Sunday, September 1, 2019

Rio Gemilang.......

           Ketika kita lena dilamun mimpi indah, ketika kita sibuk bersembang dengan sahabat handai, ketika kita sedang bergembira bersama anak cucu....rupa-rupanya di ketika itu juga pintumu diketuk.....tepat jam 10.10 minit malam.

           Osman Saidon dikunjungi Malaikat Maut kerana Allah menjemputnya pulang. Pergilah dia sendirian meninggalkan segala yang disayangi, dicintai dan segala usaha yang dia kerjakan ....segalanya. Yang dibawa bersama hanyalah amalannya semasa di dunia. 

           Osman Saidon yang aku kenali adalah seorang insan yang sangat baik, lembut dan tinggi budi bahasa, ikhlas memberi pendapat, tidak pernah bercerita buruk tentang orang lain. Dia tidak pernah mengharapkan apa-apa pun dari sesiapa tetapi dia lebih banyak memberi dari meminta! Baginya semua orang baik. Seingatku, setiap kali aku memandangnya , Osman tidak pernah lekang dari senyuman walaupun aku tahu dia dalam kesakitan.

            Osman Saidon yang aku kenali adalah seorang pengusaha kedai bunga Rio Gemilang di Rembau.  Pelbagai jenis pokok boleh didapati di premisnya. Seingat aku, sempat tiga kali aku mengunjungi premisnya itu. Tidaklah besar . Namun pilihan pokoknya banyak dan dalam keadaan sihat dan subur. Tetapi nikmat yang aku dapat ialah ilmu penanaman dan penjagaan pokok darinya. Sesungguhnya Osman tidak kedekut langsung dalam mengongsi ilmunya.

            Semalam, setelah mendengar berita sedih pemergiannya, aku langsung ke taman bungaku, menitis juga airmataku mengenangkannya. Sebak rasa dihati. Dia bukan abang, saudara tetapi dia manusia yang hebat.  Sambil mencantas dahan-dahan pokok yang aku beli darinya, aku berdoa semoga setiap helai daun dan setiap biji buah yang terhasil dari pokok itu akan dapat menyalurkan pahala kepada Allahyarham Osman. Semoga dia berbahagia di sana.

           Semoga Allah mengampuni segala dosa dan kesalahannya semasa hayatnya dan semoga Allah menempatkan rohnya bersama orang-orang yang beriman.  Bagiku, Allahyarham ibarat seorang abang yang baik. Aku pasti merinduinya.

Allahyarham Osman Saidon seorang yang rajin dan bekerja keras.

No comments:

Post a Comment