Setahun bukanlah satu masa yang lama tetapi jelas sekali kerinduan kepada tanah suci, persekitarannya, kehidupannya serta rindu teramat sangat kepada teman-teman jemaah yang bersama kami ketika itu. Ada yang jelas kami mengingati nama mereka tetapi yang pasti kami mengenali rupa paras mereka.
Terkenang akan kali pertama pertemuan kami bermula di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Pegawai-pegawai Tabung Haji dan Zahafiz sibuk mengendalikan jemaah masing-masing bagi memastikan segalanya berjalan dengan teratur dan sistematik. Semua urusan penerbangan selesai dijalankan di Kompleks Tabung Haji. Kita hanya perlu membawa beg kecil yang berisi barang keperluan seperti kitab, wang dan ubat-ubatan. Namun sebak terasa di dada kerana bakal meninggalkan tanahair, keluarga dan tetangga. Masih jelas pandangan mata anak cucu, menantu serta jiran yang menghantar kami. Semua mendoakan yang terbaik buat kami. Ketika itu, belum sempat lagi kami berkenalan sesama jemaah. Perasaan takut, sayu dan hiba terus melanda diri kami. Yalah, masing-masing berbekalkan titik hitam yang Allah sahaja yang mengetahuinya. Ya Allah ..... ampunilah segala dosa-dosa kami dan permudahkanlah segala pekerjaan kami ...... itulah antara doa yang kita pohon dari Allah SWT. Sepanjang perjalanan kita menyendiri, mencari diri dan ada kala menangisi. Tiada masa untuk berbicara kosong. Jantung terus berdebar-debar mengenangkan nasib diri.
Tepat masa yang ditentukan, kami semua dibawa menaiki bas dengan diiringi oleh suara azan yang amat sayu. Teringat pulak cerita Semerah Padi dimana arwah Tan Sri P.Ramlee melaungkan azan cara dia sendiri ..... hehehhehe. Tarikhnya ialah 21 September 2012, jemaah haji KT18 Zahafiz menaiki bas ke KLIA dengan diiringi polis peronda dan ambulan! Wah ..... meriahnya! Terasa betapa hebatnya menjadi orang penting sehinggakan semua kenderaan lain memberi laluan kepada kami. KT18 Zahafiz memenuhi 3 buah bas. Setibanya di ruang menunggu, pegawai-pegawai Tabung Haji beserta sukarelawan-sukarelawan Tabung Haji sedia menunggu kami untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh jemaah. Masuk sahaja ke dalam perut kapal terbang, mata terpandang pramugari yang bertudung dan berseluar panjang berwarna serba merah. Alhamdulillah! Rupanya kita semua menaiki pesawat AirAsiaX! Sama seperti pesawat-pesawatnya yang lain cuma bezanya kali ini kita tidak perlu membayar lebih untuk perkhidmatan dan kerusinya tidak boleh dibaringkan! Hahahhahahha .... Pesawat ini terus membawa kita masuk ke Madinah. Alhamdulillah.
Kelas bimbingan memenuhi masa lapang kami setiap malam selepas Isyak....... terima kasih Ustaz. Banyak ilmu yang dapat kami timba. Masih teringat lawak jenakanya.... dududut....dududut.....dududut....... hahahhahahhahahaaaa.
Kemudian kami dibawa melawat Muzium Dua Masjid iaitu Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Di dalam muzium tersebut dipamerkan pelbagai artifek yang diambil dari pembangunan awal kedua masjid termasuklah mimbar, pintu Kaabah, pancur emas serta gambar-gambar lama wajah kedua masjid di peringkat awal.
Tidak sah kalau tidak melihat sendiri kebun kurma. Rupa bentuk pohon kurma adalah lebih kurang pokok kelapa sawit. Kami juga dibawa ke Pasar Kurma. Masing-masing membeli kurma untuk diposkan pulang ke tanah air dengan dibantu oleh petugas-petugas Zahafiz. Siap diikat, dituliskan dan ditampal dengan nama penuh serta nombor bilik agar tidak tertukar. Pelbagai jenis kurma dijual di situ. Yang ditimbang lain, yang masuk mulut lain. Namun tuan kedai menghalalkan apa yang kami makan.
Hebatnya kumpulan jemaah kita antaranya adalah kerana kehadiran sepasang suami isteri yang menjadi pembimbing kita iaitu Ustaz Shamsuddin dan isterinya Ustazah Maisaroh yang sentiasa sedia membimbing kita. Keperibadian mereka yang mudah didekati menyebabkan kita tanpa segan silu bertanya pelbagai soalan ibadah sehinggalah ke soalan peribadi ...... sebaik mungkin, seboleh mungkin mereka akan selesaikan. Setiap hari kita diberi kuliah dan peringatan sehinggakan tiada masa untuk dibuang dan tiada kedai sempat untuk disinggah! hahhahahhahahha ..... kes piluuuuuu ......
