Saturday, August 17, 2019

Semasa kau nun jauh di Tanah Suci...inilah pengalamanku.


          Disepanjang peninggalanmu menunaikan ibadah wajibmu, aku diamanahkanmu dengan tiga orang anak-anak yang masih kecil. Inilah pengalamanku...

          Sebelum kau bertolak, kau keluar masuk hospital akibat demam Denggi dan serangan kuman. Hampir dua minggu kau direhatkan. Ketika itu, Allah sahaja yang tahu bertapa susahnya hati ini memikirkan keadaanmu. Tekanan darahmu yang sangat rendah dan amat merbahayakan dirimu...namun kecekapan para doktor dan kekuatanmu dan dengan kehendak Allah kau diberi kesembuhan . Alhamdulillah. Semasa di katil hospitallah untuk kali pertamanya kau menerima surat jemputan Haji dan masuk ke hospital buat kali kedua, suamimu pula dijemput bersama menunaikan fardhu Haji. Itulah ganjaran buatmu sebenarnya!


Keika kau menerima rwatan di unit HDU....
sebelum bertolak ke Tanah Suci,

Aafi dan Aaira.

          Selesai masalah sakitmu, satu lagi ujian dari segi kesihatan diberi kepada kita. Aafi dan Aaira pula sakit keracunan makanan yang menyebabkan mereka kerap muntah dan buang air besar sehinggakan tidak bermaya jadinya. Klinik dan hospital menjadi tumpuan kita pada ketika itu. Sekali lagi jiwaku tidak tenteram memikirkannya. Susahnya hatiku sehinggakan aku memohon agar kau meninggalkan kad insuran kepadaku tanpa menyatakan tujuannya.  

Pada hari kamu bertolak , Aaira masih lagi dalam keadaan lemah, melepek dan tidak bermaya. Aku tahu kamu suami isteri amat sedih untuk meninggalkan anak-anakmu apatah lagi dalam keadaan kesihatannya sebegitu. Aku dapat bayangkan bertapa sedih dan susah hati yang kamu berdua tanggung. Namun pada saat itu Allah Maha Mengetahui.....ditiupkanNya semangat untuk kita mengharungi saat itu dengan tenang. Bila aku memikirkannya, ujianmu ketika sebelum kau ke Tanah Suci dari segai kesihatanmu dan anak-anak, juga merupakan peluang yang Allah menyediakan Atok dan Oma untuk  menjaga anak-anakmu sepanjang kamu di sana nanti. Maha Besar Allah! Kita hanya melihat buruknya saja tanpa memandang dan memikirkan hikmah disebalik ujian tersebut. Dengan itu, anak-anak amat rapat dengan kami.

          Pemergianmu berdua ke Tanah Suci amat kami rindui. Namun tidak seorang pun dari anak-anakmu yang menangis merinduimu. Itulah kesan teknologi kini. Hari-hari mereka dapat berbicara dan bertanya khabarmu dan melihat wajahmu secara terus menerus dari sana.  Tidak seperti dahulu. kita perlu beratur panjang untuk membeli syilling (token) untuk menelefon keluarga ditanahair. Saat itu, kerinduan tidak dapat diceritakan.....kami hanya dapat mendengar suaramu dan membayangkan wajahmu dua beradik. Dalam erti kata lain, cucu-cucuku lebih amat bernasib baik.

          Benar aku adalah nenek mereka tetapi aku bukan jenis nenek yang memanjakan dan hanya mengikut kehendak cucu-cucuku sahaja. Mereka hidup denganku dengan cara yang penuh disiplin. Aku tegas memberi arahan dan serius dalam pengajaran. Setiap hari, tugasku dipenuhi dengan aktibiti bersama mereka sahaja. Aku ketepikan urusan persendirianku untuk memberi tumpuan kepada cucu-cucuku.  Bila tiba masa mereka buat salah, hukumannya pasti. Kerja rumah yang dibekalkan oleh guru mereka, aku pastikan siap sepenuhnya. Kain baju mereka siap digosok licin setiap hari dan digantung supaya memudahkan mereka memilih dan rasa seronok  berpakaian kemas ke sekolah. 

          Selesai Solat Subuh, Ammar dan Aafi akan terus mandi dan siap berpakaian sekolah yang mereka telah sediakan semalam. Sarapan pagi mereka makan bijirin dengan susu segar atau roti disapu manisan Nutella atau roti yang digoreng celup telur. Aku tidak menghidangkan makanan berat seperti Nasi Lemak atau Mee Goreng kerana khuatir ini akan menyebabkan mereka mudah lemah dan mengantuk. Bayangkan, dalam seminggu 4 kotak besar Susu Segar dan 2 kotak bijirin yang berbeza perisa! Yang penting mereka kenyang dan bertenaga. Roti.....sekali duduk sebantal kecil roti putih Gardenia. Setiap hari mesti beli baru. 

