Wednesday, October 27, 2010

Selamat Bertemu Penciptamu.......



Lahir tahun 1924 tetapi tidak ketahuan sehingga akhirnya tarikh dan waktu sebenar kelahirannya. Berasal dari Kampar, Indonesia. Di bawa berhijrah ke Tanah Melayu ketika masih kecil. Bapanya seorang yang berharta dan sangat pemurah. Cukup umur matangnya, dia dikahwinkan dengan seorang pemuda yang juga datang dari tempat yang sama yang berhartakan sebilah parang sahaja. Hiduplah mereka bahagia dan dikurniakan anak serama 7 orang . Dua orang meninggal ketika masih bayi kerana kurang zat makanan dan tinggallah lima orang iaitu dua perempuan dan tiga lelaki.

Pasangan ini sangat rajin bekerja mencari nafkah untuk keluarga. Mereka menoreh getah dari sesudah Subuh dan selesai kerja sebelum Zohor dan berkebun jagung , ubi dan keledek serta menanam padi huma di waktu petang. Pokok pangkalnya, tiada masa yang terbuang dan terluang.....apa sahaja pekerjaan dilakukan asalkan yang mendatangkan hasil untuk membeli makan dan buku untuk anak-anak yang masih kecil. Kedudukan rumah di tepi sekolah dan kemahiran pertukangannya, Ayah mengambil upah membaiki kerusi meja dan bangunan sekolah yang rosak. Anak perempuan yang sulong hanya mampu disekolahkan sehingga darjah enam sahaja untuk mengambil tanggungjawab menjaga adik-adiknya yang masih memerlukan pemerhatian. Lagi pun pada zaman itu, anak perempuan tidak digalakkan berilmu tinggi....duduk rumah dan uruskan rumahtangga!
Pada tahun 1985 ketua keluarga meninggal dunia. Arwah seorang yang sangat penyabar, pemalu dan pendiam. Tidak banyak berbicara. Kesukaannya merokok Rokok Daun yang digulungnya sendiri dan tidur! Sememangnya kuat tidur adalah penyakit turun temurun keluarga ini!!!! Dunia seolah-olah gelap buat keluarga ini tetapi bernasib baik kerana mempunyai isteri yang berhati kental, cekal dan kuat. Si ibulah yang mengepalai keluarga ini.
Alhamdulillah anak-anaknya semua berjaya dalam bidang masing-masing. Atas rezeki yang Allah beri, dapatlah membawa Mak ke merata tempat samada jarak dekat atau jauh. Mak mengerjakan Haji bersama anak sulungnya pada tahun 1989 dan selepas itu setiap tahun mengerjakan Umrah sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini kerana pergerakannya yang sudah mula perlahan. Dia tidak suka menyusahkan orang khasnya anak-anaknya. Baginya, anak-anaknya adalah nyawanya! Itulah Mak. Pada tahun 1997, anak lelaki bongsunya meninggal dunia dalam usia muda 39 tahun. Arwah meninggalkan seorang isteri dan dua pasang anak yang berusia 1 hingga 13 tahun. Ini adalah peristiwa yang amat menyedihkan Mak dan seluruh keluarga sehingga Mak merana atas dua kehilangan besar ini. Semenjak itu, semangatnya mula pudar sedikit demi sedikit.
Pada 26 Oktober 2010, tanpa memberi kami sedikit petunjuk sekali pun, tiba-tiba Mak terjatuh di atas Sajadahnya dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Hanya semalam aku dan suami pulang berjemaah Maghrib dan Isyaq serta bertahlil bersamanya dalam suasana yang sangat indah lagi tenang. 

Arwah Mak seorang yang sangat lurus. Jika arwah berjumpa doktor, dia akan mengikut nasihat doktor itu dengan tekun. Jika kita berkata , baginya kita serius walaupun kita bergurau sahaja. Baginya, janji mesti ditepati dan kata mesti di kota. Hartanya jangan diusik kerana baginya itu adalah hasil dari mata pencariannya! Suka mengulang-ulang kata dan sangat berdisiplin dari segi masa. 

Sepanjang hidupnya, Mak mengendalikan dirinya dengan sendiri....maksudnya dari segi pembersihan dirinya sendiri. Kita cuma perlu memerhatikan pergerakannya sahaja untuk memastikan keselamatanya. Makan minumnya ikut masa...begitu juga waktu rehatnya Mak memang tidak suka menyusahkan orang lain. Sakitnya semua ditanggungnya sendiri sehinggalah dia tidak tahan lagi. Sungguh kuat semangatnya. 

