Monday, August 19, 2013

Perubahan.....

Siti Nurhana Ibrahim semasa berumur 2 tahun.
Along dan adiknya Ahmad Azman.
Pesanku satu...... jangan sangka anak yang pendiam, semput dan pemalu itu akan terus-menerus membesar begitu. Kanak-kanak berubah mengikut masa dan persekitaran. Perubahan pasti berlaku. Cuma yang kita harapkan ialah perubahan ke arah kebaikan.

Inilah moto yang dipegangnya .
Semasa Along dilahirkan, bagi kami dialah bayi yang tercomel didunia yang tiada tandingannya. Kehadirannya membawa rezeki yang melimpah ruah, menambah kasih sayang kami suami isteri dan kebahagiaan jelas terpancar. Bila Along mula pandai berkata sepatah dua, adiknya,  Ahmad Azman dilahirkan.  Alhamdulillah maka sepasanglah anak kami. Itu sajalah yang ada sehingga kini. 



Semasa diperingkat Tadika, Along bukanlah anak yang cergas malah dia seorang anak yang sangat pemalu dan suka menyendiri. Di manakah silapnya, kami pun ta tahu. Cemas kami dibuatnya  dan selalulah kami memarahinya. Semakin lama sikapnya semakin negatif. Bila makan di kedai, kami cuba ajar dia menjadi berani dengan memberi wang untuk membuat bayaran, tetapi adiknya juga yang diheret bersama. 

Along berkelakuan begitu sehinggalah dia naik ke Tahun 6 di Sekolah Rendah Seksyen 20, Shah Alam. Ketika itu Along mula aktif dalam sukan yang sangat menghairankan kami semua. Guru sukannya ketika itu antaranya adalah arwah Cikgu Salleh bin Abdullah, Cikgu Shahbuddin, Cikgu Ahmad dan Cikgu Yusri. Rupanya, struktur tubuh badannya yang berkaki panjang dan langsing menyebabkan Along berlari dengan pantas. Along mengambil bahagian dalam acara balapan iaitu larian pecut jarak dekat. Semamangnya anak kami boleh berlari .... dan berlari dengan pantas sekali. Adiknya terjerit-jerit di luar padang memberi galakan semangat kepadanya. Kami hampir tidak percaya tapi itulah hakikatnya. Along memang kuat berlari! Banyak rekod kejohanan yang masih dipegangnya. Cuma baru beberapa  tahun yang lepas sahaja rekodnya dapat dipecahkan.... setelah berbelas tahun! 







Kegilaannya dalam bersukan berlanjutan sehinggalah ke menengah dan kemudian dikembangkan lagi dengan sukan permainan lain seperti Bola Jaring, Futsal dan Badminton. Tak puas lagi, Along melibatkan dirinya dalam sukan lasak seperti memanjat gunung setinggi Gunung Kinabalu, menyelam sehinggakan ke Terumbu Layang-layang,menjadi ahli Honeybeez, salah satu pasukan negara dalam sukan Paintball, sukan berkuda, sukan Pacuan Empat Roda dan masuk keluar hutan sudah menjadi mainannya. Begitulah ketaranya perubahan Along dari seorang kanak-kanak yang penakut kepada sangat aktif..... Cuma satu jenis sukan saja yang tidak mendapat kebenaran dari kami untuk Along lakukan iaitu  Sky Diving.... aku percaya sekiranya mendapat restu, pasti sudah dilakukannya!




Sama minat, seia dan sekata.
Selepas berkahwin dan kini sudah beranak dua, minat Along terhadap sukan bukan semakin menipis malah kian menebal. Bersyukurlah suaminya Muhammad A'sim mempunyai minat yang sama . Terkini Along dan seisi keluarganya iaitu termasuklah suami dan anak-anaknya melibatkan diri dalam sukan Larian  Jarak Jauh  sejauh 5 hingga 25 kilometer di merata tempat samada di dalam negeri atau keluar negara! Percayalah.....budak ni memang sangat aktif.  Nampaknya minat dan kegilaan Along dalam bersukan berterusan. Cuma kini dia mempunyai seorang teman rapat yang boleh melatihnya, memberi komen dan mencabarnya iaitu suamimya......



Anak-anaknya Muhammad A'mmar dan Muhammad 'Aafi
pun turut serta.
Cara Along bercuti juga sangat hebat. Sekepala dan sehati dengan suaminya , mereka menunggang motosikal berkuasa tinggi  (kini  sudah memperolehi lesen sendiri) ke merata tempat sehingga ke Vietnam. Aku bersyukur mempunyai anak yang sangat berdikari dan sentiasa mempercayai diri dan kemampuannya sendiri. Bersyukur kepada Illahi kerana Along dikurniakanNya sebuah keluarga yang sihat dan mereka sangat bahagia. Mak berdoa semoga Allah membuka pintu rezeki kalian seluas-luasnya dan memberimu kesihatan yang terbaik. Semoga cucu-cucuku akan mengikut jejakmu.....berani, kuat dan yakin!


Bermotosikal berkuasa tinggi ke Thailand, Vietnam dan Cambodia.



Bercuti dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi.

Majulah sukan untuk negara! hahahahhahaha....


Sukan Badminton.
Sukan PAcuan Empat Roda.








Antara halangan-halangan yang perlu dilepasinya.



Sukan Paintball.
Menyelam di Terumbu Layang-Layang.
Satu kejayaan........ satu kepuasan!