Wednesday, May 20, 2020

Pergi yang tak akan kembali

Allahyarham Kamaruzzaman bin Mohd Yunos
            
               Abang Man dijemput pulang menemui Allah jam 8.40 malam, 27 Ramadhan. Arwah dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri. Rupanya ada pendarahan otak. Terus dimasukkan ke HDU....destinasi terakhirnya!

               Abang Man ialah seorang insan istimewa. Dia lucu. Suka mengusik dan berjenaka. Kalau kita dengar dia ketawa, tak perlu tahu kenapa....kita pun turut sama ketawa. Unik orangnya.    

                Abang Man tidak habiskan persekolahannya. Dia sangat berfikiran praktikal. Baginya, sekolah hanya membuang waktu......baiklah pergi kerja di ladang kelapa sawit....dapat duit! Namun begitu, Abang Man ada daya tarikan dia tersendiri.... dia boleh berbahasa Inggeris dengan baik kerana rumah kami di dalam kawasan Ladang Kelapa Sawit TDMB dan kebanyakan pengurusnya adalah Orang Putih. Jadi kami ke sekolah dan berkawan serta bermain dengan anak-anak mereka. Dari situlah kami belajar bertutur dengan lancar dalam bahasa itu! Sehingga kini kami masih lagi berhubung dengan kawan sepermainan kami di London. sekarang semua dah tua......Abang buktikan pilihannya tidak salah.



               Abang  Man bekerja kuat untuk membina keluarganya. Pelbagai jenis pekerjaan yang dia lakukan. Bakat serba bolehnya serta petah berkata-kata menyebabkan  dia boleh bekerja dipelbagai bidang. Dari menjadi buruh di ladang kelapa sawit, menyanyi di hotel 5 bintang, mekanik, tukang masak di pelantar minyak dan di atas kapal dagang,  memandu bot antara Johor dan Singapura dan macam-macam lagi. Hidupnya penuh dengar warna-warni. Sesiapa saja yang mengenali Abang Man, pasti tertarik dengannya.

               Abang Man bukan orang senang tapi dia tidak pernah menyusahkan. Hidupnya cukup-cukup ada sahaja tetapi dia bersyukur dengan apa yang dimilikinya. Bukan jenis yang meratap diri atau mengutuk diri. Dia bekerja hinggalah dipenghujung hidupnya. Pokok pangkalnya, apa saja yang boleh memberi pendapatan, dia usahakan.

 

                6 Disember 2019, ialah tarikh akhir kami berjumpa. Aku ke Pasir Gudang bersama Kak Chah dan Uwo untuk menghadiri majlis perkahwinan anak adik kami Ipin. dalam perjalanan pulang, Abang Man menelefonku  bertanya khabar tetapi aku tahu tujuannya. Aku dan Kak Chah mengusiknya. Kami kata kami dah sampai Kulai untuk pulang terus ke Shah Alam. Abang Man jadi terlalu sedih dan suaranya putus-putus menahan sebak. Dia mendoakan agar perjalanan kami selamat dalam suaranya yang terputus-putus. Kami tahu dia sebak.  Kami terus ke tempat kerjanya. Dari dalam kereta kami nampak Abang tertinjau-tinjau kereta kami. Bila kami keluar kereta dan memanggilnya, Abang terus menjerit dan menangis lalu terjelepok di situ. Kami berpelukan melepaskan rindu. Maca-macam dia ceritakan tentang dirinya. Siap dia tunjuk jarum untuk penyakit kencing manisnya. Mahal katanya tetapi kalau beli online jauh lebih murah. Dia memang kelihatan uzur. Bila ditanya kenapa masih bekerja sebab dah berumur. Jawapannya menyayat hati kami.....aku nak beli rumah! Ya Allah.....murninya hati Abangku ini. Bila nak balik, sekali lagi kami berpelukan dan itulah pelukan terakhir dari Abang Man untukku. 



               Abang pergi meninggalkan kami semua. Walau jarang dapat berjumpa, namun kami berhubungan dengan cara alam maya. Facebook dan sebagainya. Dalam catatan akhir-akhir ini, Abang Man lebih banyak  mengongsi tentang bab agama. Kami difahamkan oleh Kak Ita bahawa sejak berhenti berkelana mencari rezeki di negeri orang, Abang Man banyak habiskan masanya mengisi dada dengan ilmu agama. Alhamdulillah. Pemergiannya menyebabkan kami semua sedih tetapi tenang. Abang pergi dimalam dan bulan terbaik yang menjadi idaman semua orang. Perginya Abang diringkan doa dan khatam Quran oleh sahabat-sahabatku yang langsung tidak pernah mengenalinya. 
Foto terakhirnya yang kumuatkan dalam FB aku telah diedar oleh sahabat-sahabat dan ada  yang sebak dan menitikkan airmata dan didoakannya sekali. Apakah amalan Abang Man semasa hidup hingga darjatnya diangkat sebegitu? Bertapa beruntungnya dia.  Aku amat  mencemburuinya. 

                  Cuaca yang teduh dan tiada sinar matahari serta berangin mengiringi pemergian Abang Man. Aku, Kak Chah dan Kak Nong hanya dapat melihat proses pengkebumiannya melalui Watsapp Video Call. Faktur usia kami menyebabkan kami tidak dapat ke sana. Kami terpaksa akur dengan MCO.  Lagipun, bukan mudah untuk mendapat permit perjalanan merentas negeri. banyak kerjanya. Kalau seorang mungkin boleh dikuatkan tetapi kami bertiga dan semua perempuan pulak tu. Jadi kami ambil keputusan untuk tidak pergi. Semoga roh Abang Man dhimpunkan bersama para solihin.

                Kepada keluarga arwah, khasnya Kak Ita, terima kasih kami ucapkan kerana memberi kebahagiaan kepada Abang Man walaupun dalam keadaan akak yang tidak sihat. Semoga Allah membalas Syurga untuk akak. Semoga Kak Ita dan anak-anak redho dan sabar dengan ketentuan Allah ini.


 


Menjadi Chef di Tukiministan, Russia.







No comments:

Post a Comment