Pertelingkahan sesama adik beradik adalah satu perkara yang normal. Sedangkan lidah lagi tergigit. Bayangkan lidah dan gigi yang begitu rapat kedudukannya dan mempunyai fungsi masing-masing,tersilap lentok, tergigit juga....apalagi kita manusia. Kita tidak akan terlepas dari membuat kesilapan. Cara terbaik ialah memohon maaf dan lebih penting lagi ialah sedia memaafkan.
Manusia diberi akal, perasaan dan nafsu. Manusia dilahirkan didunia untuk menyembah Allah. Tetapi dek terlupa, manusia menjadi alpa. Kita meletakkan nafsu mengatasi segalanya. Gagal kita menggunakan akal untuk mengawal perasaan kita. Akhirnya, pelbagai kata nesta dan tomahan kita taburkan yang menyebabkan terguris perasaan dan terluka hati di dalam. Kita patut malu pada diri kita sendiri da kepada anak-anak kita. Kita sepatutnya malu kepada Allah!
Begitulah keadaan dalam sesebuah keluarga. Namun, bak kata orang Melayu... Air dicincang tak akan putus. Sememangnya amat benar. hebat sungguh orang Melayu bermain dengan kata-kata yang terhasil dari pengalaman dan pengamatan mereka dalam kehidupan. Ambillah sebilah pisau, parang atau kapak lalu kita cuba mencincang air, pasti air tidak akan putus! Begitulah hakikatnya tali persaudaraan atau lebih tepat lagi..adik beradik. Pertalian yang kita sangka terputus sudah, namun ia kembali bertaut.!
Aidilfitri 2012, telah membuka laluan kepada adik beradikku untuk kembali bersatu setelah beberapa ketidaksefahaman selama beberapa tahun. Namun, walau bagaimanapun, berkat doa dan kesabaran akhirnya kami kembali bersama. Bersyukurnya kami ke hadrat Illahi atas rezeki ini. Akan kami berusaha memelihara tali persaudaraan ini sebaik mungkin. Ampunilah segala dosa dan perbuatan kami Wahai Allah yang Maha Pengampun , Maha Mengasihi lagi Mengasihani. Sesungguhnya kami sendiri yang menzalimi diri kami. Peliharakanlah tali persaudaraan kami ini dari berpecah belah. Setiap masalah ada jalan keluarnya. Setiap pertelingkahan ada penyelesaiannya. Kembalilah bersatu stealah selesai masalahnya. Bak kata orang Melayu ...... Bidok berlalu, kiambang bertaut..... Aku bangga aku anak Melayu yang kaya dengan bahasa. Semoga ia tidak pupus ditelan zaman....
No comments:
Post a Comment