Peringkat demi peringkat sahabat jemaah kita tiba. Dari sedikit menjadi ramai. Maka semakin ramailah kenalan baru kita, saudara kita dan maka semakin sesaklah dewan makan. Di hotel itu jemaah-jemaah dari syarikat-syarikat lain dan negara-negara lain juga menginap di situ. Waktu makan malamnya serentak. Kerana itu, jumlah kerusi mejanya tidak boleh menampung jemaah yang ramai. Malah ada ketikanya, jemaah syarikat lain terambil makanan kita dan begitu juga dengan kita. Tapi itu adalah biasa. Di sinilah wujudnya setiakawan. Ada sahabat-sahabat yang peka menghabiskan makanannya dengan segera untuk memberi laluan kepada yang baru datang. Kadang-kadang, tempat duduk kita disimpankan oleh teman kita. Alhamdulillah.
Kini tiba masanya untuk ke kota Mekah. Bas membawa kami dalam berpakaian ihram singgah di Masjid Bir Ali untuk bermiqat. Setelah berniat, kami saling memastikan setiap langkah dijaga rapi, aurat sama-sama menjaga dan saling ingat-mengingati. Keakraban diantara kami semakin jelas.
Perjalanan selama 6 jam dalam bas penuh dengan kenangan. Ada diantara kami mengambil inisiatif membantu mengira jumlah naik turun bas para jemaah dan bersilih berganti mengetuai bacaan talbiah dan disambut beramai-ramai. Ada pula yang menjadi juruheboh dengan memberitahu jarak dan masa untuk sampai ke Mekah dan Talbiah terus menerus dilaungkan. Bersemangat sungguh kami.
Banyak sekali kenangan pahit, manis, lucu dan sedih yang kami lalui bersama. Kami mengambil keputusan untuk bertemu kembali setelah berpisah selama setahun. Kenangan abadi semasa di bumi Madinah, Mekah, Arafah, Mudzalifah dan Mina akan terpahat di hati kami buat selamanya.
Selama lebih kurang sebulan setengah kita berkampung di tanah suci dengan tujuan yang satu, KT18, KT44, KT9/10 dan Kumpulan 203, kita adalah satu. Kita semua dibawah payung Zahafiz Travel kepunyaan Dato Zainal sekeluarga. Hotel tempat kita semua berkampung selama sebulan lebih kini sudah tiada lagi kerana diroboh untuk memberi laluan pembesaran Masjidil Haram dan pembangunan kota Mekah.
Semoga apa yang dirancangkan segera disiapkan supaya dapat kita ke sana lagi. InsyaAllah. Masih jelas dalam ingatan kedai kedai yang berdekatan termasuklah kedai menjual ais krim dan makanan ringan. Keluar dari pintu hotel, kalau ke kiri kita akan menuju ke Masjidil Haram dan jika ke kanan akan menuju ke Klinik Malaysia serta pejabat Tabung Haji untuk membuat pengeluaran wang simpanan untuk pelbagai guna ..... hehhehehhehehe ... faham-faham sajalah.
Pada 28hb September 2013 yang lalu, akhirnya kami dapat berkumpul semula di kediaman kami di Shah Alam. Jamuan ala kadar sahaja, tetapi yang mengenyangkan ialah pertemuan itu. Sempat juga kami berjemaah solat Maghrib dan Isya.
Beberapa orang teman jemaah yang tidak dapat hadir bersama antaranya ialah Tuan Haji Mohd Azman yang tinggal di Bk Mertajam. Namun, besarnya hatinya ingin menjamu sahabat jemaah yang hadir dengan mengirim melalui pos buah-buahan jeruk Pak Ali. Terima kasih banyak-banyak. Semoga dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur.
Perasaan kasih dan sayang kepada sahabat-sahabat jemaah Zahafiz tidak dapat disangkal lagi. Walaupun Hotel Mawadah telah dirobohkan namun kenangan dan silaturahaim kita akan berterusan in sya Allah. InsyaAllah, kami akan cuba mencari masa untuk bertemu lagi sekurang-kurangnya setahun sekali. In sya Allah. Semoga usaha mengadakan majlis silaturrahim ini mendapat keberkatan dan keredhoaan Allah SWT.
Perasaan kasih dan sayang kepada sahabat jemaah Zahafiz tidak dapat disangkal lagi. In sya Allah, kami akan cuba mencari masa untuk bertemu lagi sekurang-kurangnya setahun sekali. Semoga usaha mengadakan majlis silaturrahim ini mendapat keberkatan dan keredhoaan Allah SWT.






