Segala urusan Mak dibantu sepoenuhnya oleh kakak iparku yang sulong iatu Uwo. Banyak pengorbanannya yang tak termampu kami membayarnya. Uwo akan menyediakan segalanya untuk arwah Mak tetapi adatlah, kalau jauh bau bacang, kalau dekat bau taik! Begitulah nasib Uwo. Namun, dia tetap tabah dan redho dengan keadaannya yang masih lagi dara dan berjorban diri untuk memastikan adik-adiknya semua berjaya dan keluarganya gembira. Allah sahaja yang akan membalas jasa baik Uwo. Semoga Allah emmanjangkan umurmu agar dapat kami membalas budi baik Uwo dan mengembirakan Uwo. Semua anak-anak buahnya mencintai manusia ini!

Sepanjang menjadi menantunya hubungan kami sangat rapat. Oleh kerana akulah satu-satunya menantunya yang punya banyak masa, dapatlah aku membawa arwah Mak dan Uwo(kakak ipar sulongku) bercuti. Kami ke Pulau Langkawi ( arwah naik kereta kabel), Kuantan(beberapa kali untuk menziarahi satu-satunya adik iparnya yang ada), Kuala Penyu di Sabah (menziarahi anak saudaranya), Tasik Kenyir(naik bot ke Pulau Herba dan sekitarnya), Kuala Terengganu, Kota Bharu, Tasik Banding, Utara semenanjung dan banyak lagi. 

Arwah Mak memang suka berjalan dan waktu makan minum dan penggunaan tandasnya mesti diatur sebaik mungkin agar dia tidak tertekan. Setiap satu jam perjalanan, mesti berhenti untuk dia berehat dan meluruskan kaki! Pernah, ketika mula menimang cucuku Muhammad Ammar, Mak sedih kerana aku tak membawa dia berjalan seperti dulu. Sejak itu aku mulakan kembali tugas membawanya berjalan-jalan. Arwah Mak paling suka melihat laut. Kami bawanya ke Pantai Remis dan itu sangat mengembirakannya!

Kini Mak dah pergi selamanya. Yang tinggal hanyalah kenangan hari semalam bersamanya. Tiada kekesalan dalam hati tetapi rindu yang Allah sahaja yang tahu. Semenjak arwah ibuku meninggal dunia tahun 2003, arwah Maklah tenpat aku bermanja. 

Kebanyakan sahabatku mengenali arwah dan amat menyayanginya kerana setiap kali aku balik kampung, pasti ada yang mengikut. Kasih mereka kepada arwah begitu mendalam sehingga ada bersama-samaku mengendalikan jenazahnya dan menyediakan makanan untuk malam ketiga Majlis Tahlil untuk arwah. Begitu ramai sekali yang menziarahi dan menyempurnakan solat Jenazah buatnya, lelaki dan perempuan! Di duniapun Allah sudah tunjukkan rezekinya yang murah. Semoga di alam barzakh lebih lagilah hendaknya.

Aku berdoa semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya, memurahkan rezekinya di alam barzakh, melapangkan dan menerangkan kuburnya serta mengasihaninya sebagaimana dia mengasihi anak-anaknya semasa mereka masih kecil. Masukkanlah dia ke dalam Syurga Ya Allah!

Monday, October 18, 2010

Ubi Rebus dan Nyanyian Serambi....

