Kehidupan ini satu perkongsian. Kita dilahirkan tanpa membawa apa-apa dan kita akan pergi tanpa membawa apa-apa. Tetapi sepanjang kehidupan kita di dunia ini, kita semua memerlukan antara satu sama lain. Kelemahanmu, kekuatanku. Kelebihanmu, kekuranganku. Sebab itulah Allah menjadikan kita berlainan antara satu sama lain. Sebab itulah Allah suruh kita mengembara dan melihat sendiri ciptaanNya! Dengan demikian barulah kita tahu kedudukan kita sebenarnya.
Pengembaraanku selama 18 hari di bumi Siam banyak mengajarku memahami nilai suatu kehidupan. Sebelum bertolak, kami sudah mula mengumpul barangan termasuklah makanan untuk dibawa bersama. Maklumlah, kita tidak tahu keadaan di negara orang. Pelbagai jenis pes dari pelbagai jenama kami bawa. Sempatlah beberapa kali kami masak sendiri apabila tiada restoren halal yang kami jumpa. Tanda HALAL mereka sangat jelas dan disertai dengan gambar bulan sabit dan bintang. Alhamdulillah. Restorennya kecil-kecil sahaja. Tampak dari mata kasar macam kurang memberangsangkan namun kebersihannya mengatasi segalanya. Walaupun buruk kedainya tetapi sepanjang saya di sana tidak terlintas atau terjumpa seekor lipas ataupun tikus ... walaupun di pasar basah mereka.
Kedai runcit .
Berbanding dengan kita, kebersihan mereka keseluruhannya adalah jauh....jauh lebih baik. Mengapa aku berkata demikian? Ada sebabnya. Bagi sahabat-sahabat yang mengenaliku, aku bukan jenis yang suka ke tandas awam. Aku jenis penggeli dan cerewet. Jika bermusafir, antara barang yang pasti kubawa bawa bersama ialah sabun dan cecair pembunuh kuman. Tetapi, tahap kebersihan tandas awam di Siam amat mengagumkan. Bukan setakat tiada berbau tetapi wangi! Timbul dalam benak fikiranku, apakah sistem yang mereka gunakan? Yang aku nampak, kebanyakan tandasnya tidak menggunakan pam. Tetapi yang jelas ialah, setiap kali selepas digunakan, pasti ada pekerja yang mencuci. Hebat mereka ni.
Pengembaraanku selama 18hari di bumi Siam banyak mengajarku erti nilai suatu kehidupan. Islam bukanlah agama rasmi mereka. Jauh sekali. Majoriti orang Islam Thai tinggal di bahagian selatan negara tersebut. Jelas kelihatan banyak binaan masjid di kanan dan kiri jalanraya mereka. Dari jauh kelihatan ramai kaum lelaki berkupiah dan berserban. Wanitanya pula menutup aurat seperti kita juga. Bila berada di kawasan itu, terasa seolah-olah kita berada di kampung kita sendiri. Semasa di Narathiwat, kami singgah di sebuah masjid lama yang sudah berusia 390tahun, Binaannya masih utuh dan kayunya tidak lapuk. Masih digunakan oleh penduduk kampung Wadi Al Hussein. Alangkah baiknya sekiranya kami membawa bersama beberapa buah Quran dan beberapa helai sejadah. Mereka memang kekurangan bahan-bahan tersebut dan amat memerlukan bantuan. Masjid itu digunakan untuk mengajar ilmu AlQuran. Isteri kepada Imam masjid itu ialah bekas juara Qariah Thailand peringkat antarabangsa. Sepanjang perjalanan ke utara, banyak masjid yang kami jumpa dan singgah. Antara masjid yang besar ialah di Chiang Mai iaitu Masjid Hidayatul Islam Ban Haw dan Masjid Darunaman di Chiang Rai. Kedua masjid ini dibina oleh orang China Islam dari Yunan.
Masjid Wadi al Hussein.
Masjid Hidayatul Islam, Chiang Mai.
Masjid Darunaman, Chiang Rai.
Pengembaraanku selama 18 hari di bumi Siam banyak mengajarku erti nilai sebuah kehidupan. Bahasa. Selalu kita sangkakan yang bahasa ibunda tidak boleh memajukan sesebuah bangsa. Ada yang berpendapat, ilmu duniawi untuk memnentukan kemajuan bangsa memerlukan satu bahasa lain , bahasa dunia, Bahasa Inggeris. Ada ketika mempertikaikan penggunaan bahasa ibunda dan ada yang memandang rendah pula. Kita silap sebenarnya. Silap besar.
Tulisan jawi. Bahasa Melayu.
