandatangani borang dengan persetujuan Ade untuk menjalani pembedahan segera. Aku tidak tahu samada tindakanku wajar atau tidak tapi bagiku nyawa Ade jauh lebih bernilai. Aku memohon agar Allah selamatkan adikku itu. Airmataku tidak tertahan hingga terpaksa ditenangkan oleh suamiku. 

Selepas Ade disorong masuk ke bilik pembedahan, aku kumpulkan segala tenaga dan mula menelefon ahli keluarga Ade di Banting. Bagaimana cara aku sampaikan berita itu tidak dapat kulupakan..... dengan penuh ketenangan dan dengan kata-kata yang tersusun supaya tidak menimbulkan suasana cemas. Alhamdulillah keluarganya tenang menerima berita dan terus bergegas datang ke hospital. Aku tidak sanggup hendak menyampaikan berita kepada isterinya yang di dalam pantang, namun aku terpaksa dan Shila juga tenang setelah diberitahu walaupun aku tahu bertapa susahnya hatinya ketika itu.

Alhamdulillah, Ade selamat dibedah dan dimasukkan ke dalam wad. Lega dapat melihatnya senyum. Itu sudah cukup buatku senang hati dan menarik nafas lega kerana adikku selamat sudah.

Setelah suamiku bersara, Ade tidak mahu memandu lagi. Kini, di syarikat yang sama, Ade bertugas sebagai penyelenggara lori-lori sampah milik syarikat. Namun, kasih Ade pada kami sekeluarga masih utuh. Tidak pernah sekalipun dia membelakangkan kami. Baginya, kami adalah keluarganya. Terima kasih adikku.


Kini, Ade bahagia disamping isterinya seorang guru sekolah menengah dan mempunyai tiga orang cahayamata iaitu Nurilham, Iklima dan Iddin. Ade bertuah dapat isteri yang sangat memahami jiwa dan kehendaknya. Kami menyayangi Shila dan anak-anak mereka sebagaimana perasaan kami pada Ade.... dari dulu, kini dan selamanya...Insya Allah.

Ade juga kini mempunyai perusahaan bas sendiri untuk tujuan penyewaan. Bila kami melihatkan peningkatannya, kami bersyukur dan tumpang rasa bangga dan gembira. Kini perniagaan Ade semakin maju dan berkembang. Bermula dengan sebuah bas dan kini sudah tiga. Semoga Ade terus maju dan cemerlang di dalam apa saja yang diceburinya.


Bersembang dengan Ade dan isterinya.

Mak merah yang kupanggil 'Mak'.

Kak Long dan Abang Long yang juga adalah ibubapa pengantin perempuan.