Lama hidup banyak dirasa. Itulah resam hidup kita. Bila orang tua berkata, mereka punya pengalaman tertentu yang mahu di kongsi bersama untuk menyuluh jalan hidup orang muda. Mereka dah lama merasa garam...eloklah kita dengar. Hidup ini penuh pancaruba. Tak kira di mana pun kita berada.
Sebagai orang Islam, jika keluarga kita telah menyediakan kita dengan asas pengetahuan agama, InsyaAllah akan berpatah balik juga akhirnya. Tetapi, mengapa mesti tunggu sampai akhir? Akhir tu bila? Sebenarnya, kita akan dipanggil Allah bila-nila masa sahaja. Sebab itulah sebelum tidur, kita berdoa dan mengucap dahulu. Manalah tahu kita mati dalam tidur! Umur? Tua? Mati tidak ikut umur. Bayi yang baru seminit lahir pun boleh mati. Oleh itu sedarlah bahawa nyawa kita sebenarnya dihujung tanduk....jangan kita terlalu keduniaan sehingga lupa akan akhirat. Kita dilahirkan di dunia atas satu sebab sahaja iatu untuk menyembah Allah...membesar-besarkannya. Dunia ini bersifat sementara dan di Mata Allah, kita ini seperti hama sahaja....
aku risau sebenarnya dgn dunia kita sekarang...ramai yang sudah alpa pasal agama malah yang munafik pun ramai sudah.....sedih...sungguh sedih!
Aku punya ramai kenalan dari pelbagai latar belakang dan fahaman. Dari sudut politik, ekonomi. pendidikan mahupun seni.Ramai kenalan, maka aku boleh buat analisa tentang mereka. Kesemua mereka punya keistimewaan masing-masing.
Seorang insan seni yang aku kenali dan senangi.Dia hanya seorang insan biasa namun punya banyak kelebihannya. Punya hati dan punya jiwa yang halus. Setiap tutur kata datang dari hati yang ikhlas yang mengamit satu perasaan yang indah dari dalam diri kita. Susah hendak diperkatakan tetapi itulah hakikatnya. Sepanjang berkenalan dengannya, tidak pernah sekali dia memburuk-burukkan rakan artis yang lain. Sentiasa memberii pendapat yang positif terhadap insan sesamanya. Aku kagum. Tiada hasad dengki maupun irihati dalam dirinya. Bicaranya selalu tentang dirinya, kariernya, masa depannya, lagu ciptaannya dan kisah hidupnya. Bukan jenis yang suka melepak di kedai minum untuk jual muka malah dia seorang insan yang sangat pemalu. Tinggi budi pekertinya.
Sifat dan gayanya yang tersendiri menyebabkan dia antara yang tersohor dan diminati ramai oleh semua golongan dan semua peringkat umur. Nampak ganas tetapi sebenarnya seorang yang berjiwa lembut dan sentiasa bersyukur. Baginya, muzik itu satu anugerah dan mesti dipelihara. Baginya disitulah punca pendapatan untuk keluarganya dan mesti di jaga dengan baik. Harus bekerja keras supaya mendapat keberkatanNya.
Setiap lagu nyanyiannya mesti ada jiwa dan ada roh. Wah! Hebat sungguh manusia ini. Pendiriannya tentang muzik dan nyanyiannya sangat unik. Kesungguhannya persembahannya membuatkan naik bulu roma kita. Bila ada konsertnya, aku dan suami pasti bersama. Malah semasa Majlis Persandingan anak sulongku tahun 2007, dia datang bersama semua ahli pancaragamnya menghiburkan pengantin dan tetamu kami. Kami amat berbesar hati kerana kesudiannya dan sehingga hari ini, masih ramai yang mengingati majlis itu. Alhamdulillah. Itulah penangan keikhlasan hati.
Aku bersyukur kepada Allah atas pertemuan kali pertama kami di Johor pada tahun 2005 dan semenjak itu kami menjadi sahabat baik. Bila ada kelapangan masa, dia pasti akan memenuhi jemputanku. Kegemarannya memakan Ubi Rebus yang dicicah dengan Sambal Tumis menjadi satu kemestian bila ke rumahku. Katanya kita mesti ingat akar umbi keturunan kita....ingat kesusahan mereka dan dengan itu sedar akan diri kita....bak lirik lagunya...

andai kasturi hilang harum,
mawar tak berkuntum,
cinta tak bersambung....
biar emas setinggi gunung,
kan ku rebut rimbun ampun,
rahmat yang Maha Agung

Dalam bahasa mudahnya ialah, sekiranya apa yang kita miliki kini hilang ke tangan orang lain, maka kita akan kehilangan segalanya.Peliharalah apa yang kita miliki sekarang ini dengan memohon rahmat dan keampunan dari Allah Subhanahuwatala. Bayangkanlah limau kasturi yang hilang wanginya, ia tidak mendatangkan makna lagi....ia seperti satu benda yang tiada nilainya lagi.....begitulah juga diri kita!
Bila A'mmar, cucuku dilahirkan, bersusah payah dia datang untuk manimang cucu kami dan membahasakan dirinya Tok Mok! Kini A'mmar sudah hampir 2 tahun dan semalam dapat bertemu semula dengan Tok Moknya di rumah kami bersarapan pagi bersama dengan hidangan Ubi Rebus!! Tok Mok A'mmar ialah Papa Rock Ramli Sarip!