
Restoren Nasi Kerabu menjadi serbuan kami pagi ini untuk bersarapan pagi. Cadangan pertama nak makan Nasi Dagang tetapi atas permintaan ramai, maka kami bertukar menu. Pagi ini restoren tersebut kelam kabut melayan ramai pengunjung yang datang serentak dalam jumlah yang ramai. Hingga habis makanan di kedai tersebut dibuatnya! Tersenyum lebarlah taukeh kedai tersebut yang merupakan sahabat kepada seorang sahabat karibku di Shah Alam.
Selesai makan kami menuju terus ke Pasar Payang melalui Bulatan Ladang. Dulu, sebelum replika Batu Bersurat ditempatkan ditengah-tengah bulatan, seekor penyu spesis Belimbing yang diperbuat daripada batu di tempatkan di situ bertahun-tahun lamanya. Tapi bagiku pertukaran ini adalah baik kerana agama kita melarang menghias dengan patung berbentuk haiwan. Batu Bersurat mengingatkan kita kepada sejarah negeri ini...lebih berfaedah.


Rombongan sampai di bangunan Pasar Payang. Tiada perubahan langsung kecuali sebuah bangunan tempat letak kereta di bina disebelah kiri pasar. Di pasar ini, pengunjung dapat membeli pelbagai jenis makanan, bahan masakan, sayur-sayuran, ikan dan hasil laut yang lain dan di tingkat atasnya menjual kain batik , cenderahati dan sebagainya. Semua ahli rombongan berpecah mencari barang yang mereka hajati. Pelbagai barang yang dibeli termasuklah keropok lekor, keropok keping, kain batik, baju batik, dan lain-lain lagi. Ada juga yang membeli toto yang sangat murah harganya dan banyak gubanya! Namun, aku mengakui bahawa masa untuk membeli belah kurang mencukupi tetapi sebagai ketua aku harus ingat bahawa objektif utama ke Kuala Terengganu ialah untuk menimba ilmu khasnya untuk anak-anak. Ilmu yang mereka dapat dari pengalaman yang lalui ini akan sentiasa lekat dikepala mereka.

Maka penuhlah perut bas kami dengan pelbagai barang belian semua ahli rombongan. Akhirnya laku juga wang yang dibawa! Bagiku , asal semua gembira dan berpuas hati, itu adalah pencapaian yang hebat untuk rombongan ini.
No comments:
Post a Comment