          Kemudian aku akan hantar mereka ke sekolah tetapi Aaira akan tinggal di rumah bersama Atok kerana budak kecil tu bangun sekitar jam 11pagi. Sambil memandu kedua adik beradik akan membaca sifir dan acara congak dijalankan. Masing-masing berebut menyebut jawapannya. Selesai hantar ke skolah tibalah masanya untuk  aku ke pasar dan ke kedai untuk tujuan menyediakan makanan tengahari dan malam pula. Lauk yang aku masak amat terhad. Satu berkuah dan satu lagi goreng atau bakar dan wajib ada sayur. Tiada pilihan untuk mereka. Tidak ada makna mereka untuk makan Ayam Goreng setiap hari! Syaratku adalah, makan apa yang terhidang dan pastikan tiada pembaziran. Di meja makan itulah nanti, kedua cucu lelakiku akan bercerita tentang sekolah dan rakan-rakan mereka.....yang paling celoteh ialah Aafi. Ammar pula suka mendengar dan sentiasa mengingatkanku akan kerja rumahnya....selalunya memang banyak. 



 


          Selesai makan mereka akan mandi dan main seketika sebelum sessi kerja rumah dijalankan. Ketika ini, kehadiranku amat diperlukan walaupun digeruni. Aku guru yang tegas. Selagi tidak difahami dengan betul, pelajaran tidak akan dihentikan. Ada seketika hingga 11.30 malam barulah selesai. Namun mereka tekun walaupun sesekali mereka bergurau dan bermain. Namapun budak!  Sebelum tidur, mereka kena pastikan semua buku dan perlatan pembelajaran dikemas, menyediakan uniform sekolah,mengemas bilik dan membaca buku cerita. kemudian tidur.
Solat mesti berjemaah bersama Atok dan Oma. Aaira yang sekecil 3 tahun pun solat sama. Alhamdulillah.

          Pada setiap hujung minggu, aku sediakan pelbagai aktibiti serta percutian untuk mereka. Antara tempat-tempat yang kami pergi adalah ke dusun durian Lembah Temir Eco Resort di Raub, Pahang. Dua hujung minggu kami ke sana kerana kebetulan aku ada urusan bersama teman dan jiran di tempat yang sama. Kemudian kami melawat negeri Melaka. Sambil berjalan, Atok dan Oma bercerita tentang sejarah negeri Melaka dan meloponglah ketiga-tiga mereka mendengarnya.  Sepatutnya kami ingin ke Temerloh pada salah satu hujung minggu tetapi Ammar pula tidak sihat. Demam selsema. Nasib baik dua hari sahaja. Maka kami duduk berehat di rumah sahaja. Seronok jugak! 




          8hb Ogos hari pertama filem  kartun Boboboi mula ditayangkan. Jiran kita belanja kami menonton wayang pada tayang pertama itu. Bayangkan bertapa seronoknya mereka.....aku pun sama jugak! hahhahahahaha. 


Bersama Boboboy.
 

Kami menyambut Hari Raya Aidil Adha di kampung Atok di Tanjung Malim dan oleh kerana sekolah bercuti lama, kami membawa mereka pulang ke kampung di Kedah berjumpa keluarga Asim di sana. Kami tinggalkan mereka di rumah kampung dan mereka amat gembira. Tok Wan dan Mama Tok berasa amat gembira dengan kehadiran cucu-cucu mereka. Sebenarnya mereka tidak diberitahu akan hal ini....satu kejutan untuk mereka. 






Seronok bersama Mama Rap dan Papa Arip

          Aku amat bersyukur kerana kau mempunyai sahabat-sahabat yang amat baik dan perihatin. Along Azalea dan Najiha  ada  bertanya khabar. Rumahmu yang kosong pun mereka rajin menjenguknya. Rap dan Arip pula, datang berjumpa anak-anakdan membawa merek keluar menonton wayang gambar. Sekali lagi mereka menonton filem kartun yang sama!  Semalam, sebagaimana yang telah dijanjikan iaitu, jika kerja rumah semua sudah siap dan lengkap, barulah mereka boleh berkhemah di rumah Rap di Putrajaya . Selepas solat Jumaat, kami menghantar mereka ke sana. Mula-mula Aaira seolah-olah enggan untuk ditinggalkan di sana tetapi apbila kedua abangnya ada dan kerana  ramai kanak-kanak lain menyebabkan dia teruja dan akhirnya bersetuju untuk bermalam di Putrajaya. Rindu pulakkk........Emmy ada telefon meminta izin untuk membawa anak-anak keluar makan. Oh ya, sebelum lupa , sahabatmu Bob dan isterinya datang dengan penuh harapan untuk membawa Aaira keluar makan bersama tetapi budak perempuan tu menangis tidak mahu pergi. Kesian si Bob, isteri dan anak-anak perempuan mereka terpaksa pergi tanpa Aaira.




