Sunday, July 28, 2013

Melepas rindu ...... Muar



Sejak bulan Syaaban lagi, hati ini sentiasa berkata-kata dan fikiran tidak putus bertanya.... bilakah masanya? Soalan yang sebenarnya senang untuk dijawab tetapi yang menyusahkan ialah masa.....

Masa, kalau kita fikirkan kembali, Allah beri kita masa selama 24 jam sehari semalam. Selalu kita kata tak cukup masa, tak ada masa tetapi sebenarnya kita banyak buang masa . Kita tak bijak mengendalikan masa. Bayangkan masa yang banyak Allah berikan tetapi kita yang sia-siakan. Malu aku!

Hari ini, pagi tadi seawal jam 8.30 pagi aku bertolak ke Muar bersama anak sulungku Hana dan kedua cucuku A'mmar dan 'Aafi. Sepatutnya aku pergi bersama Kak Chah tapi dia demam selsema pulak. Semoga kakakku segera sembuh dan sabar dengan dugaan ini. Nasib baik ada anak dan cucu yang sanggup menjadi mangsa. Hahahahhahaha.


Muhammad A'mmar mononton Boboboy!
Muhammad 'Aafi yang comot dengan coklat..
Siti Nurhana
Kami bernasib baik kerana tiada kesesakan lalu lintas. Lebih kurang jam 11pagi kami selamat sampai di Tanah Perkuburan Batu 6,  Bakri,  Muar. Di situlah bersemadinya kedua orang tuaku. Rindu yang tak tertahan ni, terubat sedikit setelah melihat pusara mereka. Adikku Han dan kakak sulung kami Abang Ani, sudah pun menunggu aku di situ. Kami sama-sama menghadiahkan kedua orang tua kami dengan bacaan Yasiin dan doa buat mereka.

Kubur Mak yang terletak di bahagian yang rendah dari kubur abah menyebabkan ia ditenggelami air banjir. Maka, banyaklah kubur yang terjerlus tanahnya. Kami bertiga bersepakat dan berkongsi mengupah si Penjaga Kubur mengambuskan balik tanah kubur Mak dan menambah batu kecil atas kubur Abah. Alhamdulillah kedua pusara dikemaskini dengan baik.




Tanah pusara Mak terjerlus dilanda banjir...sedang dibaiki
Setelah semuanya beres, kami bertiga mengambil peluang untuk bersembang kosong. Banyak yang kami berkongsi cerita tentang diri dan keluarga masing-masing. Begitulah nampak gayanya kesibukan kami hinggakan nak berjumpa adik beradik pun cuma sekadar beberapa minit sahaja dibawah sebatang pokok kuini berdekatan pusara Mak dan Abah. Namun, kami bersyukur kerana dapat juga kami bertemu dan melepaskan rindu. Terima kasih aku ucapkan kepada Abang Ani yang membawa telur asin dari Pontian dan terima kasih kepada Han kerana membawa sebekas Asam Pedas Ikan Parang dan  belikan ikan segar dari Pasar Besar Muar. Terima kasih juga pada adik bongsu kami Intan yang berkirimkan sos Mee Bandung jualannya. Itulah kelebihannya punya adik-beradik yang ramai dan bersatu hati. Alhamdulillah.
                   
Abang Ani, Han dan aku.


Sebelum berpisah, kami mengambil peluang untuk bermaaf-maafan serta mengucapkan Selamat Beribadah dalam baki bulan Ramadhan dan selamat Hari Raya Aidil Fitri. Aku dan waris-warisku meneruskan perjalanan kami untuk pulang tetapi kami mengambil masa menyusuri jalan-jalan lama yang pernah aku lalui dahulu. Nostalgia sikit.Sempat juga kami melepaskan rindu pada rumah tua di Jalan Duku. Teringat aku macamana arwah Mak dan Abah akan sibuk bila anak cucu mereka pulang. Seolah-olah ternampak-nampak mereka duduk atas tembok depan rumah melambai-lambai kami. Itulah sebenarnya saat paling bahagia untuk mereka kerana itulah aku rasakan kini bila anak cucuku pulang ke rumahku.



Satu hari nanti, kita akan ke sini juga.
 Menziarahi pusara akan mengingatkan kita.....
Al Fatihah buat arwah Mak dan Abah serta arwah-arwah  yang sudah mendahului kita.

Doaku semoga Allah ampunilah dosa-dosa kedua orang tuaku. Murahkanlah rezeki mereka di alam barzakh berkat pahala dari segala kebaikan yang aku dan adik beradikku kerjakan selagi ada umur kami. Lapangkanlah dan terangilah kubur mereka Ya Allah dengan pahala sedekah dan amal jariah kami. Kesihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami semasa kami kecil dahulu... Semoga dapat kita semua berjumpa dan bersama di Syurga nanti...InsyaAllah.

Kami pun meneruskan perjalanan pulang ke Shah Alam. Puas hati dapat menziarahi pusara kedua orang tuaku dan lebih lagi ialah bersyukur dapat bertemu dua dari adik beradikku yang seramai 11 orang......  sebenarnya sedozen tetapi seorang meninggal kecil. Perjalanan pulang tanpa kesesakan lalu lintas berjalan lancar. Sempat beli kupang dan buah-buahan di tepi jalan. Sempat masakkan untuk berbuka  dan dengan izin Allah, masih ada kudrat untuk berterrawih penuh! Syukur kepada Illahi....... Alhamdulillah.....

Sempat juga beli kasut Raya.