Di Siam, Bahasa Melayu digunakan dengan meluas sekali. Bukan hanya bahasanya, malah tulisan jawi masih wujud di papan papan tanda kedai dan gedung-gedung besar malah di pejabat-pejabat kerajaan. Bangsa Siam yang aku temui, majoriti tidak pandai berbahasa Inggeris. Mereka hanya belajar bila perlu sahaja. Tetapi, mereka maju! Bangunan, Kenderaan, Barangan tempatan mereka ada kelas tersendiri. Dan yang hebatnya mereka bangga dengan bahasa mereka! Sudahnya, kami menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dan ramai yang faham! Tetapi adalah lebih mudah untuk mengguna Google Translator . Taip saja apa yg kita nak katakan dan Google akan alihbahasakan...begitulah juga dengan mereka. Semuanya dipermudahkan. Alhamdulillah.
Ada satu ketika semasa di Chiang Mai, kami bertemu dengan seorang lelaki Thai dari Bangkok. Sangat fasih berbahasa Melayu. Kami bertanya di mana beliau belajar bahasa Melayu dan jawapannya menitiskan air mataku. Katanya, kalau kita tidak mempertahankan bahasa kita ni, satu hari nanti kita akn lupa siapa diri kita sebenarnya. Tanpa bahasa hebat ini, bagaimanakah untuk belajar Al Quran sedangkan yang mengajar ilmu itu semua dari Selatan Thai dan mereka semua berbahasa Melayu. Beliau tunjukkan sebuah You Tube dari Telefon bimbitnya dengan penuh rasa bangga. Lagu yang dimainkan ialah lagu-lagu Melayu yang berlatarbelakangkan zaman Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Tergamam aku seketika.....Bangsa lain mengagungkan bahasa kita. Seluruh keluarga beliau fasih berbahasa Melayu. Aku termangu sejenak. Fikiranku melayang mengenangkan bangsaku......kekalkah kita?
Jalanraya di Siam sangat berkualiti buatannya. Tiada kesan tampalan. Jika ada jalanraya yang rosak dan perlu dibaiki, bahagian itu akan ditutup dan kenderaan akan menggunakan sebelah jalanraya sahaja . Jalanraya yang rosak bukan ditampal tapi dibongkah dan dibina jalanraya yang baru. Selepas pulang dari kembara, aku menziarah pusara kedua ibu bapaku di Muar. Kemudian aku ke Batu Pahat menziarahi sahabat lama suamiku. Perjalanan sejauh 6,000 kilometer mengembara bumi Siam, badan aku terasa sangat relaks dan boleh tidur dengan nyenyak di dalam kenderaan semasa orang lain memandu. Tetapi ternyata, jalanraya kita tidak setanding. Sudahlah begitu, tiada tol dikenakan kepada pengguna jalanraya kecuali di Kota Bangkok. Itu pun jika kita ingin meggunakan jalanraya bertingkat. Jika tidak, tak perlu bayar!
Budi bahasa mereka sangat tinggi, Jika kita bertanyakan sesuatu, bersusah payah mereka cuba menjawab. Kadang-kadang seperti ayam bercakap dengan itik. Hahhahahhahha. Suatu malam kami ke Pasar Malam di Kanchanaburi. Tujuan untuk melihat lihat dan membeli makanan. Kami bertanya seorang penjual wanita jika ada makanan HALAL dijual di situ. Dia cuba menunjuk arah tetapi apabila melihat kami tidak memahaminya, dia bertindak membawa kami sendiri ke gerai tersebut. Sungguh perihatin dan baik hati. Boleh dikatakan yang kebanyakan yang kami temui adalah baik.
Tanda Restoren HALAL.
Pernah sekali, tayar kereta termasuk paku. Seperti biasa, masalah bahasa. Pengurus hotel itu sendiri dengan keadaannya yang sarat mengandung menghantar kami ke bengkel. Setelah menerangkan kepada mekanik tersebut, barulah beliau meninggalkan kami. Tiga orang mengerjakan tayar kami dan mereka mengenakan bayaran sebanyak THB100 sahaja! Kami terkejut dan hampir tidak percaya. Mereka langsung tidak mengambil kesempatan walaupun mereka tahu kami adalah pelancong.....sangat ikhlas.
Kalau kubiarkan ingatan ini berterusan, otak ini berfikir dan jari pantas menaip, pengalaman yang kutempuhi selama 18 hari tidak akan kehabisan ceritanya kerana terlalu banyak. Bukan niatku untuk membandingkan dengan negara kita tetapi apa yang nyata itulah yang aku perkatakan. Namun sehebat manapun, secantik manapun, secanggih manapun negara orang, Malaysia tetap dihatiku. Yang baik kubawa pulang untuk dikongsi bersama saudara dan taulan.
Pasar bersih.
Kedai Makan Bersih.
Jalanraya bersih.
Premis perniagaan bersih.