 

          47 hari hampir kau dijangka di Tanah Suci. Tinggal beberapa hari sahaja untuk pulang dalam pelukan kami. Terima kasih kerana mempercayai kami untuk menjaga cucu kami yang bertiga ini. Aku bukan nenek yang popular tetapi mereka tahu mereka amat aku sayangi. Kami jalankan tanggungjawab dan menjaga amanah sebaik mungkin. Maafkan kami atas segala kekurangan dalam penjagaan tetapi kami sudah memberi yang terbaik mengikut kemampuan kami.


Mengikut Atok dan Oma ke Majlis Hari Lahir sahabat.

          Menjadi ibubapa muda seperti kamu, amat mencabar. Tetapi percayalah, dengan memberi tumpun dan mengorbankan kehendak diri kit untuk bersama mereka, ganjarannya amat besar! Merek akan membesar dengan penuh keyakinan diri dan sentiasa gembira. JIka mereka berbuat perkara yang betul berikan pujian dan jika membuat salah, berikan teguran.  Setiap apa yang kita lakukan bersama mereka samada bercuti, bermain, mengemas dan sebagainya, mesti diterapkan disiplin dan pengajaran. Inilah yang dipanggil pelajaran tanpa bilik darjah. Pengalaman adalah pembelajaran yang terbaik. 


Mamatok Norliah(kawan Oma) turut serta ke Kedah.


Tok Wan Adam bercuti bersama kami.
Kehadiran Nek Uwo menceriakan.

          Sepanjang masa bersama kami, kami harap bila kau pulang nanti, berilah tumpuan yang lebih kepada mereka khasnya dari segi pelajaran mereka. 


          Kita sendiri perlu mendisiplinkan diri. Sepanjang masa dengan mereka khasnya pada waktu belajar, aku letakkan telefon jauh ditempat lain. Masa untuk diriku memang aku korbankan secara total. Aku harap kau teruskan cara ini agar mereka membesar dengan penuh keyakinan, cergas, cerdas dan bijak. Masa membesarkan anak adalah masa yang saat pendek . Kalau kita alpa, mereka akan rugi. Banyak pengorbanan ibu bapa diperlukan ketika ini. 

.....Kamu boleh bersosial, keluar bersama teman dan taulan tetapi hadkan. Lapangkan masa bersama keluarga khasnya pada hujung minggu. Inilah maa yang anak isteri nanti-nantikan. Saat anak-anak seusia jagung inilah, kehadiran kedua ibubapa amat diperlukan.

.....Saat bermain, arahan diberi dengan jelas, perkataan betul digunakan, perlu tegas tetapi penuh kasih sayang. 

... Banyakkan masa mengajar dan memperbaiki kesilapan mereka dalam pembelajaran mereka. 

...Kita kena rajin bertanya soalan tentang diri, sekolah, teman-teman, alam sekeliling dan pemandangan serta tempat-tempat yang mereka pergi. Dengan ini kita aktifkan daya pemikiran mereka dan menambah perbendaharaan kata mereka. 

.....Dengar pertanyaan dan penceritaan mereka dahulu walaupun ketika itu sedang rancak bersembang bersama temanmu....utamakan anak! 

.....Kamu boleh bekerja keras mencari rezeki tambahan yang lebih, tetapi anak-anak jangan sekali-kali diabaikan.

..... Berikan makan minum yang berzat. Sentuhan masakan ibubapa adalah yang terbaik untuk anak-anak. 

          Kita tidak ada pilihan selain dari menguruskan mereka dahulu. Apa pun, merekalah teratas dalam senarai hidupmu. Anak-anak dilahirkan didunia dan kita diamanahkan menjaga mereka. 

          Inilah ceritaku sepanjang peninggalanmu. Ia merupakan pengalaman manis yang sangat menyeronokkan. Celoteh mereka menghiburkan kami. Merka adalah anak-anak kecil yang sangat baik, sopan dan bijak pandai. Bagiku, tiada yang lebih penting dari waris keturunanku. Semoga satu hari nanti, Atok dan Oma akan diingati sebagai sebahagian dari kehidupan mereka. 

          Kepulanganmu kamu nantikan. Kerinduan ini tidak mampu kami tahan lagi....Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Doa kami semoga segala urusan pulang ke Tanah Air dipermudahkan dan selamat di sepanjang perjalanan.


Abang Ammar, Abang Aafi dan Aaira
































No comments:

Post a Comment